Selepas kejayaan Fabia R5 dan Fabia Rally2 evo mendominasi rali kelas R5/Rally2 di seluruh dunia, Skoda kini memperkenalkan versi terbaharu jentera rali Fabia untuk kelas berkenaan dan juga program perlumbaan pelanggannya – memperkenalkan, Skoda Fabia RS Rally2!
Jentera terkini ini dibina berasaskan Fabia produksi jalan raya generasi keempat yang muncul pada tahun lalu. Jadi ia kini tampil dengan kerangka baharu yang lebih berpotensi, bersama unit rangkaian kuasa yang juga baru dibangunkan, berbeza dari jentera sebelum ini.
Dengan kerangka badan baharu, Fabia RS Rally2 ini dapat dihasilkan lebih lebar serta menampilkan jarak roda lebih jauh berbanding Fabia Rally2 evo sebelumnya. Ini membolehkan jurutera mengoptimakan karekteristik pengendaliannya, menghasilkan bahagian belakang yang lebih stabil. Jarak roda lebih jauh pula membolehkan tangki bahan api diatur semula bagi mendapatkan nisbah berat hadapan dan belakang yang lebih seimbang, manakala ruang enjin yang lebih luas membolehkan ia menerima unit intercooler bagi sistem turbo yang juga lebih besar.
Walaupun tiada sebarang perubahan diumumkan oleh FIA terhadap regulasi Rally2, dan enjin dari jentera sebelum ini terbukti sangat kompetitif, Skoda Motorsport tetap membangunkan enjin baharu untuk jentera Fabia RS Rally2 ini. Enjin baharu berkenaan diasaskan dari enjin produksi EA888 2.0 TSI dari model produksi seperti Skoda Kodiaq vRS, dan sudah tentu ia enjin yang sama digunakan oleh Volkswagen Golf GTI dan Golf R.
Namun bagi memenuhi undang-undang Rally2 FIA, kapasiti enjin berkenaan perlu diturunkan kepada 1.6 liter (sama seperti kes enjin 4B11 dari Proton Inspira yang perlu diturunkan dari 2.0L ke 1.6L untuk dipadankan pada jentera rali Proton Iriz R5).
Enjin baharu ini menampilkan port kemasukan dan ekzos yang direka semula, omboh serta kebuk pembakaran yang dioptimakan, serta rekaan semula dibuat pada sistem injap bervariasi dan sistem pelinciran bagi mendapatkan proses pembakaran lebih baik.
Sistem ekzos dan pengecas turbo turut menerima sentuhan semula dari jurutera, manakala sistem intercooler yang lebih inovatif dan litar penyejukan dibangunkan semula bagi mendapatkan kapasiti penyejukkan yang lebih besar. Enjin berkenaan turut menerima perisian baharu untuk sistem pengurusan enjin, serta unit restrictor turbo kekal dengan diameter 32 mm mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh FIA. Kesemua ini membolehkan enjin berkenaan menghasilkan kuasa sekitar 289 hp dengan tork maksima 430 Nm.
Kuasa berkenaan dipindahkan ke kotak gear sequential 5-kelajuan (tanpa pedal penukar pada setereng, hanya tuil tangan biasa), dan dihubungkan kepada sistem pacuan semua roda – diberikan differential terkunci pada setiap gandar hadapan dan belakang, tanpa differential tengah dan tanpa sebarang sistem agihan tork aktif. Menurut Skoda Motorsport, nisbah gear rapat yang diberikan pada transmisi Fabia RS Rally2 ini masih membolehkan ia mencapai kelajuan maksima sekitar 200 km/j.
Seperti juga kategori tertinggi Kejohanan Rali Dunia (WRC) Rally1, kategori Rally2 untuk WRC2 juga kini sudah mula menggunakan bahan api bio 100% mampan. Jadi selain dari tangki minyak yang direka untuk bahan api perlumbaan fosil, Fabia RS Rally2 ini juga boleh dipilih untuk dilengkapkan dengan tangki bahan api bio berkapasiti 82.5 liter. Tangki istimewa tersebut menampilkan bahan kedap dari busa bagi mengelakkan ia bocor, serta diberikan pelindung yang diperbuat komposit Karbon/Kevlar dan lapisan penyerap di bahagian bawah.
Kerangka baharu ini juga membolehkan ia menerima bentangan suspensi lebih baik. Skoda Fabia RS Rally2 ini menampilkan suspensi jenis Topang McPherson pada gandar hadapan dan belakang yang lebih keras dari sebelum ini, manakala penyerap hentak pula menawarkan strok pergerakan yang lebih jauh serta daya geseran yang lebih baik.
Bagi tetapan rali pada permukaan tar, Fabia RS Rally2 ini dibekalkan dengan rim 18-inci bersama brek dengan cakera 355 mm di hadapan dan cakera 300 mm di belakang. Manakala untuk tetapan rali permukaan batu kerikil pula, ia menerima rim 15-inci bersama set brek dengan cakera 300 mm untuk hadapan dan belakang.
Dalam kabin, kedua-dua pemandu dan juruarah menerima pelindungan dari roll cage baharu, dibina dari tiub logam krom-molybdenum berkekuatan tinggi sepanjang 35.8 meter. Pemandu pula menerima roda stereng yang mempunyai butang terus untuk kawalan seperti butang penghidup enjin, yang memudahkan enjin dihidupkan semula jika ia termati ketika berlumba.
Malah Fabia RS Rally2 ini juga menerima paparan instrumen yang lebih besar serta boleh memainkan semula video informasi serta operasi lebih intuitif ketika rali, serta panel kawalan utama baharu dengan skrin sesentuh dan sistem intercom bersepadu.
Menurut Skoda, model produksi Skoda Fabia generasi baharu ini sudahpun memberikan aspek aerodinamik yang cukup baik, dengan pekali seretan terbaik dalam kelasnya. Oleh itu, Skoda Motorsport sudahpun mempunyai kelebihan kerana rekaan asas yang mereka terima sangat berpotensi untuk dijadikan kereta rali.
Malah, sebahagian aspek aerodinamik model produksi turut dibawa kepada kereta rali ini misalnya tirai udara pada bampar hadapan yang mampu mengalirkan udara dari hadapan kepada bahagian badan dan roda seterusnya meningkatkan downforce pada bahagian skirt sisi serta mengelakkan udara dari mengalir ke bawah badan.
Berbanding model standard, jentera rali ini sudah tentu menerima kelengkapan aerodinamik lebih agresif termasuk splitter hadapan, fender hadapan dan belakang yang lebih lebar dan spoiler belakang baharu bersama Gurney Flap pada penghujung sayap – hasilnya, Fabia RS Rally2 ini downforce hampir sekali ganda lebih kuat berbanding Fabia Rally2 evo sebelum ini.
“Beberapa elemen aerodinamik dari model produksi telah membuktikan ia bernilai untuk kereta rali. Dengan model ini, kami telah menumpukan lebih perhatian kepda aeodinamik berbanding model sebelumnya, dan kami membuat penilaian ketat untuk setiap perincian. Matlamat kami: Downforce lebih besar untuk kelajuan ketika membelok yang lebih tinggi dan menambahbaik pengendalian, dalam masa yang sama mempertingkatkan keberkesanan aerodinamik jentera ini,” kata Lukáš Vojík, pakar aerodinamik dari Pembangunan Teknikal di Skoda Auto.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.