Volkswagen Golf GTI untuk versi generasi Mk8 baru sahaja diperkenalkan pada Februari lalu, dan sekarang satu lagi versi lebih berkuasa pula didedahkan oleh VW iaitu Golf GTI Clubsport!

Sekejap, walaupun ia menerima lencana ‘Clubsport’, ini bukan bermaksud ia adalah model yang hardcore seperti Mk7 Clubsport S yang tidak mempunyai tempat duduk belakang serta pernah memecahkan rekod Honda Civic Type R di Nürburgring. Menurut VW, model tetap lebih berkuasa dari versi standard dan ia diposisikan antara model pertama Clubsport pada 2016 dan juga Clubsport S.

Malah ini juga bukan model edisi terhad seperti dua versi Clubsport sebelum ini, dan hanya sedikit usaha yang dibuat untuk mengurangkan beratnya. Secara ringkas, model Clubsport baharu ini adalah versi kesinambungan untuk VW Golf GTI TCR yang diperkenalkan sebelum ini.

Untuk model GTI Clubsport Mk8 ini, ia masih dijana oleh enjin EA888 evo4 2.0 liter empat silinder turbo sama seperti Golf GTI standard. Namun, enjin tersebut telah diolah dan ditala semula bagi menghasilkan 300 PS dan tork maksima 400 Nm, berbanding hanya 245 PS/370 Nm pada GTI biasa.

Kuasa masih hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan. Ini membolehkan Golf GTI Clubsport tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai enam saat, dan mencapai kelajuan maksima 250 km/j yang dihadkan secara elektronik.

Talaan semula bukan hanya dibuat pada enjin, malah ia turut melibatkan aspek dinamik pemanduan. Golf GTI Clubsport ini menerima sistem Vehicle Dynamics Manager yang ditingkat taraf. Sistem tersebut berintergrasi dengan kawalan unit locking differential pada gandar hadapan (VAQ), sistem differential lock elektronik (XDS) dan juga ciri opsyen penyerap hentak kawalan elektronik (DCC).

Menurut Volkswagen, sistem tersebut memberikan respon yang lebih pantas pada input stereng dan juga melenyapkan understeer yang biasanya terjadi pada sebuah kereta pacuan roda hadapan. Suspensi pada versi Clubsport ini juga 15 mm lebih rendah dari GTI biasa, serta diberikan sudut camber lebih positif pada gandar hadapan bersama stereng kuasa dengan kadar progresif yang ditala bagi memberikan respon lebih terus ketika meredah selekoh.

Empat mod pemanduan pada GTI biasa iaitu Eco, Comfort, Sport dan Individual masih dikekalkan, tetapi apa yang istimewa model Clubsport ini menerima satu lagi mod tambahan yang dinamakan sebagai Special. Mod ini dihasilkan khas untuk pemanduan dalam litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife.

Berbanding mod Sport, mod Special ini menampilkan talaan suspensi lebih lembut bagi disesuaikan dengan permukaan jalan tidak menentu di litar berkenaan. Hasilnya, dengan mod ini, Volkswagen Golf GTI Clubsport mampu untuk mencatatkan masa lap terpantas 13 saat lebih laju dari Golf GTI Mk8 biasa di Nürburgring.

Model istimewa ini juga diberikan sistem brek yang ditingkat taraf dengan pemadanan cakera brek lebih besar, serta angkup aluminium yang setiap satunya 600 gram lebih ringan dari komponen standard.

Golf GTI Clubsport ini turut diberikan elemen penggayaan yang unik. Pada bahagian muka, ia menerima bampar dengan liang pengambilan udara yang sangat besar, direka seakan sayap bersama elemen gril sarang lebah. Manakala di belakang, spoiler bumbung direka lebih tinggi dengan satu lagi tambahan ‘sayap’, bersama diffuser pada bampar yang lebih agresif serta dua tip ekzos oval lebih besar.

Bahagian bawah bendul sisi direka lebih labuh bagi disesuaikan dengan spoiler hadapan dan diffuser belakang, serta diberikan grafik istimewa di bawah pintu hadapan. Bagi melengkapkan rupanya, versi lebih berkuasa ini hadir standard dengan rim aloi lima-jejari 18-inci, namun pembeli masih boleh memadankan rim 19-inci yang ditawarkan sebagai opsyen.

Dalam kabin pula, Golf GTI Clubsport ini hadir dengan serlahan-serlahan jahitan merah pada tempat duduk, perehat tangan tengah, karpet kaki, dan juga roda stereng yang dibalut dengan kulit berliang. Secara standard, model ini diberikan upholsteri fabrik ArtVelours pada tempat duduk dan panel pintu, namun pilihan kulit berliang untuk tempat duduk masih ditawarkan.