Honda Prelude generasi baru – pelancaran global sah akan dibuat September ini; turut akan ke ASEAN?

Honda Prelude generasi baru – pelancaran global sah akan dibuat September ini; turut akan ke ASEAN?

Honda hari ini mengumumkan bahawa model produksi sebenar bagi Prelude generasi ke-enam bakal membuat kemunculan sulung globalnya pada bulan September ini. Sebelum pelancaran tersebut dibuat, Honda telahpun memperkenalkan satu laman sesawang teaser khas, yang memberikan pelbagai informasi untuk coupe dua-pintu tersebut.

Versi produksi Prelude generasi baharu ini akan menampilkan rupa yang hampir sama sepenuhnya seperti versi konsep yang telah pun membuat kemunculan sulung pada Japan Mobility Show 2023, dan kemudian di bawa ke pelbagai acara di seluruh dunia termasuk Goodwood Festival of Speed. Versi konsep ini juga pernah dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2024 Disember lalu, dan juga di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025 bulan ini yang membayangkan bahawa ia turut akan dijual pada pasaran ASEAN kelak.

Walaupun belum diberitahu oleh Honda secara rasmi, berdasarkan rupa Prelude ini terutamanya pada bahagian ‘kepala’, dapat diagak bahawa ia masih berkongsi platfrom yang sama dengan Civic. Namun khas untuk Prelude, ia menerima badan coupe dua-pintu yang cukup sporty. Manakala pada bahagian muka, ia direka dengan bentuk muncung yang tirus, diberikan lampu hadapan nipis dengan ‘kening’ jalur LED di atas.

Honda Prelude generasi baru – pelancaran global sah akan dibuat September ini; turut akan ke ASEAN?

Prelude turut diberikan bampar hadapan dengan spoiler bawah yang menyerlah, pembuka pintu tersorok, lampu belakang yang merentangi sepenuhnya penutup, spoiler but ‘ekor itik’, diffuser yang agresif serta set rim aloi berwarna hitam dengan tayar berprofil rendah dengan sistem brek Brembo kelihatan di sebaliknya.

Walau bagaimanapun Prelude bukanlah model yang dihasilkan dengan pretasi hardcore untuk litar seperti Civic Type R atau Acura Integra Type S yang menggunakan platform yang sama. Sebaliknya Prelude adalah sports coupe dengan unit rangkaian kuasa hibrid yang seronok dipandu, seakan menggantikan tempat yang telah ditinggalkan oleh Honda CR-Z satu ketika dulu.

Jadi Prelude ini dipadankan dengan unit rangkaian kuasa hibrid terkini Honda iaitu e:HEV yang dipertingkat, dalam versi enjin 2.0L kitaran Atkinson. Menerusi sistem ini, enjin petrol yang diberikan kebanyakkan masanya adalah untuk mengecas bateri sistem hibrid, sementara tayar hadapan dipacu oleh motor elektrik utama yang dibekalkan. Namun berbeza dengan sistem hibrid range extender jenama lain, sistem e:HEV Honda ini turut akan membenarkan enjin bersama-sama motor elektrik untuk memacu roda menerusi klac lock-up dalam transmisi e-CVT yang dibekalkan.

Antara peningkatan yang diberikan pada sistem baharu ini berbanding sistem e:HEV 2.0L sedia ada yang ditawarkan pada Civic dan CR-V adalah pemadanan enjin suntikan terus yang baru dibangunkan, di mana ia dapat mengekalkan nisbah udara dan bahan api sempurna 14.7:1 hampir dalam kebanyakkan masa tanpa kehilangan kuasa.

Honda Prelude generasi baru – pelancaran global sah akan dibuat September ini; turut akan ke ASEAN?

Enjin tersebut turut akan menerima sistem penyejuk bina dalam dan juga unit motor elektrik utama yang lebih kecil, lebih efisien dan lebih murah untuk diproduksi. Honda turut menala semula corak penghantaran tork enjin ke roda pada kelajuan tinggi dengan menambah bantuan elektrik dalam mod direct drive bagi memberikan jarak gerak lebih jauh, serta mengoptimakan penghasilan kuasa elektrik dari bahan api petrol. Kesemua ini didakwa dapat mengurangkan 10% penggunaan bahan api berbanding versi sedia ada.

Bagi memberikan pemanduan yang lebih seronak, Prelude akan diberikan butang mod S+. Namun tidak seperti butang pada CR-Z dahulu, butang pada Prelude ini dikenali sebagai S+ Shift Mode, yang akan memberikan tukaran gear maya seperti kotak gear sebenar dan pemandu turut boleh menggunakan pedal penukar gear. Menurut Honda huruf ‘S’ berkenaan turut merujuk kepada model-model sports keluarannya seperti S500 dan S2000.

Pada sistem sedia ada, unit rangkaian kuasa e:HEV ini sudahpun diberikan Linear Shift Control yang memberikan putaran enjin yang selari dengan kadar tekanan pedal pendikit oleh pemandu bersama ‘rasa’ tukaran gear palsu walaupun sebenarnya roda sedang dipacu sepenuhnya motor elektrik.

Dengan butang S+ Shift mod ini bukan sahaja membolehkan pemandu ‘menukar’ gear palsu berkenaan dengan pedal penukar gear, malah ia turut akan memberikan rasa ‘gear hold’ palsu ketika mengambil selekoh. Menerusi video Prelude dipandu oleh pemandu F1 Yuki Tsunoda yang disiarkan dalam laman web teaser berkenaan, Honda turut mendedahkan bunyi enjin dan juga tukaran gear palsu dan jelas ia memberikan ‘irama’ yang agak sporty.

Angka kuasa bagi unit rangkaian kuasa Prelude ini masih belum diumumkan. Namun pada Civic, unit rangkaian kuasa e:HEV ini menggandingan enjin 2.0 liter berkuasa 141 PS dan tork maksima 182 Nm, bersama dua buah motor elektrik memacu roda hadapan menerusi transmisi e-CVT, dan secara keseluruhan kuasa maksima yang dibekalkan adalah 184 PS dan 315 Nm.

Honda turut mengesahkan bahawa Prelude turut akan menerima sistem suspensi hadapan dengan sistem stereng dua paksi yang sama seperti Civic Type R, memberikan pengendalian yang lebih jitu serta menghapuskan torque steer ketika memecut.

Dalam laman sesawang khas yang telah dibuka secara atas talian itu juga mendedahkan bahawa Prelude akan ditawarkan dalam warna badan Moonlit White Pearl, Meteorite Grey metallic, Crystal Black Pearl dan Flame Red. Selain itu Prelude turut disertakan dengan pilihan tema warna dalaman iaitu gandingan biru dan putih, manakala untuk unit dengan warna badan Moonlit White Pearl, ia juga ditawarkan dengan upholsteri hitam dan biru.

GALERI: Honda Prelude Concept di GIIAS 2025

GALERI: Honda Prelude Concept di KLIMS 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required