Lancia dilihat sedang uji kereta rali Ypsilon HF Integrale – bakal kembali ke WRC pada musim 2027?

Mei tahun lalu, jenama ikonik Itali iaitu Lancia yang kini bernaung di bawah kumpulan Stellantis secara rasmi ‘menghidupkan kembali’ sayap perlumbaannya iaitu Lancia Corse HF. Pengenalan semula pasukan lumba yang pernah mendominasi Kejohanan Rali Dunia (WRC) tersebut dibuat menerusi model hot-hatch elektrik penuh Ypsilon HF dan juga jentera rali sebenar yang menerima homolagasi FIA dalam kelas Rally4, iaitu Ypsilon Rally4 HF yang dijana enjin pembakaran dalaman dengan sesaran 1.2 liter tiga-silinder turbo berkuasa 212 hp dan memacu roda hadapan.

Nampaknya Stellantis benar-benar mahu Lancia kembali ke era kegemilangannya – beberapa saluran peminat rali di laman YouTube kini telah menyiarkan video bahawa Lancia Corse HF kini sedang menguji kereta rali yang lebih berkuasa! Kereta berkenaan diuji oleh pemandu rali Perancis, Yoann Bonato di atas permukaan tar.

Berdasarkan kit aerodinamik, Lancia Ypsilon HF Integrale (nama ‘HF Integrale’ itu jelas terpampang di lekat pada bahagian pintu) mungkin adalah dalam spesifikasi Rally2, iaitu jentera yang layak bertanding dalam kategori WRC2, dan juga kategori tertinggi dalam Kejohanan Rali Eropah (ERC) serta banyak kejohanan rali peringkat nasional lain di benua tersebut.

Berdasarkan peringkat pembangunannya sekarang, berkemungkinan jentera ini akan menerima homologasi dari FIA setahun dari sekarang iaitu lewat 2026 – ambil Toyota GR Yaris Rally2 sebagai contoh di mana versi konsepnya didedah pada November 2022, manakala homolagasi rasmi diterima dari FIA hanya pada 1 Januari 2024.

Jadi ini yang menarik – jentera Rally1 yang kini digunakan dalam kategori tertinggi WRC kini sudah menghampiri penghujungnya kerana FIA akan memperkenalkan kelas baharu yang setakat ini dikenali sebagai WRC27 bermula musim 2027. Undang-undang teknikal rasmi bagi WRC27 ini masih lagi belum diumum secara rasmi, namun secara ringkasnya ia akan mengadunkan undang-undang Rally1 dan juga Rally2 yang lebih murah bagi menarik lebih ramai pasukan dan pengeluar menyertai kejohanan tersebut.

Lancia dilihat sedang uji kereta rali Ypsilon HF Integrale – bakal kembali ke WRC pada musim 2027?

Lancia Ypsilon Rally4 HF

Untuk jentera-jentera WRC27, setiap pengeluar yang bertanding masih perlu menggunakan rekaan casis spaceframe standard dengan blueprint dikeluarkan oleh FIA seperti undang-undang Rally1 sedia ada, manakala ‘kulit’ luar boleh dihasilkan sama ada menggunakan rekaan kereta kereta produksi ataupun kereta konsep.

Manakala untuk unit rangkaian kuasa, ia bakal menggunakan enjin, kotak gear dan juga sistem pacuan semua roda yang sama seperti pada jentera Rally2 sedia ada. Ini bermakna kereta-kereta rali WRC27 tersebut nanti bakal digerakkan oleh enjin 1.6 liter turbo dengan dengan unit resrictor 32 mm bagi menghasilkan kuasa sekitar 300 ps, bersama kotak gear sequential dengan tuil penukar gear (pedal pada stereng tidak dibenarkan) lima-kelajuan, serta sistem pacuan empat roda sepenuh masa tanpa differential tengah, dan tanpa sebarang sistem agihan tork aktif (kekal 50:50 setiap masa).

Jentera-jentera WRC27 ini juga bakal disyaratkan untuk boleh dijual pada harga maksima €345,000 (sekitar RM1.7 juta) dalam spesifikasi tarmac, atau sedikit lebih mahal dari harga jentera Rally2 buat masa sekarang. Dan bermula 2027 juga, tiada lagi kategori WRC2 akan dipertandingkan dalam WRC, di mana jentera dalam kelas Rally2 layak bertanding dengan jentera WRC27 untuk merebut gelaran juara dunia WRC.

Jadi sekiranya Lancia Ypsilon HF Integrale ini dihasilkan sebagai jentera Rally2, ia tetap akan layak untuk menyertai kategori tertinggi dalam WRC selepas menerima homolagasi dari FIA bermula pada musim 2027 nanti. Dan tak mustahil jentera yang sedang diuji ini sebenarnya jentera rali yang sememangnya dibangunkan dengan undang-undang WRC27 untuk digunakan oleh ‘Lancia Corse HF World Rally Team’ yang mungkin akan membuat kemunculan sulung di Rallye Monte Carlo 2027!

Lancia mula menyertai WRC sejak tahun 1973. Ia terkenal dengan pelbagai jentera rali yang berjaya seperti Lancia Stratos, Lancia Rally 037 Group B, Lancia Delta S4 Group B dan juga Lancia Delta HF Integrale Group A. Selepas dinobatkan sebagai juara kategori pengeluar sebanyak 10-kali dan merangkul lima juara dunia kategori pemandu, skuad dari Itali tersebut akhirnya mengundur diri dari WRC pada penghujung musim 1992. Sehingga kini Lancia belum mengumumkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan kereta rali yang sedang diuji ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required