Meskipun rakyat Malaysia masih menantikan ketibaan Citroen Basalt (diumumkan sejak setahun lalu), SUV bergaya coupe ini telah pun dilancarkan secara rasmi di Indonesia semasa acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung.
Di sana, Citroen Basalt ditawarkan pada harga 359.9 juta rupiah (sekitar RM93,000) bagi varian dengan kemasan satu tona warna. Bagi mereka yang mahukan gaya dua tona, harga meningkat kepada 364.9 juta rupiah (sekitar RM94,000). Terdapat juga varian istimewa Dark Edition yang hadir dengan warna luaran Perla Nera Black serta perincian hitam, ditawarkan pada harga 370.9 juta rupiah (kira-kira RM96,000).
Basalt merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari India dan dipacu oleh enjin petrol tiga silinder 1.2 liter PureTech turbo. Enjin ini menghasilkan 110 PS (109 hp atau 81 kW) dan tork 205 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan memacu roda hadapan.
Dari segi saiz, SUV kompak ini mencatat ukuran panjang 4,352 mm, lebar 1,765 mm, tinggi 1,593 mm dan jarak roda 2,651 mm. Dimensinya hampir setara dengan model seperti Hyundai Creta dan Kia Seltos yang turut dijual di Indonesia.
Walaupun spesifikasi penuh masih belum disiarkan di laman rasmi Citroen Indonesia ketika ini, laporan media tempatan menyatakan bahawa Basalt akan dilengkapi dengan enam beg udara, sistem kawalan kestabilan (ESP), bantuan mula mendaki, ABS, EBD, sistem pemerhati tekanan angin tayar, skrin infotainmen 10.1 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, panel instrumen digital tujuh inci, penyaman udara automatik dengan corong belakang serta pad pengecas tanpa wayar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.