Selepas seminggu menguar-uarkan kedatangan model terbaharunya yang ‘dimeriahkan’ dengan kecomelan Capybara selaku maskotnya, hari ini BYD Sime Motors melancarkan SUV kompaknya, Atto 2 untuk pasaran tempatan. Hanya ditawarkan dengan varian tunggal, Atto 2 untuk pasaran Malaysia ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM100,000 tanpa insurans. Turut didatangkan dengan waranti kenderaan enam-tahun/150,000 km, waranti bateri lapan-tahun/160,000 km dan waranti unit pacuan lapan-tahun/150,000 km.
SUV kompak ini didedahkan buat pertama kalinya pada Februari 2024 di China, dan ia dikenali sebaggai Yuan Up. Diposisikan di antara model Dolphin dan Atto 3, Atto 2 kemudiannya diperkenalkan secara rasmi di Bangkok International Motor Show 2025 pada Mac tahun ini. Ia berukuran 4,310 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,675 mm tinggi dengan jarak roda cecah 2,620 mm. Sebagai perbandingan, Dolphin pula berukuran 4,290 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak roda berukuran 2,700 mm.
Jika dibandingkan dengan pencabarnya yang lain, Atto 2 lebih kurang sama saiz dengan Proton X50, yang berukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi dengan jarak roda 2,620 mm. Ia juga bakal bersaing dengan Honda HR-V yang berukuran 4,347 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,591 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,610 mm.
Bagi penjana kuasanya, ia dipacukan oleh motor elektrik yang mampu menghamburkan kuasa hingga 177 PS (130 kW atau 174 hp) dan tork 290 Nm yang mampu dipecut dari 0–100 km/j dalam 7.9 saat dan kelajuan maksimum mencecah 160 km/j.
Baterinya pula, diberikan unit lithium iron phosphate (LFP) Blade berkapasiti 51.13 kWj yang mampu memacu jarak pacuan hingga 350 km mengikut standard WLTP. Bateri ini mampu menyokong pengecas pantas DC CCS2 hingga 82 kW dengan status pengecasan antara 10% ke 80% mampu dicapai dalam 37 minit. Jika menggunakan pengecas AC Type 2 berkapasiti 7 kW pula, pengecasan penuh mengambil masa lebih kurang enam jam. Ia juga menyokong fungsi V2L (Vehicle-to-Load) untuk mengecas peralatan elektrik sehingga 3.3 kW.
Untuk bahagian luarannya, wajah Atto 2 ini direka ala “Dragon Face” yang memberi imej yang tersusun dengan overhang pendek serta lekuk badan yang berkuasa menonjolkan gaya yang sporty. Ia dilengkapi lampu LED hadapan penuh dengan lampu nyalaan siang (DRL) yang nipis dan trim hitam serta kemasan cerah di tengah gril untuk penampilan moden.
Ciri luarannya yang lain termasuk garisan bumbung seakan terapung (floating roof) dengan pillar hitam, flush door handles yang menambah gaya moden dan aerodinamik, dan perlindungan plastik hitam di bahagian bawah sisi (side cladding). Ia juga dipadankan dengan roda aloi lima-jejari 17-inci yang dibaluti tayar 215/60 R17.
Melewati bahagian belakangnya, ia diberikan lampu belakang penuh (full‑width light bar) yang menyambung keseluruhan lebar belakang, bumper belakang yang condong keluar dilengkapi spoiler atas bumbung dan kemasan bawah seperti skid plate kemasan perak.
Kabin Atto 2 diberikan sentuhan estetika dengan sistem kokpit pintar, bersama rekaan yang minimalis dan berorientasikan kepelbagaian fungsi bagi memberikan pengalaman yang menyenangkan dan mudah digunakan. Bahagian papan pemukanya juga minimalis dengan skrin infotainmen berputar berukuran 12.8-inci yang boleh diubah dari lanskap ke potret dengan satu tombol. Antara ciri kelengkapan lain yang diberikan termasuklah kluster instrumen 8.8-inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto, NFC keyless untuk membuka pintu yang dikunci, tempat duduk balutan kulit sintetik, BYD In-Car Karaoke, dan sokongan kemaskini OTA.
Ruang kargo Atto 2 mencecah 400 liter yang boleh diperluas hingga 1,320 liter dengan melipat tempat duduk belakang. Selain itu, terdapat banyak ruang simpanan dalam kabin termasuk konsol tengah yang dalam, pemegang cawan, pad pengecas tanpa wayar, dan kompartmen di bawah perehat tangan.
Bagi aspek keselamatan, Atto 2 dilengkapi dengan sistem kawalan dan bantuan pemanduan ADAS 2.0 yang merangkumi Forward Collision Warning, Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Brake Override System dan Traffic Jam Assist. Selain itu, ia diberikan enam beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control, Downhill Assist Control, Auto Hold, Tyre Pressure Monitoring System (TPMS), sensor parkir (hadapan dan belakang), kamera belakang 360-darjah, Parking Assist, dan cagak Isofix, .
BYD Atto 2 ditawarkan dengan tiga pilihan warna luaran iaitu Ski White, Breeze Green dan Harbour Grey, yang kesemuanya dipadankan dengan rona hitam untuk ruang kabin. Sekali lagi, ia ditawarkan dengan harga atas jalan bermula RM100,000 tanpa insurans.
Sebagai perbandingan, Dolphin ditawarkan dengan harga dari RM100,700 tanpa insurans untuk varian asas Dynamic Standard dan meningkat hingga RM125,600 untuk model spesifikasi penuh Premium Extended. Manakala Atto 3 yang kini ditawarkan dengan varian tunggal Ultra ditawarkan pada harga atas jalan RM124,500 tanpa insurans.
Untuk 800 pembeli pertama Atto 2 ini, BYD Sime Motors bakal memberikan pakej pemilikan mudah bernilai hingga RM13,500 iaitu Pakej Bayaran Mudah dengan bayaran ansuran RM0 untuk enam bulan pertama (eksklusif dengan bank panel Sime Motors)..
Selain itu, bakal diberikan pengecas wallbox untuk landed house (rumah bertanah) atau Sime Platinum 4+ oleh Power Up yang merangkumi progran langganan percuma selama 12 bulan, empat kali pengecasan mudah alih dari pintu ke pintu untuk setiap bulan, dua kali cucian kereta, vakum dan mengilat tayar setiap bulan serta dua kali EV rescuer percuma selama setahun yang kesemua ini hanya untuk pemilik yang berada di PJ, KL dan Pulau Pinang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.