Hanya selepas seminggu pembukaan Zeekr Space Bangsar di Kuala Lumpur, Carro Malaysia kini membuka satu lagi bilik pameran jenama EV berkenaan di Juru Autocity, Pulau Pinang.
Fasiliti dengan keluasan 12,000 kaki persegi ini dikenali sebagai Zeekr House, bukan hanya berfungsi sebagai pusat pameran dan jualan, malah turut merangkumi pusat servis selepas jualan bagi membolehkan ia beroperasi sebagai pusat 3S. Zeekr House ini disasarkan untuk memberikan perkhidmatan bagi pelanggan Zeekr di kawasan utara tanah air.
Sama seperti Zeekr Space Bangsar, Zeekr House ini turut mempamerkan model-model utama Zeekr termasuk 009, dan juga model terkini yang baru dilancarkan di Malaysia minggu lalu iaitu Zeekr 7X.
Carro Malaysia dilantik menjadi pengedar terbaharu Zeekr di Malaysia pada Jun lalu, dengan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani di outlet bertaraf flagship Carro di Puchong.
Dalam rancangan kerjasama tersebut, Carro Malaysia akan membuka sebanyak empat bilik pameran Zeekr, di mana dua lagi akan terletak di Mutiara Damansara dan Seremban yang bakal di buka lewat tahun ini. Sebagai tambahan, tiga bengkel Carro Care juga akan mengendalikan kerja-kerja penyelenggaraan kenderaan untuk pelanggan Zeekr.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.