Proton Iriz R5 – harga didedahkan, bermula RM776k!

Proton Iriz R5 – harga didedahkan, bermula RM776k!

Ketika kami bersembang dengan pengasas pasukan Mellors Elliot Motorsport (MEM), Chris Mellors tahun lalu, beliau ada menyatakan bahawa jika anda mahukan Proton Iriz R5, ia dijual pada harga yang telah dihadkan oleh FIA iaitu tidak melebihi 198,000 euro atau sekitar RM989k.

Namun, MEM baru sahaja mengemaskini brosur untuk Proton Iriz R5 tersebut di laman sesawang rasmi mereka, dan kini harga untuk kereta asas, kit untuk rali tarmac dan gravel serta kos-kos lain untuk berlumba dengan kereta tersebut telah ditunjukkan dengan lebih terperinci.

Menurut brosur tersebut, Proton Iriz R5 ini dijual pada harga asas 140,000 pound sterling, atau sekitar RM776k. Dengan pakej asas ini, anda akan menerima Iriz R5 dalam talaan rali tarmac dengan kelengkapan seperti suspensi, rim aloi Speedline 18-inci dan juga tayar yang bersesuai dengan permukaan bertar. Jika dibeli berasingan, kit untuk rali tarmac ini dijual pada harga 23,500 pound atau sekitar RM130k.

Klik untuk besarkan

Pakej asas ini turut termasuk silinder brek utama di hadapan dan belakang, cakera brek berdiameter 355 mm di hadapan dan 300 mm di belakang lengkap dengan angkup dan penyesuai, kelengkapan dalaman termasuk rollcage penuh spesifikasi R5, alat pemadam api, tempat duduk bersama tali pinggang serta roda stereng perlumbaan dan pelbagai lagi.

Dengan bayaran tambahan 45,000 pound atau sekitar RM249k, anda akan menerima pek opsyen untuk tingkat taraf Iriz R5 ini dengan kelengkapan untuk juru arah seperti paparan Cosworth, perehat kaki dengan suis-suis kaki serta interkom dari Stilo untuk komunikasi antara pemandu dan juruarah. Pek ini juga hadir dengan lampu peta, perehat kaki pemandu, kit liang udara bumbung, jaring untuk meletak helmet, dan juga kit tayar gantian.

Pek opsyen ini turut memberikan kelengkapan tambahan pada bahagian luaran dan sistem mekanikal termasuk pelindung-pelindung bahagian bawah badan untuk melidungi komponen seperti transmisi, gandar, syaf dan ekzos, cakera brek belakang 355 mm, pad brek Winmax yang dibangunkan untuk kegunaan rali tarmac dan juga tayar perlumbaan dari Michelin.

Proton Iriz R5 – harga didedahkan, bermula RM776k!

Selain dari pek ini, MEM turut menawarkan opsyen untuk perincian-perincian kecil lain seperti cermin sisi gentian karbon (500 pound/RM2.7k), set lampu tambahan (4,850 pound/RM27k), salutan anti-silau pada papan pemuka (120 pound/RM665) dan pelbagai lagi.

Jika anda mahu bertanding dalam rali di atas permukaan gravel, kit untuk rali tersebut dijual pada harga 19,900 pound. Ia bukan hanya melibatkan penukaran set penyerap hentak, malah hadir dengan kelengkapan spesifik lain seperti set brek lengkap dengan pad, lengan stereng bersama komponen berkaitan, rim Speedline Gravel 15-inci dan pelbagai lagi.

MEM turut menjual perkakas-perkakas khas untuk menyelenggara Iriz R5 ini. Antaranya perkakas untuk kerja-kerja bahagian transmisi dan lain-lain (650 pound/RM3.6k), set stand (440 pound/RM2.4k), set spana untuk penyerap hentak (100 pound/RM554) serta pelbagai lagi.

Klik untuk besarkan

Brosur ini turut memperincikan dengan lengkap kos-kos penyelenggaran kereta lumba tersebut berdasarkan perbatuannya. Sebagai contoh, enjinnya perlu dirombak rawat setiap 2,000 km, dan ia menelan kos 8,000 pound atau sekitar RM44k setiap sesi.

MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016 dan ia jentera R5 pertama di dunia yang menerima homologasi penuh untuk versi pemanduan kiri (LHD) dan kanan (RHD). Jentera tersebut dijana enjin petrol 4B11 diambil dari Proton Inspira yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5) dan disuap dengan pengecas turbo. Seperti jentera R5 lain, turbo berkenaan diberikan unit restrictor 32 mm, bagi mengehadkan kuasanya pada tahap sekitar 350 hp/450 Nm.

Ia digandingkan bersama transmisi sequential lima kelajuan dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Manakala untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth.

Proton Iriz R5 – harga didedahkan, bermula RM776k!

Kategori R5 ini mula dipertandingkan oleh FIA pada tahun 2012, bagi menggantikan kategori PWRC, Piala Rali Dunia 2 liter (kit car) dan juga spesifikasi S2000 sebagai kejohanan satu peringkat lebih rendah dari kategori utama WRC iaitu WRC2. Kereta dengan spesifikasi R5 ini nyata lebih kompetitif dari kategori-kategori sebelumnya, dengan spesifikasi hampir menyamai kereta dengan spesifikasi WRCar.

Bagi memastikan setiap pengeluar bertanding dengan kemampuan yang sama, serta memudahkan pasukan-pasukan persendirian untuk bertanding dengan jentera R5 ini, FIA meletakkan harga maksima untuk setiap perincian dan komponen utama serta harga keseluruhan kereta tersebut, dan pengeluar perlu mewujudkan sokongan program perlumbaan pelanggan.

Selain dari WRC, kereta-kereta R5 ini juga dipertandingkan sebagai kategori utama dalam Kejohanan Rali Eropah (ERC) dan juga kejohanan-kejohanan kelayakan untuk ke WRC di benua berkenaan seperti Kejohanan Rali British (BRC). Jentera dengan spesifikasi R5 ini juga boleh bertanding di kategori utama Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) bersama jentera-jentera spesifikasi AP4.

Kami telah pun menulis tiga artikel berkenaan perincian kereta ini – mengapa MEM masih menggunakan Proton sebagai platform projek R5 mereka, mengapa kereta ini menggunakan enjin 4B11, dan apa kaitan projek ini dengan Proton di Malaysia – kesemuanya kami korek sendiri dari pengasas MEM, Chris Mellors menerusi satu temu ramah istimewa Oktober tahun lalu.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required