Proton International ditubuhkan – tumpu pasaran global, sasar eksport 6k unit tahun ini, 12k pada 2026

Proton International ditubuhkan – tumpu pasaran global, sasar eksport 6k unit tahun ini, 12k pada 2026

Proton Holdings Berhad (Proton) secara rasmi telah mengumumkan penubuhan Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB), iaitu sebuah lagi anak syarikat milik penuh jenama automotif nasional tersebut yang ditubuhkan khas bagi memperluas pasarannya ke luar negara. Syarikat baharu ini dipimpin oleh Encik Edmund Lim Meng Thong sebagai CEO yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton.

Menurut Proton, jualan untuk pasaran eksport akan menjadi faktor utama pertumbuhan jualan masa hadapannya. Oleh itu PICSB bertanggungjawab untuk meluaskan jejak global Proton dengan sasaran untuk berkembang ke negara-negara Selatan Global, dalam masa yang sama terus menyelia dan membangunkan usaha jualan serta pemasaran di pasaran luar negara sedia ada.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Proton menyatakan bahawa ia kini mendahului jumlah eksport kenderaan di Malaysia, dan dalam perancangan jangka panjang angka berkenaan disasarkan untuk dipertingkat sebanyak sepuluh kali ganda dalam tempoh lima tahun akan datang.

Proton mula mengeksport kenderaan keluarannya sejak 1986, iaitu hanya tahun kedua ia beroperasi dengan Bangladesh menjadi pasaran eksport pertamanya. Pada 1992, jenama itu telah diiktiraf sebagai jenama baharu paling cepat berkembang di UK dengan jualan tahunan mencapai 15,000 unit.

Proton International ditubuhkan – tumpu pasaran global, sasar eksport 6k unit tahun ini, 12k pada 2026

Edmund Lim Meng Thong, CEO Proton International

Pada awal era 2000, Proton sudahpun berada di 64 buah negara di seluruh dunia, dan secara strategik mengalihkan tumpuan kepada pasaran serantau berpertumbuhan tinggi seperti ASEAN, China, India, Timur Tengah, dan Afrika Utara.

Seperti yang diketahui, Proton pernah menghadapi krisis kewangan dan ia turut menjejaskan pasaran eksportnya selepas itu. Namun setelah memeterai perjanjian strategik bersama Geely pada 2017, Proton mula merangka semula strategi untuk pasaran eksportnya.

Dari 2020 sehingga 2025, Proton telah mengeksport sebanyak 20,169 unit kenderaan ke-19 buah negara. Tiga model Proton yang mencatatkan angka eksport paling tinggi dalam tempoh berkenaan adalah Proton Saga dengan 10,998 unit, Proton X50 dengan 3,986 unit, dan Proton X70 dengan 3,316 unit.

Selain dieksport terus dari Malaysia, Proton turut mengusahakan kilang-kilang pemasangan luar negara, antaranya Proton Saga yang telah dipasang secara tempatan di Mesir oleh pengedar tempatan Ezz Elarab Group pada Februari lalu.

Kehadiran model EV pertama Proton iaitu eMas 7 turut membantu untuk memacu pasaran eksport di mana sebanyak 233 unit SUV tersebut telah dihantar ke Nepal dan Trinidad & Tobago pada Disember 2024. Proton eMas 7 telah dilancarkan di Nepal pada Mac lalu, diikuti Trinidad & Tobago pada Jun. Ia juga telah membuat penampilan sulung di Singapura ketika berlangsungnya The Car Expo 2025 pada Mei lalu, bagi menandakan kehadiran semula Proton selepas lebih 10-tahun di negara seberang tambak berkenaan.

Selepas ini Proton International Corp mensasarkan jualan eksport sebanyak 6,000 unit pada 2025 dan ia disasarkan naik sebanyak sekali ganda menjelang 2026, serta sasaran menggandakan angka tersebut melebihi sepuluh kali ganda jumlah itu menjelang 2030. 19-pasaran eksport Proton buat masa sekarang termasuk Brunei, Fiji, Papua New Guinea, Trinidad & Tobago, Singapura, Bermuda, Bangladesh, Nepal, Pakistan, Mauritius, Sri Lanka, Mesir, Iraq, Ghana, Angola, Kenya, Afrika Selatan, Mozambique, dan Zimbabwe.

“Pendaftaran rasmi Proton International Corporation Sdn Bhd menandakan detik penting, mengukuhkan tumpuan dan meningkatkan ketangkasan kami untuk mendorong perluasan global. Kami menetapkan sasaran yang tinggi untuk beberapa tahun akan datang. Untuk mencapai sasaran itu, kami sedang giat mengambil lebih ramai tenaga kerja untuk pasukan jualan dan pemasaran serantau kami. Kami juga teruja dengan kemajuan yang dicapai di Automotive High Tech Valley (AHTV), yang akan meningkatkan keupayaan pengeluaran kami untuk memenuhi permintaan antarabangsa yang semakin meningkat,” kata Encik Edmund Lim Meng Thong.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required