Proton rugi dari 2012 hingga 2016 sebelum kerjasama dengan Geely terbentuk pada 2017 – Tengku Zafrul

Proton rugi dari 2012 hingga 2016 sebelum kerjasama dengan Geely terbentuk pada 2017 – Tengku Zafrul

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa kerjasama strategik antara Geely dan Proton merupakan sebab mengapa jenama automotif nasional itu kembali menghasilkan keuntungan, lapor Malaysiakini.

Perkara ini beliau nyatakan dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen PN-Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad yang bertanya apakah peranan Geely dalam membantu Proton secara domestik dan peringkat rantau, dan adakah ada perjanjian kerjsama antara kedua-dua syarikat itu.

Menurut Zafrul, Proton mengalami kerugian dari 2012 sehingga 2016 sebelum kerjasamanya dengan Geely termeterai pada 2017, yang membolehkan Proton kembali untung. Kerjasama berkenaan menyaksikan Geely kini memiliki 49.9% kepentingan di dalam Proton.

Proton rugi dari 2012 hingga 2016 sebelum kerjasama dengan Geely terbentuk pada 2017 – Tengku Zafrul

Beliau turut menjelaskan bahawa kerjasama antara kedua-dua syarikat itu membolehkan pemindahan teknologi dibuat, termasuk platform automotif termaju, enjin cekap-tenaga dan juga sistem elektrifikasi yang memodenkan barisan model Proton buat masa sekarang.

Barisan model yang lebih segar itu membolehkan Proton menjual kenderaan dengan jumlah berganda, bermula sekitar 71,000 unit pada 2016 kepada lebih 152,000 unit pada 2025.

“Selari dengan ini, bahagian pasaran Proton juga menunjukkan trend yang positif, naik dari sekitar 12.5% pada 2016 kepada sekitar 18.7% pada 2024. Peningkatan ini telah dipacu pelancaran model-model baharu yang lebih kompetitif, secara khususnya dalam aspek teknologi, rekaan dan nilai harga, seperti model X70, X50, X90, dan S70,” kata Zafrul.

“Selain itu, dua model kenderaan elektrik (EV) Geely sedang dalam proses pemasangan tempatan untuk pasaran domestik dan serantau,” tambahnya.

Proton rugi dari 2012 hingga 2016 sebelum kerjasama dengan Geely terbentuk pada 2017 – Tengku Zafrul

Salah satu daripada dua model itu ialah eMas 7, yang akan dipasang di kilang kenderaan elektrik (EV) baharu Proton di Tanjong Malim yang disasarkan siap menjelang akhir 2025. Proton masih belum mendedahkan EV kedua yang akan dipasang secara tempatan (CKD) di kilang itu, namun ia dipercayai adalah eMas 5 iaitu EV kompak yang sudahpun diumumkan pada Mei lalu dan kini dilihat sedang diuji secara ekstensif.

Satu lagi impak positif dihasilkan dari kerjasama ini adalah jumlah kenderaan yang dieksport oleh Proton naik sebanyak 316% dari 1,145 unit pada 2018 sehingga 4,765 unit pada 2024. Proton kini telah mengeksport kenderaan keluarannya ke negeri seperti Pakistan, Brunei, Nepal, Trinidad and Tobago, Bangladesh, Mauritius dan Afrika Selatan.

“Sejak bekerjasama dengan Geely, sehingga kini, Proton telah melaksanakan beberapa pelaburan penting dengan jumlah pelaburan dianggarkan melebihi RM4.71 bilion,” kata Zafrul.

“Pelaburan ini termasuk penambahbaikan infrastruktur, termasuk pembangunan kilang EV, pembinaan barisan pengeluaran stamping baharu dan fasiliti pemasangan rangkaian kuasa, pembangunan teknologi untuk meningkatkan keupayaan teknikal dan kecekapan pengeluaran, latihan tenaga kerja dan pelaburan untuk aktiviti R&D yang bertujuan memacu inovasi produk serta pembangunan teknologi baharu untuk menyokong pengeluaran model kenderaan masa hadapan,” tambahnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required