Selepas Singapura, kini giliran Indonesia pula dalam rantau ASEAN menerima SUV segmen-C Nissan X-Trail generasi ke-empat, iaitu model yang telah membuat penampilan sulungnya di Amerika Syarikat lima tahun lalu. Model yang dikenali dengan kod T33 ini dilancarkan ketika berlangsungnua Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025, ditawarkan hanya dalam varian hibrid e-Power tanpa pilihan enjin petrol penuh, dan masih tampil dengan muka asal, bukan versi facelift 2024.
Seperti yang diketahui, unit rangkaian kuasa e-Power Nissan merupakan sistem hibrid jenis range extender di mana enjin petrol yang dibekalkan hanya bertugas sebagai generator untuk mengecas bateri, manakala tayar dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik seperti sebuah EV sebenar. X-Trail e-Power ini datang dengan sistem pacuan semua roda e-4orce, jadi SUV ini menerima dua motor elektrik.
Gandar hadapan dipacu oleh motor elektrik berkuasa 203 PS dan tork maksima 330 Nm, manakala gandar belakang pula dipacu oleh motor elektrik berkuasa 135 PS dan tork maksima 195 Nm. Motor-motor berkenaan menerima kuasa dari bateri litium-ion 1.8 kWj, yang menerima cas menerusi enjin 1.5 liter KR15DDT tiga-silinder turbo dengan teknologi nisbah mampatan bervariasi (VC-Turbo), menghasilkan kuasa 158 PS/250 Nm.
Lima mod pemanduan diberikan pada unit rangkaian kuasa e-Power pada X-Trail ini termasuk Off-road, Snow, Auto, Eco dan Sport, yang turut berinteraksi dengan sistem e-4orce untuk mengagihkan tork secara tepat pada gandar hadapan dan belakang bergantung pada mod yang dipilih. Ia juga diberikan mod pemanduan satu pedal, membolehkan ia bergerak dan berhenti dengan kawalan hanya pada pedal pendikit.
Antara perincian yang diberikan pada model pasaran Indonesia ini termasuk rim aloi 19-inci, penutup aliran udara pada gril hadapan aktif dan bumbung suria panaromik kawalan elektronik. Ia juga diberikan skrin sesentuh 12.3-inci untuk sistem infotainmen yang menerima sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, disambungkan kepada sistem bunyi premium Bose dengan sembilan pembesar suara.
Pemandu pula diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT 12.3-inci, paparan head up 10.8-inci yang dipancarkan ke cermin hadapan, roda stereng dan tombol gear balutan kulit.
Tujuh tempat duduk X-Trail ini disusun dengan konfigurasi 2-2-3, di mana tempat duduk baris ketiga boleh dilipat sepenuhnya ke dalam lantai bagi membolehkan ruang kargo belakang disediakan dengan kapasiti 485 liter. Kedua-dua tempat duduk paling hadapan boleh dilaras secara elektrik dalam 10-hala dengan larasan lumbar.
Selain itu kabin X-Trail ini menerima upholsteri kulit berwarna hitam, sistem pendingin hawa tiga-zon, lampu suasana kabin, cermin pandang belakang auto-malap, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta port-port pengecas USB-A dan USB-C.
Bagi keselamatan pula, X-Trail ini menerima enam-beg udara, kawalan menurun bukit, bantuan mula mendaki, kamera pemantau sekeliling dengan pengesan objek dan sistem pemantau tekanan angin tayar.
Ia juga diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang terdiri dari fungsi amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, cruise control pintar, amaran keluar lorong, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, sistem kewaspadaan pemandu pintar dan bantuan lampu tinggi.
Nissan X-Trail e-Power dengan e-4orce 2025 pasaran Indonesia ini ditawarkan dengan lapan pilihan warna badan iaitu Diamond Black, Dark Metal Grey, Brilliant Silver, Champagne Silver, White Pearl, Milky Grey, Diamond Red dan Caspian Blue. Khas untuk warna White Pearl, Caspian Blue, Champagne Silver dan Ceramic Grey, ia turut boleh dipilih dengan bumbung berwarna hitam. Ia dijual pada harga Rp795,000,000 atau sekitar RM205k.
Di Malaysia, Edaran Tan Chong Nissan (ETCM) sudahpun mempertontonkan Nissan X-Trail generasi keempat ini ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2024 pada Disember lalu. Unit yang ditunjukkan tersebut masih dibalut dengan pelekat penyamaran, dan ia dibawa dari Singapura juga dalam versi e-Power dengan e-4orce. Namun ETCM masih belum mengumumkan bila ianya akan dilancarkan di sini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.