Daihatsu Rocky Limited Edition dilancar di Indonesia – RM64k, hanya 10 unit, kembar Ativa dengan gaya lasak

Daihatsu Rocky Limited Edition dilancar di Indonesia – RM64k, hanya 10 unit, kembar Ativa dengan gaya lasak

Astra Daihatsu Motor (ADM) telahpun melancarkan model edisi terhad Daihatsu Rocky Limited Edition ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025. Model yang hanya dihasilkan sebanyak 10 unit berkenaan dilihat sebagai versi produksi bagi Daihatsu Rocky Crossfield Concept yang membuat kemunculannya pada GIIAS tahun lalu.

Model edisi khas kembar kepada Perodua Ativa di Malaysia ini dihasilkan berdasarkan varian Rocky paling laris di Indonesia iaitu Rocky 1.2X CVT – menurut ADM, rekod menunjukkan 66% jualan Rocky di Indonesia sehingga Jun 2025 adalah dari varian 1.2X CVT tersebut.

Pada bahagian luaran, perbezaan utama pada Rocky Limited Edition berkenaan adalah gril hadapan dengan bar perak tebal pada sebelah atas serta dicetak dengan skrip ‘DAIHATSU’. Kemudian bampar hadapan dan belakang datang dalam kemasan hitam matte seakan sama dengan panel-panel pelindung plastik pada ruang roda dan bendul sisi yang tidak diwarnakan bagi memberikan imej lebih lasak.

Daihatsu Rocky Limited Edition dilancar di Indonesia – RM64k, hanya 10 unit, kembar Ativa dengan gaya lasak

Rocky Limited Edition ini juga hanya datang dengan warna badan Energetic Orange dan juga bumbung berwarna hitam, bersama pelekat badan sisi berwarna hitam matte dan grafik ‘Rocky Limited Edition’. Akhir sekali rim aloi 16-inci SUV ini juga turut dilayangkan dengan warna hitam berkilat.

Secara keseluruhan, bahagian luaran Rocky Limited Edition ini memang nampak hampir sama seperti Rocky Crossfiled, cuma ia tidak dipadankan dengan tayar All-Terrain dan juga dilengkapi dengan rak bumbung bersama lampu sorot serta khemah awning pada sisi bumbung.

Pada sebelah dalam pula, panel-panel dengan kemasan perak pada model 1.2X biasa seperti pada kotak konsol tengah, suis kawalan pendingin hawa, jejari roda stereng, pembuka pintu sebelah dalam semuanya diganti dengan komponen berwarna hitam.

Varian 1.2X CVT ini dibekalkan dengan enjin WA-VE 1.2 liter NA berkuasa 88 PS pada 6,000 rpm dan tork 113 Nm pada 4,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear CVT. Enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo seperti Ativa di Malaysia hanya ditawarkan pada varian tertinggi 1.0 R Turbo.

Rocky 1.2X CVT pasaran Indonesia ini juga menerimq perincian seperti lampu hadapan LED, lampu kabus, cermin sisi auto-lipat, paparan instrument digital, sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin dan pelbagai lagi.

Daihatsu Rocky Limited Edition ini dijual pada harga Rp248,750,000 (sekitar RM64k). Jadi model edisi terhad ini adalah Rp23,200,000 (sekitar RM6k) lebih mahal berbanding varian 1.2 X CVT biasa yang dijual pada harga Rp225,550,000 (sekitar RM58k).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required