Brabus sekali lagi menampilkan kepakaran talaan ekstremnya menerusi Mercedes-AMG GT63S E Performance yang kini dikenali sebagai Brabus 1000. Walaupun namanya ringkas, angka yang ditawarkan oleh jentera hibrid berprestasi tinggi ini sememangnya luar biasa dan selari dengan reputasi jenama penala dari Jerman itu.
Asas kepada Brabus 1000 ialah enjin V8 petrol 4.0 liter dwi-turbo AMG yang kini telah dinaik taraf secara signifikan. Kapasiti enjinnya meningkat kepada lebih 4.4 liter (secara tepat 4,407 cc) hasil daripada pembesaran diameter silinder kepada 84 mm dan penggunaan piston tempa baru. Brabus turut membangunkan crankshaft aluminium jenis billet dengan lejang sepanjang 100 mm bagi meningkatkan sesaran enjin.
Peningkatan lain termasuk penggunaan pengecas turbo Brabus dan sistem ekzos stainless steel berprestasi tinggi, lengkap dengan injap untuk mengawal tahap bunyi. Semua komponen ini diselaraskan menerusi sistem pengurusan enjin khas, membolehkan jentera ini menghasilkan 796 PS (785 hp atau 585 kW) pada 5,900 rpm dan tork setinggi 1,250 Nm pada 2,900 rpm.
Namun begitu, bagi menjaga ketahanan sistem pacuan, tork maksimum telah dihadkan secara elektronik kepada 1,050 Nm. Kotak gear automatik AMG Speedshift MCT 9G sembilan kelajuan dengan multi-clutch serta sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+ dikekalkan.
Sistem hibrid Brabus 1000 masih menggunakan motor elektrik AMG yang tidak diubah – dengan transmisi dua kelajuan – yang menghasilkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 320 Nm. Jika digabungkan, sistem janaan kuasa keseluruhan menghasilkan angka yang mengagumkan – 1,000 PS (986 hp atau 735 kW) dan tork 1,820 Nm. Seperti enjin petrolnya, tork maksimum sistem turut dihadkan kepada 1,620 Nm demi menjaga ketahanan komponen.
Jentera ini masih mematuhi piawaian emisi Euro 6D ISC-FCM, lengkap dengan pensijilan dari kementerian pengangkutan Jerman. Sebagai perbandingan, versi asal AMG GT63S E Performance hanya menghasilkan 816 PS (805 hp atau 600 kW) dan 1,420 Nm. Maka, Brabus 1000 menawarkan lonjakan kuasa yang ketara.
Dari segi prestasi, Brabus 1000 mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 2.6 saat, berbanding 2.8 saat pada model standard. Kelajuan maksimum kekal dihadkan secara elektronik pada 320 km/j. Sesi pecutan dari 0 ke 200 km/j mengambil masa 9.5 saat, manakala dari pegun ke 300 km/j memerlukan 23.6 saat. Untuk memastikan kestabilan pada kelajuan tinggi, Brabus menjalankan ujian dalam terowong angin dan memperkenalkan pelbagai penambahbaikan aerodinamik.
Bahagian luaran diserlahkan dengan komponen gentian karbon yang terdiri daripada spoiler hadapan dengan sirip sisi, canard hadapan, sisipan pada gril radiator, diffuser belakang dengan ruang untuk empat muncung ekzos 76 mm, serta sayap belakang yang menonjol. Semua elemen ini boleh didapati dalam kemasan gentian karbon terdedah atau dicat.
Rim pula menggunakan rekaan Brabus Monoblock Z dengan sepuluh jejari, bersaiz 21 inci di hadapan (tayar profil 305/30) dan 22 inci di belakang (tayar profil 335/25). Turut ditawarkan ialah set penyerap hentakan sport boleh laras hasil kerjasama dengan KW, membolehkan ketinggian kereta direndahkan sehingga 20 mm.
Di dalam, kabin disaluti kulit hitam dengan corak jahitan berlian yang turut menghiasi pelapik lantai dan ruang but. Siling dalaman pula menggunakan kemasan Dinamica, manakala kemasan gentian karbon dan pelbagai elemen khas dengan logo ‘77’ timbul memberi penghormatan kepada tahun penubuhan Brabus, iaitu 1977.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.