2016-Nissan-Serena-4-e1468378273530_BM

Setelah imejnya yang sedang diuji tersebar sebelum ini, kini MPV Nissan Serena generasi kelima baharu secara rasminya didedahkan. Seperti dijangka, Serena baharu ini bukan sahaja menampilkan rupa yang lebih segar, malah turut dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri terkini.

Bahagian hadapan MPV ini menampilkan muka rekaan signatur V-Motion terbaharu Nissan dengan gril dua bahagian dan garisannya bersambung dengan garisan pada hud hadapan. Sepasang lampu hadapan baharu direka dengan rekaan dua tingkat mengapit gril dan hud baharu bersama lampu kabus baharu.

Serana baharu juga menerima tema warna dua ton dan tiang-D yang dicat hitam, memberikan gambaran seolah-olah bumbung MPV ini terapung. Tiang-A Serena turut direka dengan lebih kurus berbanding sebelum ini tetapi tidak menjejaskan ketegaran strukturnya. Garisan yang memisahkan tingkat lampu hadapan terus bersambung ke profil sisi MPV ini melalui pintu hadapan dan terus ke rel pintu gelangsar belakang.

Pada bahagian belakang menyaksikan lampu kombinasi kini lebih pendek dari sebelum ini supaya ia tidak kelihatan sarat apabila digabungkan rekaan “bumbung terapung”. Bahagian tengah antara lampu berkenaan yang telah dihitamkan turut menempatkan logo Nissan di bahagian tengah. Kemasan krom merentasi pintu tailgate belakang turut dipadankan untuk membahagikan antara bahagian yang dihitamkan dan juga bahagian yang dicat dengan warna badan.

2016-Nissan-Serena-6-e1468378250537_BM

Ciri-ciri yang dinyatakan diatas adalah untuk Serena varian asas (berwarna biru). Untuk varian Highway Star(berwarna merah), ia dilengkapi dengan kit badan yang meliputi bampar hadapan yang lebih agresif dan lebih kemasan krom untuk menyerlahkan lagi rekaan gril V-Motion. Varian Highway Star turut dipadankan dengan skirt sisi, roda aloi baharu, bampar belakang baharu serta cermin sisi dengan kemasan hitam.

Bahagian kabin Serena kini lebih anggun dari sebelum ini, sama seperti imej spyshot yang tersebar. Bahagian tingkat atas papan pemuka MPV ini dilengkapi dengan paparan instrumen yang lebar dan menampilkan paparan digital baharu.

Liang penghawa dingin baharu mengapit skrin sesentuh unit infotaimen manakala suis kawalan unit penghawa dingin diletakkan pada bahagian bawah skrin berkenaan. Pada bahagian paling bawah ruang tengah ini pula menempatkan tuil penukar gear, brek parkir elektronik serta butang penghidup enjin. Keseluruhan ruang tengah berkenaan pula dikelilingi oleh kemasan krom.

Menurut Nissan, Serena baharu ini “mempunyai ruang dalaman paling lebar dalam kelasnya,” dan majoriti ruangan berkenaan adalah pada bahagian belakang MPV tujuh tempat duduk ini. Untuk varian Highway Star, bahagian belakang berkenaan boleh diakses menerusi pintu gelangsar berkuasa elektrik dan ia boleh dibuka semudah menggelangsarkan kaki anda pada bahagian bawah pintu (kunci pintar perlu berada dalam poket anda).

2016-Nissan-Serena-5_BM

Ciri lain yang terdapat dalam Serena baharu ini termasuk tempat duduk “graviti sifar” dari sedan Teana, yang dipasang pada tempat duduk baris pertama dan kedua. Tempat duduk baris ketiga pula didakwa telah direka untuk memaksimakan keselesaan seperti tempat duduk hadapan dan membantu menyerap kelesuan ketika perjalanan yang panjang.

Dari segi keselamatan pula, Serena dilengkapi dengan sistem brek kecemasan Nissan, Amaran Keluar Laluan, Monitor Pandangan Sekeliling dan Cermin Pandang Belakang Pintar secara standard. Untuk bantuan pemanduan, MPV ini dilengkapi dengan Bantuan Parkir Pintar dan juga ProPILOT, iaitu sistem pemanduan automatik dari Nissan yang mengawal pedal pendikit, brek dan roda stereng secara automatik semasa memandu di lebuhraya, tidak kira pada keadaan trafik sesak atau tidak.

MPV ini dikuasakan dengan unit janakuasa S-Hybrid dari model generasi sebelum ini, menggunakan enjin petrol MR20DD 2.0 liter pancitan bahan api terus CVTC berkembar berkuasa 147 PS pada takat 5,600, dan tork maksima 210 Nm pada takat 4,400 rpm.

2016-Nissan-Serena-7_BM

Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear CVT Xtronic dan dibantu oleh motor ECO yang mengawal fungsi Idling Stop dan bertindak sebagai unit alternator semasa nyah pecutan. Motor berkuasa 1.8 kW/200 A berkenaan juga membolehkan fungsi “bantuan tork” berfungsi, memberikan tork tambahan 50 Nm ketika badan MPV dipecut dari kedudukan pegun.

Tingkat taraf lain yang turut ditampilkan pada Serena generasi baharu ini adalah pengukuhan struktur sekitar pintu belakang dan penambahbaikan komponen pada sistem suspensi seperti penyerap hentak yang lebih besar, yang didakwa Nissan ia membolehkan “refleks yang lebih tajam semasa peralihan sisi,” contohnya ketika menukar laluan secara drastik.

Nissan Serena generasi kelima ini diproduksi di Nissan Motor Kyushu, dan akan menembusi pasaran Jepun pada hujung Ogos ini dengan harga asas ditetapkan di bawah 3 juta yen (RM114,463). Nissan telah menjual sebanyak 1.5 juta unit Serena sejak ia mula diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1991