Selama ini kita semua dah masuk dalam kepala bahawa jentera rali Proton Iriz R5 binaan firma kejuruteraan UK, Mellors Elliot Motorsport (MEM) adalah dijana dengan enjin 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X bukan?

Dan menerusi temuramah kami bersama pengasas MEM, Chris Mellors dua tahun lalu juga beliau ada menyebut jentera tersebut menggunakan enjin dari Mitsubishi, malah jika anda melihat berberapa video berkenaan jentera ini juga ada disebut ia menggunakan enjin dari jenama Jepun berkenaan.

Namun menerusi dapatan kami dalam rekod homologasi FIA sendiri, enjin 4B11 dalam perut Proton Iriz R5 tersebut sebenarnya dibekalkan dari Shah Alam, kerana ia adalah dari Proton Inspira dan bukan Mitsubishi Lancer!

Perhatikan fail untuk nombor homologasi A 5572 (klik untuk besarkan

Sebenarnya sama ada enjin berkenaan dari Evo atau Inspira, ia tidak menjadi persoalan kerana enjin yang digunakan berkenaan hanya menggunakan blok dan kepala silinder produksi, komponen selain dari itu seperti omboh, rod penghubung, aci engkol, aci sesondol, sleeve silinder, pengecas turbo dan sebagainya adalah menggunakan komponen dari gred perlumbaan.

Dan bagi memenuhi syarat dalam undang-undang R5, enjin tersebut juga perlu dikecilkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada hanya 1.6 liter. Tapi kenapa tak guna sahaja enjin Campro S4PH yang sama dalam versi produksi Proton Iriz?

Menurut Chris Mellors, ada berberapa sebab enjin 4B11 perlu digunakan. Pertama adalah kedudukan injap dan liang ekzos pada kepala silinder enjin Campro tersebut yang terletak pada bahagian hadapan. Jika enjin S4PH berkenaan digunakan, pengecas turbo juga terpaksa diletakkan pada bahagian hadapan.

Ini akan menyebabkan mereka terpaksa membina sistem paip ekzos yang jauh lebih rumit dan panjang kerana ia perlu di bina merentasi kotak gear sebelum ke bahagian belakang – seperti yang anda tahu, jentera R5 tersebut mempunyai sistem pacuan semua roda yang dilengkapi transfer case untuk menghantar kuasa ke roda belakang, dan kotak gear tersebut adalah lebih besar dari biasa.

Ia akan bertambah rumit kerana kedudukan enjin kereta rali lazimnya perlu diserengkan 25 darjah kebelakang bagi mendapatkan pembahagian berat yang lebih baik.

Dengan pengecas turbo diletakkan pada bahagian belakang pada enjin 4B11 berkenaan, MEM dapat menghasilkan sistem ekzos yang jauh lebih ringkas, lebih pendek dan lebih ringan. Malah haba yang dihasilkan oleh pengecas turbo dapat dialirkan terus ke belakang tanpa perlu melalui enjin terlebih dahulu bagi memberikan suhu bekerja yang lebih stabil kepada enjin tersebut.

Seperti jentera R5 lain, enjin 4B11 berkenaan turut disuap dengan pengecas turbo bersama unit restrictor 32 mm, bagi mengehadkan kuasanya pada tahap sekitar 350 hp/450 Nm. Kuasa berkenaan kemudian dipindahkan ke kotak gear sequential lima kelajuan dari Xtrac dan kemudian dialirkan ke sistem pacuan semua roda.

Menerusi temu bual eksklusif dengan Chris Mellors berkenaan, kami dapat menyelami banyak perkara lain lagi berkenaan Proton Iriz R5 ini yang boleh anda baca menerusi artikel-artikel di bawah:

  • Proton Iriz R5 – kami bongkar cerita dari Chris Mellors!
  • Proton Iriz R5 – apa kaitannya dengan Proton M’sia?
  • Proton Iriz R5 – harga didedahkan, bermula RM776k!

  • GALERI: Brosur Proton Iriz R5