Divisi mewah BYD iaitu Denza hari ini membuat kejutan di acara paultan.org Premium Auto Car Expo (PACE) 2025 dengan membawa kereta sport elektrik dengan badan “Shooting Brake” (wagon dengan bumbung yang rendah) iaitu Denza Z9 GT. Model ini telah membuat penampilan pertama di Malaysia pada Februari lalu ketika pelancaran MPV Denza D9, tetapi hari ini adalah kali pertama ia dipertontonkan untuk orang awam.
Di China, Z9 merupakan wakil BYD dan Denza yang bersaing dengan Shooting Brake EV kumpulan Geely iaitu Zeekr 001. Di Malaysia, segmen yang sama setakat ini hanya dibintangi oleh Porsche Taycan Cross Turismo. Juga untuk pasaran negara asalnya, Z9 bukan hanya ditawarkan dalam versi EV, malah ia juga hadir dalam pilihan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV).
Model yang dipamerkan di PACE ini adalah dari versi EV yang masih dalam konfigurasi pemanduan sebelah kiri (LHD). Versi ini dibekalkan dengan tiga motor elektrik, di mana gandar hadapan menerima sebuah motor berkuasa 313 PS (230 kW) dan tork maksima 430 Nm, sementara gandar belakang dipacu dua buah motor elektrik masing-masing berkuasa 326 PS (240 kW) dan tork maksima 360 Nm.
Secara keseluruhan ketiga-tiga motor elektrik ini membekalkan Denza Z9 GT EV dengan kuasa 965 PS (710 kW) dan tork 1,150 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat hanya dalam masa 3.4 saat! Motor-motor berkenaan menerima kuasa elektrik dari bateri Blade litium logam fosfat (LFP) gergasi 100 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 630 km dalam kitaran ujian domestik China CLTC.
Bateri tersebut boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC yang berkemampuan menerima sehingga 270 kW, membolehkan jumlah cas dipenuhkan dari 30% hingga 80% dalam masa hanya 19 minit.
Manakala bagi versi PHEV kuasa yang dibekalkan pada setiap motor adalah sedikit rendah, dengan motor gandar hadapan berkuasa 272 PS (200 kW)/315 Nm dan motor gandar belakang masing-masing berkuasa 299 PS (220 kW)/360 Nm. Ini secara keseluruhan membekalkan kuasa 870 PS (640 kW) dan tork maksima 1,035 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 3.6 saat.
Bateri yang membekalkan kuasa juga lebih kecil iaitu bateri LFP 38.5 kWj. Namun bateri berkenaan akan sentiasa dicas oleh sebuah enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 207 PS/325 Nm yang bertugas hanya sebagai generator, tanpa sebarang mekanisma untuk memacu roda.
Dengan satu cas bateri penuh, Z9 GT PHEV ini boleh bergerak sejauh 201 km tanpa enjin petrol dihidupkan. Manakala dengan satu tangki penuh petrol ia boleh berjalan sejauh 1,101 km. Bateri tersebut masih boleh dicas seperti EV sebenar – dengan pengecas pantas DC berkapasiti 82 kW, cas boleh dipenuhkan dari 30% hingga 80% dalam masa 19 minit.
Dengan bateri yang besar untuk membekalkan kuasa kepada motor elektrik berkuasa tinggi serta memberikan jarak gerak yang jauh, badan Z9 GT ini juga perlu dihasilkan dalam saiz yang besar. Ia menampilkan dimensi panjang 5,180 mm, lebar 1,990 mm serta jarak roda sejauh 3,125 mm. Jadi berbanding Porsche Taycan Sport Turismo, Denza Z9 GT ini adalah 217 mm lebih panjang dan 24 mm lebih lebar, serta jarak roda 225 mm lebih jauh.
Badan yang sangat besar ini ditampung dengan penyerap hentak adaptif DiSus-C, atau pilihan suspensi udara DiSus-A (perincian ini adalah standard untuk versi EV) bagi memberikan pengendalian yang baik. Turut membantu Shooting Brake gergasi ini untuk meredah selekoh dengan lincah adalah sistem stereng pada gandar belakang dengan sudut putaran sehingga 15 darjah, bersama agihan tork untuk kedua-dua motor elektrik kiri dan kanan dikawal oleh sistem torque-vectoring.
