Chery C5 di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan transmisi DCT, suspensi multilink, harga dari RM83k

Chery C5 di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan transmisi DCT, suspensi multilink, harga dari RM83k

Tidak lama selepas dilancarkan untuk pasaran bulan lalu, Chery C5 kini membuat penampilan awam pertamanya di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025. Walaupun nampak seperti model baru, sebenarnya ini adalah versi facelift kepada Omoda 5, tetapi kini hadir dengan penjenamaan semula — daripada jenama Omoda kembali ke bawah jenama utama Chery. Hasilnya, model ini sekarang dikenali sebagai Chery C5.

Walaupun nama berubah, reka bentuk keseluruhan masih membawa identiti yang dikenali sejak kemunculan awal facelift ini di pasaran Rusia tahun lalu. Di Australia, model ini akan hadir dengan lencana baru Chery, namun versi pasaran Indonesia mengekalkan jenama “Omoda” pada bahagian depan, pintu belakang dan stereng, sekaligus mencetuskan sedikit kekeliruan dari sudut penjenamaan.

Secara visual, C5 ini berkongsi elemen rekaan dengan versi elektriknya, Omoda E5 — yang turut dinamakan semula sebagai Chery E5 di Indonesia. Ciri paling ketara ialah jalur lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk anak panah yang disambungkan dengan bar hitam, bersama tulisan “Omoda” yang masih kekal tertera di atasnya. Bampar hadapan juga direka semula dengan bentuk X yang jelas, serta gril baru tidak lagi menampilkan corak krom berkilau, sebaliknya menggunakan elemen petak sama warna dengan badan seperti model Omoda C9.

Chery C5 di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan transmisi DCT, suspensi multilink, harga dari RM83k

Rim 18 inci berwarna hitam turut menerima rekaan baru dan semua kemasan merah yang sebelum ini ada pada bampar, cermin sisi, skirt tepi, spoiler belakang dan rim digantikan dengan warna hitam untuk penampilan yang lebih elegan.

Rekaan lain masih dikekalkan, termasuk lampu belakang penuh melintang, spoiler bumbung besar dan dua paip ekzos hiasan. Bahagian dalaman turut mengekalkan susun atur asal, seperti sistem pendingin udara dengan corong melintang penuh, skrin lebar berkembar 10.25 inci, kawalan pendingin hawa sesentuh, tombol gear kompak serta kerusi gaya bucket dengan jalur kemasan beige.

Di Indonesia, Chery C5 ditawarkan dalam dua varian – Z dan RZ. Antara ciri standard termasuk lampu utama dan lampu kabus LED, enjin yang boleh dihidupkan dari jauh, sistem start/stop automatik, pengelap cermin automatik, pendingin hawa automatik dua zon, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon tanpa wayar jenis Qi, enam pembesar suara dan kamera undur.

Chery C5 di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan transmisi DCT, suspensi multilink, harga dari RM83k

Varian RZ menawarkan lebih banyak kelengkapan seperti lampu isyarat belok beranimasi, cermin pandang belakang boleh malap automatik, bumbung suria, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam arah, tempat duduk hadapan berliang, sistem audio lapan pembesar suara Sony serta kamera 360 darjah.

Semua varian turut dilengkapi dengan enam beg udara dan sistem keselamatan aktif termasuk brek kecemasan automatik, bantuan elak pelanggaran, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi berhenti dan gerak, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan amaran pergerakan kenderaan hadapan.

Chery C5 di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan transmisi DCT, suspensi multilink, harga dari RM83k

Dari aspek prestasi, C5 masih menggunakan enjin petrol 1.5 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 147 PS dan 230 Nm. Walaupun tiada lagi versi berkuasa tinggi seperti varian GT, model facelift ini menerima naik taraf penting iaitu transmisi CVT digantikan dengan transmisi klac berkembar enam kelajuan, manakala suspensi belakang jenis torsion beam diganti dengan sistem multilink, sama seperti Chery E5.

Harga bermula dari 319,900,000 rupiah (sekitar RM83,000) untuk varian Z dan 349,900,000 rupiah (sekitar RM90,800) untuk varian RZ. Versi facelift ini dijangka akan tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi, bersama model baru lain seperti Tiggo Cross dan varian plug-in hybrid bagi Tiggo 7 serta Tiggo 8 CSH (Chery Super Hybrid).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required