Porsche Taycan Cross Turismo 2021 dilancarkan di Malaysia – crossover elektrik sport bermula RM645k

Porsche Taycan Cross Turismo 2021 dilancarkan di Malaysia – crossover elektrik sport bermula RM645k

Sime Darby Auto Performance (SDAP) hari ini secara rasminya melancarkan Porsche Taycan Cross Turismo di Malaysia, selepas ia diperkenalkan di peringkat global pada Mac tahun ini.

Jadi bagi mereka yang berminat dengan model elektrik sport Taycan dalam negara, anda sudah boleh memilih versi crossover ini jika tidak berminat dengan model Taycan sedan yang juga sudah dilancarkan di Malaysia tahun ini. SDAP menawarkan tiga varian Taycan Cross Turismo untuk pasaran tempatan.

Taycan Cross Turismo ini merupakan versi produksi dari model konsep Porsche Mission E Cross Turismo yang didedahkan pada 2018. Pada asasnya, Taycan Cross Turismo ini adalah versi wagon yang diasaskan dari Taycan biasa, dan ia menerima penggayaan seakan SUV yang lebih lasak.

Oleh itu, jarak kelegaan tanah untuk Taycan Sport Turismo ini adalah 20 mm lebih tinggi dari versi sedan, dan ia diberikan pelindung-pelindung berwarna hitam disekeliling badan. Apron pada bampar hadapan direka bagi menampilkan skid plate untuk disesuaikan dengan imej baharu tersebut.

Porsche Taycan Cross Turismo 2021 dilancarkan di Malaysia – crossover elektrik sport bermula RM645k

Dengan pakej opsyen Offroad Design, jarak kelegaan tanah akan ditinggikan lagi 10 mm, bagi memberikan keseluruhan 30 mm lebih tinggi dari biasa. Pakej tersebut turut datang dengan flap tambahan pada sudut bampar hadapan dan belakang, serta dihujung bendul sisi bagi melindung bahagian tersebut dari impak batu.

Manakala dengan bentuk wagon pada bahagian belakang membolehkan Taycan Cross Turismo ini menawarkan ruang kepala 47 mm lebih luas kepada penumpang belakang, serta bukaan ruang but yang lebih lebar berbanding Taycan sedan. Ruang but itu sendiri juga kini menampilkan kapasiti 446 liter atau 40 liter lebih besar dari Taycan biasa, serta boleh ditingkatkan kepada 1,212 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat (boleh dipisahkan dengan nisbah 60:40).

Oleh kerana kereta ini tidak mempunyai enjin, ia juga tampil dengan but hadapan dengan ruang kargo tambahan 84 liter – juga sedikit lebih besar berbanding versi sedan.

Kabin Cross Turimo ini walau bagaimanapun menampilkan rupa yang hampir sama dengan versi sedan. Jadi pada papan pemuka ia menampilkan tiga paparan skrin secara standard, dengan satu lagi skrin opsyen yang boleh diletakkan di hadapan penumpang hadapan. Jika anda memilih pakej Offroad Design, sebuah kompas akan diletakkan di atas skrin infotainmen tengah bagi menggantikan jam randik analog/digital.

Porsche Taycan Cross Turismo 2021 dilancarkan di Malaysia – crossover elektrik sport bermula RM645k

Kesemua varian Taycan Cross Turismo yang dijual di Malaysia adalah datang dengan unit rangkaian kuasa dua motor, pacuan semua roda, serta sistem sistem suspensi udara adaptif dan juga Performance Battery Plus iaitu bateri lithium ion dengan kapasiti 93.4 kWj.

Sama seperti Taycan biasa, model ini juga beroperasi dengan senibina elektrifikasi 800-volt. Ia boleh menyokong sistem pengecaj AC (penyambung Type 2) sehingga 11 kW (opsyen 22 kW turut ditawarkan), membolehkan caj penuh dicapai dalam masa sekitar sembilan jam (lebih cepat dengan pengecaj onboard).

