Versi cruiser biasa sudah dilancarkan Mac tahun 2023 lalu, sekarang MForce Bike Holdings Sdn Bhd memperkenalkan pula WMoto Bobbie VII versi sidecar yang dijual pada harga RM48,888 tidak termasuk insurans. Walaubagaimanapun untuk pembeli awal dalam jumlah terhad, diskaun RM2,000 diberikan.
Kenderaan jenis ini – motosikal dengan tempat duduk tambahan di tepi (sidecar) – dapat dijual secara rasmi di Malaysia selepas MForce mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pengguna hanya perlu memiliki lesen motosikal kelas B (penuh).
Ia digerakkan oleh enjin dua silinder selari DOHC 693 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 74 hp pada 8,500 rpm dan tork 68 Nm pada 6,500 rpm. Sistem pacuan masih menggunakan rantai, kepada roda belakang utama motosikal manakala berat keseluruhan pula adalah 330 kg.
Kesemua rim spoked motosikal ini menggunakan saiz sama, termasuk pada bahagian sidecar iaitu unit 17 inci yang dibalut tayar 120/80 dan ia turut didatangkan sekali dengan tayar tambahan untuk kecemasan. Brek cakera juga disediakan pada semua roda, dengan unit di hadapan adalah lebih besar dan menggunakan angkup tiga piston.
Di bahagian sidecar itu, selain ruang luas untuk penumpang ketiga, ia juga mempunyai ruang barangan di belakang dan dilengkapi kemudahan serta ciri keselamatan lain seperti lampu hadapan dan belakang, penghadang angin serta pemijak untuk memudahkan pengguna.
Kelengkapan lain yang disediakan pada motosikal ini adalah termasuk tangki bahan api 15 liter, meter digital, soket pengecas USB serta lampu LED.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.