Penampilan sulung Oliver Solberg dengan GR Yaris Rally1 cetus kemenangan ke-100 Toyota dalam WRC!

Penampilan sulung Oliver Solberg dengan GR Yaris Rally1 cetus kemenangan ke-100 Toyota dalam WRC!

2025 FIA World Rally Championship / Round 08 / Rally Estonia / 17-20 July 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein

Toyota mencapai satu lagi rekod dalam sejarah Kejohanan Rali Dunia (WRC) apabila mencatatkan kemenangan ke-100 sepanjang penyertaanya dalam kejohanan tahap tertinggi disiplin tersebut apabila menang Rally Estonia 2025 semalam, iaitu perlumbaan pusingan ke-8 untuk WRC musim ini.

Tambah manis, kemenangan itu diraih oleh pemandu yang baru berusia 23 tahun, Oliver Solberg bersama juru arah Elliott Edmondson hanya dalam penampilan pertamanya memandu Toyota GR Yaris Rally1. Solberg yang merupakan anak kepada juara dunia WRC 2022 pasukan Subaru iaitu Petter Solberg diberikan peluang pertama oleh pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR-WRT), selepas menunjukkan prestasi konsisten memandu jentera GR Yaris Rally2 dan kini sedang mendahului kelas WRC2.

Solberg menampilkan pemanduan yang begitu dominan apabila mendahului hari pertama pada Jumaat dengan kelebihan 12.4 saat, menamatkan hari Sabtu dengan kelebihan 21.1 saat, dan akhirnya menamatkan Rally Estonia 2025 dengan kemenangan dengan meninggalkan juara dunia 2019, Ott Tanak yang memandu Hyundai i20 N Rally1 25.2 saat di belakang. Seorang lagi pelumba Hyundai yang juga juara dunia tahun lalu, Thierry Neuville melengkapkan podium tempat ketiga rali ini.

Penampilan sulung Oliver Solberg dengan GR Yaris Rally1 cetus kemenangan ke-100 Toyota dalam WRC!

2025 FIA World Rally Championship / Round 08 / Rally Estonia / 17-20 July 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein

“Ia adalah hujung minggu yang paling menakjubkan. Saya berasa sangat gembira, selepas bertahun-tahun bermimpi dan bekerja untuk saat seperti ini. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Toyota kerana memberi saya peluang ini dan peluang untuk membuktikan diri dan berseronok memandu kereta yang menakjubkan ini. Terima kasih kepada pasukan ujian yang membantu saya menjadi begitu selesa,” kata Oliver Solberg.

“Ini adalah hujung minggu yang sukar dipercayai daripada Oliver. Saya rasa saya berasa lebih gementar melihatnya berbanding dia yang sedang memandu. Ia adalah pemanduan yang sangat bersih untuk bertarung dengan beberapa pemandu yang benar-benar berpengalaman,” kata naib prinsipal pasukan TGR-WRT, Juha Kankkunen.

“Sesiapa sahaja akan merasa sedikit tekanan apabila pemandu seperti itu memberikan tentangan yang kuat, namun dia mengendalikannya dengan sangat baik. Ia adalah satu keseronokan bagi kami untuk memberinya peluang ini dan melihatnya mengambil peluang berkenaan dengan baik, dan kejayaan ini untuk kemenangan ke-100 Toyota juga,” tambah Kankkunen yang juga juara dunia empat kali, di mana kejuaraan keempatnya pada tahun 1993 dicapai ketika bersama pasukan Toyota.

Penampilan sulung Oliver Solberg dengan GR Yaris Rally1 cetus kemenangan ke-100 Toyota dalam WRC!

Kali pertama Toyota menang perlumbaan dalam WRC adalah pada tahun 1973 menerusi pemandu persendirian Kanada, Walter Boyce yang menang Press-on-Regardless (POR) Rally 1973 di Amerika Syarikat, iaitu pusingan ke-11 WRC musim berkenaan dengan memandu Toyota Corolla 1600 Coupe (TE27). Kejayaan yang diraih oleh Oliver Solberg semalam membolehkannya menjadi pemandu ke-16 yang memenangi pusingan WRC dengan memandu sebuah Toyota.

Ini bukan kali pertama Oliver Solberg memandu jentera Rally1 dalam WRC. Sebelum ini dia telah diberi peluang oleh pasukan Hyundai untuk memandu i20 N WRC di Rally Finland 2021 ketika baru berusia 19-tahun, kemudian menyertai skuad Hyundai Shell Mobis WRT dengan berkongsi jentera i20 N Rally1 bersama Dani Sordo.

Namun dengan prestasi yang tidak konsisten serta tidak menghabiskan perlumbaan kerana kemalangan, Solberg digugurkan dari pasukan tersebut dan kembali ke kelas WRC2 pada 2023 bersama pasukan Toksport Skoda. Hampir menjadi juara WRC2 tahun lalu, Solberg diberikan peluang oleh Toyota dengan mula berlumba menggunakan jentera Toyota GR Yaris Rally2 untuk WRC2 musim ini dan kini sedang mendahului kelas berkenaan.

Dengan keputusan ini juga Solberg dilihat telah mendahului seorang lagi prodigi Toyota iaitu Sami Pajari, juara WRC2 musim 2024. Pajari telah diberikan peluang untuk memandu GR Yaris Rally1 dalam tiga pusingan WRC musim lalu, dan diserapkan dalam pasukan kedua TGR-WRT2 untuk berlumba semusim penuh dengan jentera Rally1 tersebut musim ini. Namun sehingga kini Pajari masih belum mencapai sebarang kemenangan dalam kelas tertinggi WRC tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required