Omoda Jaecoo Malaysia hari ini mendedahkan satu lagi model yang bakal dilancarkan tidak lama lagi iaitu SUV segmen-B Jaecoo J5 ketika berlangsungnya Omoda Jaecoo Carnival di Desa Park City, Kuala Lumpur. SUV yang bakal berentap dengan model seperti Honda HR-V dan Proton X50 ini diumum bakal dijual pada harga anggaran RM120,000.
Dari segi saiz, Jaecoo J5 menampilkan panjang 4,380 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,650 mm, dan juga jarak roda 2,620 mm. Jadi ia menampilkan panjang yang sama seperti X50, tetapi 65 mm lebih lebar, 41 mm lebih tinggi serta jarak roda 20 mm lebih jauh berbanding SUV segmen-B dari Proton tersebut.
Dari segi rupa, J5 masih nampak seperti abangnya iaitu SUV segmen-C Jaecoo J7 tetapi dalam skala yang lebih kecil. Ia termasuk menampilkan gril hadapan ‘jailbar’ besar serta diberikan lampu hadapan LED nipis dengan jalur LED lampu nyalaan siang bina dalam, bentuk bayang badan dan cermin tingkap dan juga lampu LED belakang nipis yang diinspirasikan dari rekaan SUV British iaitu Range Rover.
Namun J5 diberikan pembuka pintu konvensional, berbanding jenis tenggelam yang diberikan pda J7. Model pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan set rim aloi berdiameter 18-inci, dibalut dengan tayar bersaiz 235/55R18.
Berbanding pasaran Thailand yang menerima J5 ini dalam versi elektrik penuh (EV) dan telah dilancarkan di sana baru-baru ini, Jaecoo J5 untuk pasaran Malaysia disahkan menerima enjin petrol 1.5 liter empat silinder yang menghasilkan kuasa 147 PS dan tork maksima 210, angka yang sama dicatatkan pada enjin ‘sepupunya’ iaitu Chery Tiggo Cross 1.5T.
Namun berbanding Tiggo Cross yang diberikan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan, Jaecoo J5 ini dipadankan dengan transmisi CVT automatik bagi memacu roda hadapan. Gandingan ini membolehkan J5 pasaran Malaysia ini mencapai penggunaan bahan api 7.5 liter untuk perjalanan 100 km menerusi kitaran ujian ketat WLTC.
Untuk pasaran lain seperti pasaran UK misalnya, J5 dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya turut ditawarkan dengan enjin 1.6 liter turbo berkuasa 147 PS/275 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan memacu hanya roda hadapan.
Tidak seperti kebanyakkan SUV segmen-B yang menampilkan suspensi jenis torsion beam yang lebih ringkas di belakang, Jaecoo J5 ini menerima suspensi bebas multilink yang lebih jitu.
Pada sebelah dalam, J5 menampilkan papan pemuka yang direka minimalis menampilkan hanya berapa butang kawalan fizikal. Papan pemuka berkenaan diberikan satu panel hitam berkilat mendatar yang ‘menyembunyikan’ liang penghembus udara dan juga skrin LCD 8-inci untuk paparan instrumen digital sekiranya ia tidak dihidupkan.
Ia juga diberikan skrin sesentuh 2K untuk sistem infotainmen bersaiz 13.2-inci yang diletakkan secara menegak bersama WiFi bina-dalam, dihubungkan kepada sistem audio dengan lapan-pembesar suara. Model pasaran Malaysia ini juga disahkan menerima bumbung kaca panaromik sebesar 1.45 ㎡ didakwa terbesar dalam kelasnya, serta merangkumi hampir sepenuhnya bahagian bumbung SUV ini.
Selain itu, kabin J5 pasaran Malaysia ini akan menerima upholsteri kulit tiruan berwarna hitam yang didakwa ‘mesra haiwan peliharaan’. Manakala untuk but, ia menyediakan ruang kargo dengan kapasiti 480 liter, dan ia boleh dibesarkan sehingga 1,180 liter jika tempat duduk belakang dilipat (boleh dipisah dengan nisbah 60/40) sepenuhhnya.
Bagi sistem keselamatan, Omoda Jaecoo Malaysia cuma mengesahkan bahawa J5 pasaran tempatan ini bakal dilengkapi dengan sistem kamera pemantau 540-darjah serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) 2.5 – jadi boleh dijangka ia akan menerima fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan pengekal lorong dan lain-lain.
Lebih perincian berkenaan Jaecoo J5 ini akan diumum ketika pelancarannya nanti. Omoda Jaecoo Malaysia belum mengumumkan tarikh pelancaran sebenarnya, tetapi hanya memberikan bayangan bahawa ia akan dilancarkan pada ‘lewat tahun ini’. Jika anda berminat nak melihat model ini dengan lebih dekat, boleh kunjungi Omoda Jaecoo Carnival yang berlangsung dari hari ini, 21 Ogos hingga 24 Ogos nanti. Pendaftaran minat juga sudah dibuka.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.