Dalam diam-diam Lexus Malaysia memperkenalkan RX 500h F Sport Special Edition baharu, di mana ia ditawarkan dengan harga atas jalan RM512,888 tanpa insurans. Angka ini adalah RM4,000 lebih mahal berbanding RX 500h F Sport yang diperkenalkan pada Ogos 2023 dengan harga RM499,888, tetapi kemudian harganya telah disemak semula dan mengalami peningkatan sebanyak RM10,000 menjadi RM508,888. Namun varian asas bagi RX 350 Luxury masih kekal berharga RM468,888.
Menurut laman media sosial syarikat terbabit, RX 500h F Sport Special Edition ini hanya ditawarkan sebanyak 50 unit sahaja dan ia menampilkan beberapa kemasan yang menonjol. Ia juga diberikan warna luaran Titanium Carbide Gray serta Black Sport Package eksklusif. Pakej ini merangkumi pelapik bampar hadapan dan belakang dalam kemasan piano black, yang turut digunakan pada panel sisi bawah kenderaan. Di bahagian lain, lampu puddle kini dilengkapi dengan logo F Sport.
Lexus Malaysia turut mempromosikan sistem suspensi yang telah dinaik taraf, walaupun tidak memberikan butiran lanjut mengenainya. Kami menjangkakan ia melibatkan penalaan semula pada Adaptive Variable Suspension (AVS), yang sememangnya sudah tersedia pada RX 500h F Sport. Roda 21-inci matte black hitam masih mengekalkan saiz yang sama seperti varian sebelum ini dan masih dipadankan dengan tayar profil 235/50, tetapi kini dengan rekaan lima-jejari berkembar yang diperbaharui.
Selain daripada perubahan yang disebut di atas, ciri lain untuk model edisi istimewa ini masih sama seperti
RX 500h F Sport. Penjana kuasanya masih menggunakan unit T24A-FTS 2.4 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris yang mampu menghamburkan output hingga 275 PS (271 hp) dan tork 460 Nm. Tujahan hibridnya pula diperoleh dari motor elektrik hadapan dengan kuasa 87 PS (86 hp) dan 292 Nm yang diposisikan antara enjin dan transmisi automatik enam-kelajuan.
Sementara itu, sebuah lagi motor elektrik eAxle belakang memberikan sebanyak 103 PS (102 hp) dan tork 169 Nm yang menjanakan sistem pacuan semua-roda Direct4. Jumlah keselurahan kuasa yang terhasil ialah 371 PS (366 hp) dan 550 Nm, membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.2 saat.
Ciri kelengkapan kabin termasuk kemasan F Sport Dark Spin Aluminium, suede upholstery dengan paten timbul Kageri L, roda stereng F Sport tiga-jejari, kluster instrumen digital 12.3-inci, kawalan suhu tiga-zon, cermin pandangan belakang digital, skrin sesentuh infotainmen 14-inci, sokongan Android Autodan Apple CarPlay, sistem bunyi Mark Levinson dengan 21-pembesar suara serta tempat duduk hadapan larasan kuasa bersama fungsi pengudaraan.
Bagi ciri keselamatan aktif, moodel ini menerima kelengkapan penuh Lexus Safety System+ (LSS+) yang merangkumi Pre-Collision System, Dynamic Radar Cruise Control dengan Stop & Go Function, Lane Departure Alert (LDA), Lane Tracing Assist (LTA), Adaptive High-beam System (AHS) dengan BladeScanTM dan Road Sign Assist (RSA). Juga diberikan Blind Spot Monitor dengan Safe Exit Assist, Rear Traffic Cross Alert (RTCA) dan pemantauan pemandangan panoramik dengan imej 3D.
GALERI: Lexus RX 500h F Sport
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.