Dengan kedua-dua roda belakang yang dipacu dua motor elektrik berasingan juga membolehkan arah antara roda kiri dan kanan diputarkan bertentangan arah, membolehkan ia bergerak seakan ketam dan memudahkan bahagian belakang ‘ditolak’ masuk ke petak parkir sisi.
Rupa luaran Z9 ini juga unik dengan muka yang diberikan lampu hadapan bar berkembar, liang udara ruang roda hadapan terletak pada pintu, spoiler bumbung belakang yang terbelah tengah serta menampilkan lampu brek yang juga terpisah, satu lagi spoiler aktif pada pintu hatch belakang (tersorok jika tidak dinaikkan) dan juga diffuser bampar belakang yang bersaiz besar.
Lampu belakang Z9 GT ini juga direka dengan saiz yang besar – kalau anda perasan, grafik led di dalam lampu tersebut menampilkan bentuk spindel yang sama seperti logo Denza itu sendiri. Rekaan luaran Shooting Brake ini disudahkan dengan pemadanan set roda yang juga bersaiz besar terdiri dari set rim aloi 20-inci yang dibalut tayar Goodyear ElectricDrive Asymmetric 5 bersaiz 255/45R20.
Untuk masuk ke kabin, anda akan disambut dengan pintu yang boleh dibuka dengan bantuan kuasa, seterusnya disajikan dengan tiga skrin memenuhi papan pemuka iaitu skrin 13.2-inci untuk paparan instrumen pemandu, skrin gergasi 17.3-inci yang terapung di tengah serta satu lagi skrin 13.2-inci untuk penumpang hadapan. Pemandu turut menerima pancaran paparan head-up realiti terimbuh (AR), serta dibantu kawalan arahan suara berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Ia juga diberikan dua pengecas telefon pintar tanpa wayar 50-watt, tombol gear kristal, serta perehat tangan yang mempunyai peti pemanas dan penyejuk di bawahnya. Perehat tangan belakang juga diberikan satu lagi peti sejuk, menjadikan Z9 sebagai kereta produksi massa pertama di dunia yang mempunyai peti sejuk untuk ruang hadapan dan belakang.
Tempat duduk hadapan kereta ini bukan sahaja menampilkan kawalan elektrik 12-hala dengan fungsi memori, malah ia turut terbina dalam dengan fungsi ottoman dan juga boleh direbahkan dalam keadaan “garviti sifar” dengan hanya satu sentuhan butang. Tempat duduk belakang juga boleh dilaras dengan bantuan kuasa elektrik, dan menerima fungai pemanas, liang aliran penghawa dingin dan juga fungsi pengurut 10-poin.
Selain itu juga kabin kereta ini menerima upholsteri kulit dan juga perapi-perapi kayu sebenar, pendingin hawa automatik empat zon, skrin sesentuh kabin belakang pada konsol tengah, bumbung kaca panaromik, sistem bunyi Devialet dengan 20 pembesar suara, serta sistem V2L untuk mengoperasikan peralatan elektrik luar dengan output 6 kW.
Untuk praktikaliti, ruang but belakang yang ditutup dengan pintu hatch bantuan kuasa memberikan ruang 488 liter, bersama satu lagi ruang but depan (hanya untuk model EV) berkapasiti 53 liter.
Di China Denza Z9 GT ini turut dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan termaju BYD iaitu DiPilot 300 yang beroperasi menggunakan penderia lidar pada bumbung. Namun perincian ini tidak diberikan pada model-model yang dieksport ke pasaran global, dan ia masih dibekalkan dengan sistem dengan kemampuan pemanduan autonomi Tahap 2.
Denza Z9 GT ini dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada separa pertama tahun hadapan. Di China ia dijual pada harga RMB359,800-385,800 (sekitar RM219k-235k), jadi apabila ia tiba di Malaysia dengan tiada lagi insentif EV tahun hadapan, tak mustahil ia akan dijual pada harga yang sangat premium.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.