Perodua Bezza kini sudah berusia sembilan tahun sejak pertama kali diperkenalkan dalam pasaran. Ini satu tempoh yang sangat panjang dan sudah sampai tempoh matang untuk pengenalan model generasi berikutnya.
Dan model terbaru sebagai ganti Bezza ini juga sudah mula diberi petunjuk oleh syarikat pengeluarnya: Februari lalu, Perodua mengumumkan bakal melancarkan sebuah model baru sepenuhnya (FMC) bagi satu daripada model sedia ada, yang akan menyertai pengenalan model EV-nya untuk tahun ini. Kami percaya model yang dirujuk itu adalah Bezza, memandang model kompak sedan itu yang paling memerlukan pembaharuan daripada barisan model Perodua sedia ada.
Untuk itu, pereka Theophilus Chin sekali lagi menghasilkan rekaan bayangan untuk sedan terbaru ini, dengan menggunakan Axia sebagai asas dan digabungkan dengan bahagian belakang daripada Fiat Cronos. Perubahan lain termasuklah lampu utama lebih nipis, gril hexagonal dan garis bahu lebih mendatar.
Perodua sebelum ini ada menyatakan yang Bezza terbaru nanti akan mengambil ilham daripada pemenang Asian Sedan Design Challenge 2023. Jika benar, Bezza generasi akan datang mungkin akan lebih sporty, untuk bergandingan dengan model EV “QV-E” yang juga akan dilancarkan tahun ini.
Untuk enjin, Bezza mungkin akan meneruskan penggunaan unit 1KR-VE 1.0 liter tiga-silinder dan 1NR-VE 1.3 liter empat-silinder, yang digandingkan dengan Dual-Mode CVT (D-CVT) terbaru. Transmisi ini akan menjadi yang pertama kali digunakan untuk Bezza, yang ketika ini hanya digandingkan dengan transmisi empat-kelajuan automatik.
Ada juga kemungkinan versi hibrid akan ditawarkan sebagai pilihan, sesuatu yang sudah sekian lama di dengari ura-uranya. Sebelum ini, Perodua pernah menawarkan Ativa Hybrid (rebadge dari Rocky e-Smart Hybrid) melalui program langganan pada 2022.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.