Daihatsu Rocky Hybrid kini telah dilancarkan secara rasmi di Indonesia. “Ativa Hybrid” ini merupakan kenderaan dengan elektrifikasi pertama oleh Astra Daihatsu Motor, dan telah mendahului Perodua dalam memperkenalkan model berkenaan ke dalam pasaran. Bagaimanapun, Rocky Hybrid tersebut adalah unit CBU dari Jepun, dan bukan pemasangan tempatan seperti Rocky petrol di sana.
Ativa Hybrid pernah diperkenalkan di Malaysia pada September 2023, tetapi SUV dengan elektrifikasi itu hanya tersedia untuk program langganan sahaja — ia tidak boleh dibeli teru dari bilik pameran dan model berkenaan disifatkan sebagai “kajian kenderaan elektrik” untuk pasaran tempatan.
Dilancarkan di Jepun pada November 2021, Rocky e-Smart Hybrid dikuasakan oleh motor elektrik 106 PS/170 Nm (Ativa 1.0T menjana 98 PS/140 Nm), dengan enjin 1.2 liter WA-VEX kitaran Atkinson tiga-silinder NA dengan janaan 82 PS/105 Nm yang bertindak sebagai generator untuk bateri hibrid. Motor elektriknya menggerakkan roda melalui gandar HEV, bermakna sistem hibrid berkenaan berfungsi mirip seperti kenderaan elektrik lanjutan jarak (range extender electric vehicle, REEV).
Rocky Hybrid memberikan bacaan penggunaan minyak 3.6 liter per 100 km dengan kitara WLTP, yang diterjemahkan kepada 27.8 km/l. Ketika Perodua memperkenalkan program langganannya dahulu, Ativa Hybrid disifatkan mampu memberi bacaan 31.3 km/l mengikut Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC). Dalam bahasa mudah, jika menggunakan kadar harga RON 95 semasa, Ativa Hybrid boleh dipandu dari KL ke Pulau Pinang (358 km) dengan kos bahan api serendah RM23 sahaja, dakwa Perodua.
Beberapa perbezaan antara Ativa Hybrid dan Rocky Hybrid ialah — bagi aspek luaran — rekaan gril Rocky lebih tirus dan khusus untuknya, serta bahagian bampar depan dan belakang dengan potongan lurus. Untuk lampu kabus pula, model Daihatsu menggunakan rekaan segitiga untuk perumahnya, sementara Perodua menggunakan bentuk L.
Rocky ini juga tidak memiliki kemasan perak ala skid-plate, dengan perumah cermin sisinya juga lebih kecil dan bulat. Cermin sisi di sebelah penumpang turut datang dengan dua lagi cermin kecil untuk melihat permukaan jalan, dengan warna badan: untuk Ativa ia berwarna hitam.
Unit yang anda lihat ini menggunakan rim aloi 16-inci, dengan lima skru pengikat berbanding empat untuk Ativa. Model Perodua menerima rim lebih besar, 17-inci dan tayar lebih lebar (205/60 berbanding 195/60). Rocky menggenakan tayar eco (Dunlop Enasave) dan tanpa tayar ganti, hanya kit kecemasan sahaja. Lencana e-Smart Hybrid boleh dilihat di bahagian pintu barangan belakang dan sisinya.
Untuk papan pemuka, model Daihatsu ini menggunakan kawalan AC sendiri (dengan fungsi auto tetapi tanpa butang memori seperti model Perodua), butang penghidup enjin warna biru serta suis brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold, yang tidak terdapat untuk Ativa. Model ini juga datang dengan fungsi Smart Pedal untuk pemanduan pedal tunggal (butang S-PDL di bawah corong pendingin pemandu) dengan janaan semula kuasa dan brek enji akan diaktifkan ketika memijak pedal brek.
Unit yang dilihat ini walaupun CBU, ia tidak dilengkapi dengan skrin sentuh seperti di pasaran Jepun, dan digantikan dengan unit kamera undur tempatan. Disebabkan itu, sterengnya sangat asas dengan hanya kawalan Trip dan butang “Power”, kelihatan seperti varian dengan spesifikasi lebih rendah (tiada ACC juga). Suspensi bagi unit JDM ini juga 15 mm lebih rendah daripada Ativa. Harga Daihatsu Rocky Hybrid ini akan diumumkan esok
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.