Honda N-One e: didedah – EV kecil guna asas Super EV Concept, jarak gerak 270 km, dijual secara global?

Honda N-One e: didedah – EV kecil guna asas Super EV Concept, jarak gerak 270 km,  dijual secara global?

Honda secara rasmi memperkenalkan model N-One e: di Jepun, sebuah kereta bandar kecil yang kini hadir dengan penggerak elektrik penuh. Model ini menggunakan teknologi daripada Honda N-Van e: dan asas daripada Super EV Concept yang sebelum ini diperlihatkan di Goodwood Festival of Speed serta kini dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS).

Sementara versi konsep lebih agresif, N-One e: pula mengekalkan dimensi kecil yang memenuhi syarat kei car di Jepun. Ia adalah versi elektrik bagi Honda N-One, sebuah hatchback bandar yang menawarkan rekaan menegak, lampu utama bulat, “topeng” hadapan berwarna hitam, lampu belakang berbentuk segi empat dan bumbung dua tona sebagai pilihan.

Untuk versi elektrik ini, beberapa perubahan rekaan diperkenalkan. Bahagian hadapan menampilkan wajah baru dengan lampu utama yang berbentuk lebih petak dan terputus di bahagian atas. Di antara lampu terdapat dua soket pengecas – sebelah pemandu ialah soket pengecas AC Type 1, manakala sebelah lagi dipercayai soket DC CHAdeMO. Bonet juga direka lebih rata dan lubang pengambilan udara kini hanya berupa petak ringkas.

Honda N-One e: didedah – EV kecil guna asas Super EV Concept, jarak gerak 270 km,  dijual secara global?

Di belakang, pintu but baru direka dengan ruang nombor pendaftaran yang lebih rendah serta perincian rekaan segi empat di bahagian bampar. Unit dipamerkan menggunakan rim aloi kecil bersaiz 14 inci dengan rekaan enam jejari, namun dijangka pelbagai pilihan rim akan ditawarkan apabila ia dilancarkan secara rasmi hujung tahun nanti.

Ruang dalaman N-One e: menampilkan rekaan lebih ringkas berbanding versi enjin petrol. Papan pemuka kini berbentuk mendatar untuk memberikan pandangan lebih luas keluar, bersama corong pendingin hawa bentuk segi empat, rak simpanan tengah dan tombol gear jenis butang. Warna cerah digunakan pada papan pemuka, panel pintu dan stereng untuk memberi rasa kabin yang lebih luas dan ceria.

Turut disertakan ialah paparan digital kecil untuk meter, dan walaupun tiada skrin sesentuh disediakan secara standard, pembeli boleh memilih sistem navigasi termasuk unit Honda Connect bersaiz sembilan inci. Bahagian tengah tempat duduk hadapan turut disediakan dulang simpanan, menggantikan kawasan permaidani kosong pada versi petrol.

Honda N-One e: didedah – EV kecil guna asas Super EV Concept, jarak gerak 270 km,  dijual secara global?

Setakat ini, Honda belum mendedahkan spesifikasi penuh model ini tetapi mengesahkan jarak perjalanan sekitar 270 km mengikut kitaran WLTP. Meskipun angka ini kelihatan rendah berbanding standard sekarang (sekitar 400 km), saiz N-One e: yang kurang daripada 3.4 meter panjang bermaksud ruang untuk bateri adalah terhad. Namun, ia masih mengatasi pencabar utamanya seperti Nissan Sakura dan Mitsubishi eK X EV yang hanya menawarkan sekitar 180 km.

Pakej kuasa dijangka sama dengan N-Van e: iaitu motor elektrik tunggal di hadapan dengan kuasa 64 PS (47 kW) dan tork 162 Nm, dipadankan dengan bateri 29.6 kWh. Menariknya, versi konsep Super EV yang berkait dengan model ini dijangka menjadi model produksi global untuk pasaran luar Jepun termasuk Eropah.

Honda menyatakan bahawa ia akan menjadi kereta yang menyeronokkan untuk dipandu dengan pengalaman pemanduan yang “mendebarkan”, menandakan ia bakal hadir dengan talaan yang lebih sporty, motor lebih berkuasa, bateri lebih besar dan suspensi berprestasi tinggi – jauh lebih agresif daripada model pasaran Jepun. Penampilan model konsep tersebut di GIIAS juga memberi petanda bahawa Honda mempertimbangkan untuk membawanya ke pasaran ASEAN.

GALERI: Honda Super EV Concept di GIIAS 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required