Yangwang U8L mula dijual di China – SUV REEV ultra mewah BYD pencabar Rolls-Royce Cullinan, RM771k

Yangwang U8L mula dijual di China – SUV REEV ultra mewah BYD pencabar Rolls-Royce Cullinan, RM771k

Yangwang, satu jenama mewah di bawah BYD, akhirnya melancarkan model SUV ultra mewah terbarunya, Yangwang U8L, di pasaran China. Model ini diperkenalkan secara rasmi pada Auto Shanghai April lalu, dan kini dijual pada harga permulaan 1.3 juta yuan (sekitar RM771,400), iaitu sekitar RM119,900 lebih mahal daripada model standard U8.

U8L merupakan versi lebih mewah dan besar daripada U8, menawarkan ruang dalaman enam tempat duduk yang jauh lebih luas dan selesa. Ia direka untuk bersaing dengan SUV mewah bertaraf dunia seperti Rolls-Royce Cullinan. Dengan penambahan panjang sebanyak 81 mm – menjadikan keseluruhan panjangnya 5,400 mm – serta jarak roda yang dipanjangkan sehingga 200 mm, U8L menawarkan ruang tambahan terutama di bahagian belakang, cukup untuk memuatkan barisan tempat duduk ketiga.

Untuk penampilan luar, U8L membezakan dirinya dengan reka bentuk lengkuk roda sama warna dengan badan dan rim aloi bersaiz 23 inci dengan corak berbentuk perisai oktagon. Logo pada kenderaan ini diperbuat daripada emas tulen 24 karat dan dihasilkan melalui proses ukiran halus 24 langkah, memaparkan tulisan purba Cina yang membawa maksud “elektrik”.

Di belakang, pintu but jenis sisi pada U8 telah digantikan dengan pintu dua bahagian yang lebih praktikal, mirip seperti rekaan Range Rover. Pilihan warna badan turut ditambah, termasuk gabungan dua tona Sun Gold dan Obsidian Black dengan salutan nano seramik, warna hitam penuh dengan perincian emas serta warna Dragon Stone Green dan Fluorite White.

Sudah tentu, bahagian dalam U8L juga menonjolkan ciri-ciri mewah. Tempat duduk barisan kedua jenis kapten kini dilengkapi fungsi baring dan urutan satu sentuhan dengan kecondongan sehingga 120 darjah, termasuk urutan 18 titik, pemanas, ottoman terbina dan skrin pengawal bersaiz tujuh inci. Penumpang belakang boleh menikmati paparan pada monitor bumbung 21.4 inci, manakala tempat duduk hadapan boleh direbahkan sepenuhnya bagi memberi keselesaan tambahan kepada penumpang di belakang.

Kesemua tempat duduk dibalut kulit Nappa dalam pilihan warna hitam dan coklat atau ungu dan kelabu, dipadankan dengan kemasan kayu walnut hitam dan kayu jati serta karpet bulu tebal berkualiti tinggi. Tingkap pula menggunakan teknologi electrochromic yang boleh menjadi gelap secara automatik, termasuk apabila pejalan kaki melintas untuk menjaga privasi mereka yang di dalam.

Yangwang U8L mula dijual di China – SUV REEV ultra mewah BYD pencabar Rolls-Royce Cullinan, RM771k

Ciri hiburan masih dikekalkan dengan skrin OLED melengkung 12.8 inci di tengah papan pemuka, diapit dua skrin mini-LED 23.6 inci untuk paparan instrumen dan penumpang hadapan. Penumpang hadapan juga boleh menikmati tempat duduk dengan pemanas, pengudaraan, penyokong tepi aktif dan fungsi urutan 14 bahagian.

Sistem kawalan suhu juga sangat canggih dengan sensor di setiap tempat duduk, termasuk pada perehat tangan pintu dan konsol tengah, bagi memastikan suhu kabin dikekalkan pada tahap optimum. Audio pula dikuasakan oleh sistem Dynaudio 32 pembesar suara berkuasa 2,040 watt, lengkap dengan sokongan Dolby Atmos dan pembesar suara di setiap penyandar kepala.

Dari segi kuasa, U8L mengekalkan sistem rangkaian pemacu elektrik U8, dengan empat motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 1,196 PS dan tork 1,280 Nm. Kuasa ini disalurkan melalui bateri Blade LFP 49.05 kWh dan enjin penjana petrol turbo 2.0 liter empat silinder. Walaupun tiada angka prestasi rasmi untuk U8L, model standard mampu memecut 0-100 km/j dalam 3.6 saat dan mencapai kelajuan maksimum 200 km/j. Jarak perjalanan elektrik sepenuhnya ialah sekitar 180 km, manakala jumlah jarak gerak keseluruhan mencecah 1,000 km, mengikut kitaran CLTC China.

Teknologi casis juga tidak kurang hebatnya. U8L dilengkapi sistem suspensi hidraulik DiSus-P dari BYD yang mampu melakukan “tank turn” dan bergerak dengan hanya tiga tayar jika satu tayar bocor. Untuk keselamatan dan pemanduan pintar, SUV ini dilengkapi sistem bantuan pemandu paling canggih BYD, God’s Eye A (DiPilot 600), yang menggunakan tiga sensor lidar dan menyokong pemanduan separa automatik di lebuh raya dan bandar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required