Hyundai Stargazer Cartenz 2025 dilancar di Indonesia – harga dari RM70k, enjin 1.5L NA, transmisi IVT/6MT

Hyundai Stargazer Cartenz 2025 dilancar di Indonesia – harga dari RM70k, enjin 1.5L NA, transmisi IVT/6MT

Hyundai melancarkan model facelift bagi MPV Stargazer dan varian berinspirasikan crossover di Indonesia, masing-masing dinamakan Stargazer Cartenz dan Stargazer Cartenz X. Penjenamaan semula ini merupakan strategi Hyundai untuk menghasilkan kenderaan yang lebih sesuai dengan kondisi jalan raya Indonesia, dengan nama “Cartenz” diambil daripada Puncak Cartenz, puncak tertinggi di negara itu.

Stargazer Cartenz ditawarkan dalam empat varian – Trend, Style, Smart HSS dan Prime HSS – manakala Cartenz X hadir dalam tiga pilihan iaitu Trend, Style dan Prime Package. Kedua-dua model menggunakan enjin 1.5 liter Smartstream NA empat silinder MPI yang menghasilkan 115 PS dan 143.8 Nm tork. Transmisi IVT adalah standard untuk Cartenz X, sementara model Cartenz menawarkan pilihan transmisi manual enam kelajuan bagi varian Trend dan Style.

Dari segi harga, Stargazer Cartenz bermula dari 269.9 juta rupiah (sekitar RM70,000) sehingga 350.4 juta rupiah (RM91,000), manakala Cartenz X dijual antara 361.9 juta rupiah (RM94,000) hingga 391.9 juta rupiah (RM101,000). Ini menjadikan Cartenz X lebih premium dengan kelengkapan tambahan dan rekaan lebih lasak.

Hyundai Stargazer Cartenz 2025 dilancar di Indonesia – harga dari RM70k, enjin 1.5L NA, transmisi IVT/6MT

Perubahan ketara boleh dilihat pada reka bentuk luaran, terutamanya bahagian hadapan dengan bonet lebih panjang, lampu utama yang diletakkan lebih tinggi serta lampu nyalaan siang berbentuk ‘H’. Gril hadapan kini lebih besar dengan corak segi empat, manakala bahagian apron bawah tampil lebih agresif. Di belakang, lampu turut menerima sentuhan rekaan serupa.

Varian Cartenz X tampil lebih garang dengan gril yang lebih besar, bampar depan dan belakang lebih tebal, spoiler besar, rel bumbung lebih tegap dan lengkuk roda berwarna hitam. Saiz keseluruhan juga bertambah, menjadikan Cartenz X lebih panjang, lebar dan tinggi berbanding versi biasa.

Bahagian dalam kedua-dua model menerima kemas kini penting termasuk papan pemuka baru dengan paparan dwi-skrin moden, ventilasi udara lebih ringkas, ruang simpanan tambahan di hadapan penumpang dan panel kawalan pendingin hawa digital yang lebih kemas. Sistem infotainmen dan kluster meter turut dipertingkat, bergantung kepada varian.

Hyundai Stargazer Cartenz 2025 dilancar di Indonesia – harga dari RM70k, enjin 1.5L NA, transmisi IVT/6MT

Model Cartenz menawarkan pelbagai ciri termasuk lampu LED MFR, rim 16 atau 17 inci, skrin infotainmen sehingga 10.25 inci, pengecas tanpa wayar, enam beg udara serta sistem telematik Bluelink. Varian HSS pula dilengkapi teknologi keselamatan aktif Hyundai SmartSense yang merangkumi AEB, Adaptive Cruise Control, amaran pelanggaran sisi dan pelbagai ciri bantuan pemandu lain.

Cartenz X hadir dengan kelengkapan lebih menyeluruh, termasuk sistem bunyi lapan pembesar suara Bose, tempat duduk pemandu berkuasa dengan fungsi ventilasi serta pengesan jarak depan dan belakang. SmartSense disediakan untuk varian Style dan Prime Package, dengan tambahan monitor pandangan keliling serta pemantau titik buta berasaskan kamera.

Semua varian datang dengan tempat duduk tiga baris, sama ada dengan konfigurasi bangku 60:40 di baris kedua atau kerusi kapten bagi varian tertentu. Kapasiti ruang but mencecah 585 liter apabila baris ketiga dilipat. Pilihan warna luaran termasuk Titanium Gray, Magnetic Silver, Creamy White, Midnight Black dan dua warna tambahan eksklusif Cartenz X iaitu Optic White Matte dan Gravity Gold Matte.

Di pasaran Indonesia, Stargazer Cartenz bersaing secara langsung dengan Toyota Veloz dan Mitsubishi Xpander, manakala Cartenz X mencabar kehadiran Mitsubishi Xpander Cross. Dengan peningkatan rekaan dan teknologi, tidak mustahil model ini akan mendapat perhatian jika dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

GALERI: Hyundai Stargazer Cartenz di GIIAS 2025

GALERI: Hyundai Stargazer Cartenz X di GIIAS 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required