Skoda Fabia generasi keempat didedah — lima varian enjin, Travel Assist, jarak 900 km satu tangki minyak

Skoda Fabia generasi keempat didedah — lima varian enjin, Travel Assist, jarak 900 km satu tangki minyak

Perincian berkaitan Skoda Fabia generasi keempat kini telah didedahkan secara rasmi sepenuhnya. Sebagai permulaan, model baru itu datang dengan ruang dalaman dan barangan yang lebih besar, dengan ukuran 4,108 mm panjang, 1,954 mm lebar (termasuk cermin sisi), 1,459 mm tinggi serta jarak antara roda 2,564 mm.

Ini menjadikan model generasi keempatnya 111 mm lebih panjang dan 48 mm lebih lebar berbanding model terdahulu, sementara jarak antara roda kini bertambah 94 mm. Kapasiti ruang barangan kini 380 liter, bertambah 50 liter berbanding yang lama. Dengan semua kerusi direbahkan, ruang tersedia ialah 1,190 liter.

Lima varian enjin ditawarkan sebagai pilihan bagi Fabia terbaru ini. Bermula dengan unit 1.0 liter tiga-silinder MPI Evo petrol yang menghasilkan 65 PS/93 Nm dan juga 80 PS/93 Nm, kedua-duanya digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Unit 1.0 liter TSI Evo turbocas dengan janaan 95/175 Nm juga dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan.

Skoda Fabia generasi keempat didedah — lima varian enjin, Travel Assist, jarak 900 km satu tangki minyak

Sementara itu, versi janaan output 110 PS/200 Nm bagi enjin turbo tiga-silinder pula datang dengan gandingan kotak gear manual enam-kelajuan dan DSG tujuh-kelajuan. Unit enjin paling besar yang ditawarkan, 1.5 liter turbocas TSI Evo empat-silinder petrol dengan ciri nyah-aktif silinder yang menghasilkan 150 PS dan 250 Nm tork, diganding bersama transmisi DSG tujuh-kelajuan sebagai standard. Ini membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan laju maksimum 225 km/j.

Dilengkapi dengan pilihan kapasiti tangki minyak 50 liter (standard hanya 40 liter), versi enjin 1.0 tiga-silinder Fabia boleh memberikan lebih daripada 900 km jarak bagi satu tangki penuh berdasarkan kitaran WLTP. Menurut Skoda lagi, enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 6d.

Kecekapan aerodinamiknya juga dipertingkatkan pada model terbaru ini, yang kini memberikan bacaan drag coefficient 0.28; berkurang daripada angka 0.32 pada model sebelumnya. Hal ini dicapai antaranya disebabkan melalui tetapan penutup bukaan penyejuk pada bampar depannya. Lain-lain bahagian yang turut diperkemas ialah tirai udara pada bampar depan yang menyalur udara ke sisi kenderaan, sementara perumah cermin sisi direka semula.

Skoda Fabia generasi keempat didedah — lima varian enjin, Travel Assist, jarak 900 km satu tangki minyak

Selain itu, Skoda juga menawarkan enam rekaan bagi rimnya, dari saiz 16-inci dan 17-inci; dua saiz ini datang dengan kemasan plastik khas untuk memperbaiki aerodinamik. Selain itu, rim Fabia juga datang dalam saiz dari 14-inci hingga 18-inci. Bahagian bawah badan juga dipasangkan dengan 12 panel sebagai penampan.

Tiga tahap kemasan ditawarkan — Active, Ambition dan Style — dengan papan pemukanya boleh dipilih dari enam warna berbeza. Sebagai ciri standard, ruang dalaman Fabia menerima kemasan warna gangsa dan jahitan kelabu, dengan kemasan Style menerima lampu suasana LED dalam warna merah atau putih.

Fabia juga menerima paparan digital buat pertama kali bagi instrumennya, dengan pemandu menerima paparan 10.25-inci dengan empat tataletak berbeza, sementara pek Dynamics menawarkan tataletak kelima iaitu Sport dalam tetapan Virtual Cockpit. Sebagai ciri standard, Fabia dilengkapi skrin paparan analog 3.5-inci, dan kawalan pendingin dua-zon ditawarkan sebagai pilihan.

Infotainmen hadir dalam tiga sistem berbeza, yang menampilkan skrin bersaiz 6.5-inci, 8-inci dan 9.2-inci. Skrin paling besar menampilkan tetapan “Amundsen”, dengan paparan penunjuk arah dan sokongan data. Sambungan peranti pula melibatkan capaian Smartlink tanpa wayar serta Android Auto dan Apple CarPlay, lima slot USB-C termasuk satu di cermin pandang belakang sebagai sumber kuasa bagi dashcam.

Bagi aspek keselamatan, Fabia generasi keempat ini menerima fungsi Travel Assist yang membantu stereng dan kawalan kelajuan pemandu. Ini termasuk ciri kawalan melayar adaptif yang berfungsi hingga 210 km/j, dan Lane Assist membantu membetukkan kedudukan stereng. Travel Assist juga akan mengesan sama ada pemandu bersentuhan secara fizikal pada stereng untuk memastikan kenderaan sentiasa dalam kawalan.

Termasuk sekali ialah Side Assist, atau pengesan titik buta, serta Park Assist untuk membantu mengesan ruang parkir undur dan sisi dalam kelajuan 40 km/j dan boleh mengambil alih stereng untuk meletak kenderaan. Selebihnya Fabia datang dengan sembilan beg udara, Isofix dengan cangkuk atas di tempat duduk belakang serta kerusi penumpang depan.

Ada sembilan warna badan ditawarkan sebagai pilihan, termasuk Phoenix Orange dan Graphite Grey yang pertama kali diperkenalkan untuk hatchback ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required