Volkswagen Golf R Mk8 didedahkan – 2.0 liter turbo berkuasa 320 PS/400 Nm, sistem AWD ada Drift Mode!

Volkswagen Golf R Mk8 didedahkan – 2.0 liter turbo berkuasa 320 PS/400 Nm, sistem AWD ada Drift Mode!

Volkswagen Golf generasi kelapan sudahpun membuat kemunculannya akhir tahun lalu, dan ia diikuti oleh model-model prestasi tinggi pacuan roda hadapan Golf GTI dan juga Golf GTI Clubsport tahun ini. Kini, giliran model paling berkuasa dengan pacuan semua rodanya pula didedahkan – memperkenalkan, Volkswagen Golf R Mk8!

Sama seperti Golf GTI dan Golf GTI Clubsport, Golf R ini juga dijana oleh enjin EA888 2.0 liter turbo empat silinder. Namun model paling agresif ini diberikan talaan kuasa setinggi 320 PS (315 hp) dan tork maksima 420 Nm – ia jelas lebih berkuasa dari Golf R Mk7 yang menghasilkan 300 PS (296 hp)/380 Nm, serta lebih berkuasa dari Golf GTI Clubsport Mk8 yang dibekalkan dengan 300 PS/400 Nm.

Enjin tersebut digandingkan dengan dua pilihan kotak gear; sama ada manual enam-kelajuan atau transmisi klac berkembar automatik DSG tujuh kelajuan. Kuasa dihantar ke keempat-empat roda menerusi sistem AWD 4Motion Volkswagen. Ini membolehkan Golf R Mk8 ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat, atau 0.2 saat lebih pantas dari model sebelumnya. Manakala kelajuan maksima pula masih dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

Sistem pacuan semua roda pada model generasi baharu ini juga telah diperbaharui di mana ia bukan sahaja boleh membahagikan tork antara gandar hadapan dan belakang secara bervariasi, malah turut membuat perkara sama antara roda kiri dan kanan bagi menghantar tork yang lebih tepat ke setiap roda.

Volkswagen Golf R Mk8 didedahkan – 2.0 liter turbo berkuasa 320 PS/400 Nm, sistem AWD ada Drift Mode!

Jika sistem klac pelbagai lapisan sebelum ini boleh membahagikan tork dengan nisbah sehingga 50:50 antara roda kiri dan kanan, sistem baharu yang dipertingkat ini pula membolehkan tork dihantar sehingga 100% pada roda sebelah luar bagi memberikan kelincahan yang lebih baik!

Urusan untuk menentukan pembahagian tork pada setiap roda Golf R ini diambil oleh sistem Vehicle Dynamic Manager (VDM), yang turut mengoperasikan sistem differential lock elektronik (XDS) dan sistem penyerap hentak adaptif (DCC) – ketiga-tiga sistem ini diselaraskan bagi mengoptimakan pengendalian.

Sistem ini turut mengendalikan sistem torque vectoring menggunakan sistem brek ABS. Pemandu boleh memilih mod pemanduan yang telah ditetapkan seperti Comfort, Sport, Race, dan Special atau boleh membuat tetapan sendiri menerusi mod Individual. Dan dengan sistem AWD yang lebih canggih, Golf R Mk8 ini turut hadir dengan mod Drift.

Dalam mod Sport, talaan pada enjin, transmisi dan juga sistem-sistem yang dikawal VDM akan memberikan respon yang lebih cepat dan sporty serta bunyi enjin yang lebih kuat. Manakala untuk mod Race, fungsi coasting akan dimatikan, dan talaan lain dihasilkan lebih agresif.

Volkswagen Golf R Mk8 didedahkan – 2.0 liter turbo berkuasa 320 PS/400 Nm, sistem AWD ada Drift Mode!

Manakala mod Special pula adalah khas dihasilkan untuk litar “The Green Hell” Nürburgring Nordschleife, di mana ia sama dengan mod Race, tetapi talaan suspensi diberikan lebih lembut bagi membolehkan ia menangani permukaan litar yang lebih beralun tersebut.

Bagi mod Drift pula, ia akan menala semula sistem kestabilan elektronik (ESC) dan juga agihan tork enjin pada sistem pacuan semua roda bagi membolehkan anda melakukan aksi Drift dengan mudah. Bagi pemandu yang lebih pakar, anda turut boleh mematikan terus sistem ESC dalam mod ini bagi membolehkan ia dikawal tanpa campur tangan komputer.

Bukan sahaja kuasa dan sistem AWD yang membezakan Golf R ini dengan Golf standard, ia turut menerima talaan semula casis yang lebih unik. Dari segi ketinggian, Golf R adalah 20 mm lebih rendah, dan berbanding model generasi sebelumnya, model R Mk8 ini diberikan spring dan bar anti-oleng yang 10% lebih keras.

Model paling hardcore ini juga diberikan subframe aluminium yang membolehkan sistem suspensi Topang McPherson di hadapan kini 3 kg lebih ringan, bersama tetapan sudut camber yang lebih negatif bagi membolehkan ia dibelasah di selekoh dengan kelajuan lebih tinggi serta memberikan kestabilan lebih baik.

Volkswagen Golf R Mk8 didedahkan – 2.0 liter turbo berkuasa 320 PS/400 Nm, sistem AWD ada Drift Mode!

Pada bahagian belakang, Golf R masih menerima sistem suspensi multilink, dan ia diperkuatkan dengan cagak transverse link serta pemasangan pemegang hab yang diubahsuai.

Untuk berhenti, Golf R Mk8 dilengkapkan dengan cakera hadapan berdiameter 358 mm, atau 18 mm lebih besar dari Golf R Mk7. Cakera tersebut digandingkan dengan angkup dua omboh aluminium yang turut mengurangkan berat sebanyak 60% pada setiap sisi.

Seperti biasa, Golf R menampilkan rupa luaran dan dalaman yang paling agresif berbanding barisan model Golf yang lain. Model ini menerima bampar hadapan unik bersama splitter yang diilhamkan dari sukan permotoran, gril kemasukan udara R dan juga elemen-elemen hitam berkilat. Gril hadapan Golf R ini juga menerima jalur berwarna biru yang menyala.

Volkswagen Golf R Mk8 didedahkan – 2.0 liter turbo berkuasa 320 PS/400 Nm, sistem AWD ada Drift Mode!

Perincian lain yang membezakan model R ini dengan versi lain termasuk rim aloi 19-inci, skirt sisi, penutup cermin sisi kemasan krom matte bersama lampu puddle yang memancarkan logo R, angkup brek berwarna biru, diffuser belakang lebih agresif bersama empat tip ekzos krom, serta spoiler belakang lebih besar.

Pada bahagian dalaman pula, Golf R menerima tempat duduk lebih sporty dengan perehat kepala sulaman logo R bersepadu balutan kulit Nappa bersama elemen-elemen karbon, serlahan-serlahan biru dan juga roda stereng sport yang dilengkapi butang R bagi memudahkan pemandu memilih mod pemanduan.

Perincian lain yang turut diberikan termasuk kemasan-kemasan karbon R, set pedal logam tahan karat, lampu suasana kabin dengan pilihan sehingga 30-warna, pedal penukar gear, serta skrin instrumen digital sepenuhnya Volksawagen Digital Cockpit bersama sistem infotainmen Discover Pro dengan skrin sesentuh 10-inci.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required