Toyota GR Yaris Rally2 Concept didedahkan di Jepun – bakal dijual bermula 2024, guna enjin tiga-silinder?

Toyota GR Yaris Rally2 Concept didedahkan di Jepun – bakal dijual bermula 2024, guna enjin tiga-silinder?

Selepas mendominasi kategori utama Kejohanan Rali Dunia (WRC) dengan jentera Yaris WRC dan GR Yaris Rally1, Toyota nampaknya bakal hadir ke kancah pertarungan tangga kedua WRC selepas ini iaitu dalam kategori Rally2 – Toyota Gazoo Racing telahpun mendedahkan GR Yaris Rally2 Concpet di pusingan terakhir WRC musim ini iaitu Rally Japan 2022 yang berlangsung hujung minggu lalu!

Toyota langsung tidak mengumumkan sebarang perincian berkenaan jentera baharu ini. Ia didedahkan dan kemudian terus dibawa ke SS rali, dengan pemanduan demonstrasi dibuat oleh juara dunia WRC empat-kali (sekali dengan Toyota) dari Finland, Juha Kankunnen. Pelbagai laporan menyebut bahawa pembangunan bagi GR Yaris Rally2 ini bakal dibuat tahun hadapan, dan pelanggan-pelanggan yang berminat untuk program customer racing boleh membelinya pada 2024.

Menerusi video-video yang tersiar dilaman-laman sosial, bunyi GR Yaris Rally2 ini seperti menggunakan enjin tiga-silinder – mungkin menggunakan asas enjin G16-GTS 1.6L Turbo yang sama seperti GR Yaris produksi. Untuk pengetahuan anda, jentera GR Yaris Rally1 masih menggunakan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo yang diambil dari jentera Yaris WRC sebelum itu.

Untuk semua jentera Rally2/R5, FIA telah menetapkan bahawa ia perlu dijana enjin 1.6 liter turbo dengan diberikan unit restrictor turbo berdiameter 32 mm, kebiasaannya akan menghasilkan kuasa sekitar 200-300 hp an tork melebihi 400 Nm.

Kuasa dari enjin perlu dipindahkan ke kotak gear sequential 5-kelajuan (tanpa pedal penukar pada setereng, hanya tuil tangan biasa), dan dihubungkan kepada sistem pacuan semua roda – diberikan differential terkunci pada setiap gandar hadapan dan belakang, tanpa differential tengah dan tanpa sebarang sistem agihan tork aktif – semua komponen ini perlu diambil dari pembekal-pembekal yang telah ditetapkan oleh FIA.

Berbanding kategori Rally1 yang hanya ada tiga pengeluar yang menghasilkan kereta dengan spesifikasi tersebut iaitu Toyota, Hyundai dan Ford, kategori Rally1 (sebelum ini dikenali sebagai R5) jauh lebih meriah. Buat masa sekarang antara jentera yang masih mempunyai homologasi FIA untuk kategori ini termasuk VW Polo GTI R5, Proton Iriz R5, Citroën C3 R5, dan antara yang paling terkini adalah Hyundai i20 N Rally2 serta Skoda Fabia RS Rally2.



Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required