Proton Saga CKD Mesir sudah dilancarkan – model-model SUV dan NEV turut dirancang selepas ini

Proton Saga CKD Mesir sudah dilancarkan – model-model SUV dan NEV turut dirancang selepas ini

Selepas tiga bulan kilang rakan kerjasama Proton di Mesir iaitu Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF) dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, kini model pertama yang keluar dari fasiliti tersebut, Proton Saga telah pun dilancarkan ke pasaran negara itu.

Di Mesir, Proton diwakili oleh pengedarnya iaitu Kumpulan Ezz Elarab di mana pelancarannya ini juga turut mengeratkan kerjasama kedua-dua pihak yang telah bekerjasama selama 20-tahun. Pelancaran Saga CKD Mesir ini dihadiri oleh pengerusi ESAF Hisham Ezz Elarab, CEO Proton Dr Li Chunrong serta wakil-wakil dari kedua-dua syarikat, dan juga Duta Besar Malaysia ke Mesir YAB Dato’ Tarid Sufian.

Menurut laporan-laporan media tempatan, Proton Saga CKD Mesir ini dijual pada harga bermula EGP629,900 (RM56k), atau EGP120,000 lebih murah dari versi yang diimport sepenuhnya dari Shah Alam. Ia ditawarkan hanya dalam satu varian, dengan diberikan kelengkapan termasuk skrin infotainmen tujuh-inci, empat pembesar suara, dua beg udara, kamera parkir dan lain-lain.

Kelengkapan mekanikal masih sama seperti Saga di Malaysia dengan pemadanan enjin 1.3 liter empat-silinder Campro VVT berkuasa 95 PS/120 Nm bersama kotak gear automatik empat-kelajuan. Apa yang berbeza, model CKD Mesir ini ditawarkan dalam warna Marine Blue yang tidak ada dijual di Malaysia.

“Kedudukan strategik Mesir di antara wilayah Timur Tengah dan Afrika serta populasinya yang ramai dan pemulihan pasaran yang menjanjikan, memberikan peluang pertumbuhan yang luar biasa bagi Proton,” kata Dr. Li. Beliau turut menambah bahawa Proton akan turut menerokai peluang untuk melancarkan produk lain, termasuk SUV dan NEV apabila peluang diberikan oleh keadaan pasaran.

Dalam laporan Egypt Telegraph, ESAF mensasarkan untuk menghasilkan 5,000 unit Saga pada 2025, manakala Al-Masry Al-Youm pula melaporkan kilang ini turut akan memasang satu lagi model sedan baharu pada 2026 serta model SUV pada 2027.

“Pada tahun 2024, jumlah jualan eksport Proton telah mengalami penambahan sebanyak 31.1%, dan Mesir memainkan peranan penting untuk mencapai keputusan ini. Kesannya, Proton telah mengukuhkan komitmen kami untuk menjadikan eksport sebagai tonggak utama strategi masa depan syarikat dan kami berharap untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dengan rakan kongsi kami di Mesir,” kata Dr. Li lagi.

Menurut kenyataan terbaharu yang dikeluarkan oleh Proton ini, kilang baharu yang terletak di Taman Perindustrian Al Oula di Giza ini telah dibina dengan pelaburan sebanyak USD50 juta dan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 40,000 kenderaan sekiranya ia beroperasi dalam dua syif.

Tambah kenyataan itu lagi, kewujudan kilang ini juga menandakan komitmen Mesir terhadap pembangunan industri dengan menggunakan kemudahan komponen sumber tempatan dan rancangan untuk pengembangan masa depan, termasuk pengeluaran EV, sejajar dengan Wawasan 2030 Mesir.

“Hari ini, kami memperkenalkan produk pertama yang merupakan hasil daripada strategi yang disokong oleh dua rakan kongsi. Dengan permulaan pengeluaran besar-besaran pada Q1 2025, ini menandakan permulaan era baharu dalam pembuatan tempatan,” berkata Eng. Amr Abu Al-Saud, Ketua Pegawai Eksekutif Ezz Elarab Elsewedy Investment (ESI).

En. Bassem Ashmawy, Pengurus Besar Proton Egypt, pula berkata, “Selama 20 tahun, kerjasama antara Proton dan Ezz Elarab Automotive telah berjaya menjual lebih 18,000 kenderaan di pasaran Mesir. Kejayaan ini telah membuktikan kecekapan dan kebolehpercayaan model Proton untuk menjadikannya pilihan utama pembeli. Kami kekal komited untuk memberikan tahap keselamatan, keselesaan dan teknologi moden yang tertinggi dalam kenderaan kami, dan kami tidak sabar untuk melihat Proton Saga baharu di jalan raya Mesir kerana ia meneruskan legasi kejayaan Proton di negara ini.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required