Ia juga menyokong pengecaj pantas DC (dengan penyambung CCS2) sehingga 270 kW, yang boleh memenuhkan kuasa bateri dari 5-80% dalam masa sekitar 23 minit.

Dari segi varian, ia dimulakan dengan Taycan 4 Cross Turismo yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM645,209, termasuk pengecualian cukai jualan sebanyak 50% untuk kereta CBU yang masih berjalan sehingga akhir tahun ini.

Porsche Taycan Cross Turismo 2021 dilancarkan di Malaysia – crossover elektrik sport bermula RM645k

Model ini dibekalkan dengan kuasa 380 PS (375 hp atau 280 kW) atau 476 PS (469 hp atau 350 kW) serta tork maksima 500 Nm selepas fungsi overboost diaktifkan. Dalam konfigurasi ini, ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat, kelajuan maksima dicatatkan pada 220 km/j serta jarak gerak sejauh 437 km dalam kitaran NEDC.

Varian pertengahan adalah Taycan 4S Cross Turismo, dijual pada harga bermula RM728,727. Model ini datang dengan kuasa 490 PS (483 hp atau 360 kW) atau 571 PS (563 hp atau 420 kW) dan tork maksima 650 Nm dalam mod overboost. Jadi ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat dan kelajuan maksima meningkat sehingga 240 km/j. Jarak gerak pula adalah 436 km untuk satu caj penuh bateri.

Manakala model tertinggi adalah Taycan Turbo Cross Turismo yang dijual pada harga bermula RM968,928. Ia dibekalkan dengan kuasa 625 PS (617 hp atau 460 kW) atau 680 PS (670 hp atau 500 kW) dan tork maksima 850 Nm dengan overboost. Model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masan hanya 3.3 saat, dengan kelajuan maksima 250 km/j serta jarak gerak 425 km.

Porsche Taycan Cross Turismo 2021 dilancarkan di Malaysia – crossover elektrik sport bermula RM645k

Harga-harga yang disebutkan ini adalah harga asas tanpa sebarang perincian opsyen ditambah. Bagi mereka yang berminat, anda boleh membuat temu janji bagi melihat sendiri Taycan Cross Turismo ini dengan lebih dekat di semua Porsche Centre yang terletak di Ara Damansara, Sungai Besi, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Bagi memudahkan anda membandingkan setiap perincian yang ditawarkan untuk semua varian Taycan Cross Turismo pasaran Malaysia ini, kami pecahkannya seperti di bawah:

Porsche Taycan 4 Cross Turismo – RM645,209

  • 380 PS dan 500 Nm; overboost: 476 PS
  • 0 hingga 100 km/j dalam 5.1 saat; kelajuan maksima 220 km/j
  • Pek bateri lithium-ion 93.4 kWj
  • Pengecaj AC onboard 11-kW; menyokong caj pantas DC 270-kW
  • Jarak gerak 437 km dalam kitaran NEDC
  • Porsche Taycan 4S Cross Turismo – RM728,727

  • 490 PS dan 650 Nm; overboost: 571 PS
  • 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat; kelajuan maksima 240 km/j
  • Pek bateri lithium-ion 93.4 kWj
  • Pengecaj AC onboard 11-kW; menyokong caj pantas DC 270-kW
  • Jarak gerak 436 km dalam kitaran NEDC
  • Porsche Taycan Turbo Cross Turismo – RM968,928

  • 625 PS dan 850 Nm; overboost: 680 PS
  • 0 hingga 100 km/j in 3.3 saat; kelajuan maksima 250 km/j
  • Pek bateri lithium-ion 93.4 kWj
  • Pengecaj AC onboard 11-kW; menyokong caj pantas DC 270-kW
  • Jarak gerak 425 km dalam kitaran NEDC
  • Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

    10% discount when you renew your car insurance

    Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

    Car Insurance

    Mohd Farid Awaludin

    Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

     
     

    Add a comment

    required

    required