Rolls-Royce Cullinan tiba di Malaysia – 6.75 liter V12, 563 hp/850 Nm, harga bermula dari RM1.8 juta

Rolls-Royce Cullinan tiba di Malaysia – 6.75 liter V12, 563 hp/850 Nm, harga bermula dari RM1.8 juta

SUV sulung dari barisan kenderaan keluaran Rolls Royce, Cullinan kini tiba di Malaysia secara rasmi. Mengambil nama sempena batu permata terbesar yang pernah dijumpai di bumi, Rolls-Royce Cullinan – sebuah SUV mewah bespoke yang pertama seumpamanya – ditawarkan di sini pada harga bermula RM1.8 juta, belum termasuk cukai.

Dengan saiz fizikal yang jelas kelihatan besar, Cullinan mempunyai dimensi 5,341 mm panjang, 2,164 mm lebar, 1,835 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,295 mm. Unit yang anda lihat di dalam galeri ini ialah versi empat-pintu dan empat-tempat duduk. Turut ditawarkan ialah versi lima-tempat duduk.

Dari segi spesifikasi enjin pula, ia menggunakan unit V12 6.75 liter turbo berkembar Rolls Royce, yang mampu menghasilkan sebanyak 563 hp pada 5,000 rpm dan 850 Nm tork pada 1,600 rpm. Angka-angka prestasi lain adalah seperti berikut; 250 km/j kelajuan maksimum dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat. Kadar penggunaan bahan api gabungan yang mampu dicapai pula ialah 15 liter bagi setiap 100 km.

Untuk sebuah SUV besar dengan berat 2,660 kg, prestasi berkenaan boleh disifatkan sepadan dengan apa yang mampu diberikan. Bagi ruang barangan pula, tersedia kapasiti 560 liter. Dengan mengalih bahagian parcel shelf, tambahan 40 liter luas akan diperolehi. Dan, sesuai dengan imej SUV yang ditampilkan, untuk membawa barangan panjang, semua tempat duduk boleh direbahkan – muat untuk barangan sepanjang 2,245 mm dan kapasiti pula meningkat kepada 1,930 liter.

SUV ini dibangun menggunakan kerangka aluminium sepenuhnya, dikenali sebagai “Architecture of Luxury” memberikan ketahanan yang tinggi untuk badan kenderaan. Ia juga boleh meredah takungan air dengan kedalaman 540 mm tanpa sebarang masalah.

Penggunaan sistem suspensi udara boleh larasnya juga membolehkan SUV ini direndahkan atau dinaikkan sebanyak 40 mm. Ia dilengkapi dengan rim 22-inci dengan tayar senyap – begitu juga dengan ruang kabin yang dipasangkan dengan kira-kira 100 kg barang penebat bunyi untuk memberikan puncak keselesaan kepada penumpang.

Selain itu, ruang kabinnya juga dilengkapi dengan ciri-ciri seperti bumbung kaca panoramik, sistem audio bespoke dengan 18-saluran dan 18-pembesar suara, sistem hiburan kendalian melalui skrin sentuh serta meja berkelah khusus yang direka untuknya. Unit yang ditunjukkan ini juga mempunyai kemudahan peti sejuk untuk penumpang belakang.

Bagi ciri keselamatan pula, Cullinan hadir antara lain dengan ciri termaju seperti Night Vision dan Vision Assist yang boleh mengesan manusia dan haiwan liar; bantuan kepekaan; sistem dengan empat kamera dengan pandangan panoramik, Active Cruise Control; amaran perlanggaran; amaran lintasan trafik, amaran pertukaran lorong; HUD dengan saiz 7×3 inci resolusi tinggi, hotspot WiFi, sistem tunjuk arah dan lain-lain ciri keselamatan standard.

Pada konsol tengah, pemandu boleh mengawal pelbagai fungsi yang tersedia; butang kawalan “Spirit of Ecstacy” yang ikonik, butang Off-Road, kawalan menuruni curam dan larasan ketinggian suspensi udara. Selebihnya, Rolls-Royce Cullinan ini boleh dipadankan dengan perincian dan selera yang berbeza-beza bakal pemiliknya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required