Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi – terap jualan gaya butik dengan jumlah kecil

Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi – terap jualan gaya butik dengan jumlah kecil

Dalam temubual bersama paultan.org baru-baru ini, pengarah urusan Stellantis ASEAN iaitu Isaac Yeo mendedahkan bahawa dua jenama yang sudah tidak beroperasi di Malaysia iaitu Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Alfa Romeo merupakan jenama automotif dari Itali, manakala Jeep adalah jenama SUV dari Amerika Syarikat di mana kedua-duanya sebelum ini di miliki oleh Fiat Chrysler Automobiles (FCA), dan kini berada di bawah Stellantis iaitu kumpulan automotif yang terbentuk hasil gabungan FCA dan Groupe PSA.

Menurut Yeo, kedatangan semula dua jenama ikonik ini ke Malaysia kelak bukanlah secara besar-besaran dan bukan diuruskan secara terus oleh Stellantis Malaysia yang kini sedang menumpukan perhatiannya terhadap jenama Leapmotor, serta mengatur semula jenama Peugeot di sini. Sebaliknya Alfa Romeo dan Jeep akan diuruskan oleh entiti berbeza yang disifatkan sebagai ‘sistem model hibrid’ mengoperasikan perniagaan ‘gaya butik’ yang sesuai untuk menjual kenderaan dalam jumlah yang kecil.

“Kami akan membawa Jeep dan Alfa di bawah sistem model hibrid. Saya percaya kedua-dua jenama ini, dalam masa dua tahun seterusnya, akan mempunyai asas pelanggan, tetapi saya mahu kekalkan dalam masa dua tahun kepada perniagaan gaya butik. Saya tidak akan memasuk ke pasaran besar-besaran,” kata Yeo.

Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi – terap jualan gaya butik dengan jumlah kecil

Walau bagaimanapun model perniagaan tersebut mungkin hanya untuk jangka masa pendek, dan mungkin Stellantis akan mengambil alih sepenuhnya semula selepas dua tahun.

“Sebabnya juga adalah kerana produk saya untuk generasi seterusnya akan berevolusi – dalam masa dua tahun saya akan mempunyai barisan model yang banyak. Kedua-duanya adalah jenama-jenama ikonik yang lama, jadi ada minat yang besar tetapi dalam masa yang sama turut ada banyak keraguan, jadi saya mahu kekalkan ia kecil dan mudah diurus berbanding terus kearah mod NSC (syarikat jualan nasional) penuh”, jelas Yeo.

Sepanjang temubual ini, Yeo kerap menggunakan perkataan ‘relevan’ yang membayangkan sasaran utama Stellantis Malaysia buat masa sekarang adalah untuk kekal bersaing secara kompetitif dengan bergantung kepada jenama EV baharunya dari China, disokong oleh dua jenama dalam pasaran nic.

“Saya ada banyak jenama untuk dimainkan, tetapi saya perlu bersedia dengan setiap jenama tersebut. Untuk kami sekarang, Leapmotor adalah tumpuan, dan gaya butik untuk Jeep dan Alfa Romeo. Ini akan membolehkan saya kekal relevan. Saya tak perlu untuk berada di atas, hanya perlu relevan, tetapi saya akan membuat penampilan semula,” jelas Yeo.

Jadi apa model-model yang boleh dijangka akan ditawarkan di Malaysia dari dua jenama ikonik ini? Buat masa sekarang Alfa Romeo mempunyai dua model utama iaitu kembar sedan Giulia dan SUV Stelvio, diikuti model-model lebih kecil iaitu SUV Tonale dengan saiz seperti BMW X1, serta SUV EV kompak digelar sebagai Junior yang tentunya akan bersaing dengan Volvo EX30 sekiranya ia dilancarkan di sini.

Manakala untuk Jeep, sudah tentu model ikoniknya iaitu Wrangler pasti ditunggu peminatnya di sini. Jenama ini juga mempunyai SUV yang lebih sesuai digunakan setiap hari seperti Compass dan juga Cherokee generasi ke enam yang kini digerakkan oleh unit rangkaian kuasa hibrid elektrik dengan enjin 1.6 liter turbo. Jeep juga sudah ada SUV EV untuk pasaran global iaitu Wagoneer S.

Dengan strategi yang sudah dinyatakan bahawa dua jenama ini akan menjual kenderaan dalam jumlah yang kecil, sudah tentu ia tidak akan dijual dalam versi pemasangan tempatan (CKD) di sini, dan bakal diimport sepenuhnya (CBU). Jadi sudah tentu harganya juga lebih tinggi dari jenama-jenama Jepun, dan juga jenama dari Jerman yang turut telah mempunyai fasiliti produksi CKD di Malaysia.

Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi – terap jualan gaya butik dengan jumlah kecil

Namun pasti ada sahaja pengguna yang mahukan sesuatu yang unik dan ditawarkan oleh dua jenama dengan warisan sejarah tersendiri ini, tambahan pula ia datang dengan sokongan khidmat selepas jualan dari pengeluar rasmi, membolehkan kedua-duanya ‘relevan’ dalam pasaran tempatan.

Sebelum keluar dari pasaran Malaysia sebelum ini, kali terakhir Alfa Romeo berada dalam pasaran tempatan diuruskan oleh Sime Darby. Syarikat itu telah mendapat hak pengedaran Alfa Romeo sejak 2005, namun hanya pada 2009 Sime Darby Auto Italia melancarkan model-model seperti 159, GT, Brera dan Spider, tetapi hanya bertahan sehingga 2013.

Manakala untuk Jeep, ia sebelum ini dijual secara rasmi di Malaysia oleh DRB-Hicom antara 2014 hingga 2017, dan pernah mempunyai ibu pejabat yang besar di Glenmerie dengan menawarkan empat model utama.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required