Setelah mendapati pelanggan mereka mahukan sebuah kenderaan mewah yang boleh dibawa ke mana sahaja, Rolls-Royce membuat keputusan untuk menjawabnya, dan kini SUV mewah pertama mereka diperkenalkan iaitu Rolls-Royce Cullinan. Nama ini didapati daripada intan paling besar pernah dijumpai di dunia, yang kini menghiasi mahkota kerabat diraja British.

Walaupun sudah ada banyak SUV dalam pasaran, Cullinan dicipta untuk menjadi berbeza, dan ini bukan sahaja daripada aspek kelengkapan mewahnya. Di bahagian dalam Cullinan terdapat penutup antara tempat duduk belakang dan ruang barangan. Melalui ciri ini, keadaan dalam kenderaan akan menjadi lebih senyap, selain ruang barangan tersebut masih boleh dibuka sambil penumpang menikmati keselesaan di dalam.

Kuasa penggerak kenderaan ini datang daripada enjin V12 6.75 liter turbo berkembar dengan tork sehingga 850 Nm, dan untuk memberikan prestasi terbaik atas pelbagai permukaan jalan, ia dipadankan bersama sistem pacuan ‘Magic Ride’. Sistem ini mengawal sepanjang masa serapan suspensi udara serta penyampaian kuasa bergantung kepada keadaan badan kenderaan, input stereng, pusingan tayar serta informasi dari kamera.

Untuk bahagian dalam, pemilik mempunyai pilihan untuk mendapatkan Lounge Seat yang boleh menempatkan tiga orang ataupun Individual Seat untuk dua orang dan di tengahnya terdapat perehat tangan serta kabinet minuman. Untuk Lounge Seat, ia boleh dibaringkan rata, seterusnya memberi lebih ruang untuk memasukkan barangan. Ciri ini juga pertama kali disediakan pada kenderaan Rolls-Royce.

Banyak ciri mewah terdapat pada Cullinan antaranya termasuk pintu kawalan elektronik, suspensi yang boleh turun 40 mm apabila pintu dibuka dan naik semula apabila enjin dihidupkan, serta penggunaan bahan mewah pada keseluruhan bahagian kenderaan. Untuk ciri keselamatan, kenderaan ini dilengkapi antaranya Night Vision, empat kamera dengan pandangan panoramik dan amaran perlanggaran.