Toyota GR Yaris Rally1 WRC didedahkan – 1.6L Turbo Hybrid berkuasa 500 hp, guna kerangka space frame

Toyota GR Yaris Rally1 WRC didedahkan – 1.6L Turbo Hybrid berkuasa 500 hp, guna kerangka <em>space frame</em>

Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT) telah mendedahkan jentera rali era baru mereka untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) – ini dia rupa sebenar Toyota GR Yaris Rally1! Jentera tersebut didedahkan ketika pelancaran WRC musim 2022, di Hangar-7 Salzburg, Austria pada malam hujung minggu lalu bersama dua lagi pasukan yang bertanding iaitu Hyundai dan M-Sport Ford.

Seperti yang diumumkan pada 2019, WRC akan mula menggunakan undang-undang baharu untuk kejohanan musim ini, iaitu regulasi Rally1 bagi menggantikan regulasi WRCar yang digunakan sejak 1997 sehingga 2021 sebagai kategori utama. Dengan itu, kesemua pasukan yang bertanding perlu menghasilkan jentera rali generasi baharu yang bukan sahaja menggunakan unit rangkaian kuasa plug-in Hybrid, malah menampilkan pelbagai perincian lain yang jauh berbeza dari jentera-jentera sebelum ini.

Menerusi regulasi Rally1, kesemua pasukan perlu menggunakan rollcage homologasi FIA yang sama sebagai asas kereta mereka, yang bukan sahaja melindungi pemandu dan juruarah dengan lebih baik, malah ia juga berfungsi untuk melindungi sistem hibrid voltan tinggi yang berada pada sebelah belakang kereta.

Pengeluar diberikan kebebasan sama ada untuk menggunakan kerangka yang sama diambil dari model produksi atau untuk menggunakan kerangka space frame sepenuhnya (seperti era ‘gila’ Group B pada 80’an) yang diasaskan dari rollcage berkenaan untuk regulasi Rally1 ini, dan nampaknya Toyota dan dua lagi saingannya dalam WRC tahun ini memilih untuk membina jentera mereka berasaskan kerangka space frame.

Walau bagaimanapun, FIA menetapkan badan atas jentera Rally1 ini masih perlu dihasilkan dengan dimensi, serta menampilkan bentuk cermin tingkap, lampu hadapan dan belakang dengan bentuk sama seperti model produksi jalan raya. Jadi secara tidak langsung kereta ini masih tampil dengan rupa asas yang sama dengan GR Yaris yang dijual di bilik pameran, tidak seperti jentera perlumbaan yang menggunakan asas kerangka space frame seragam lain contohnya Supercars Australia dan NASCAR yang diberikan rupa luaran yang sangat pelik dan berbeza dari model produksi jalan raya.

Sama seperti Yaris WRC musim lalu, jentera baharu ini kelihatan seperti GR Yaris produksi yang diberikan suntikan steroid, menampilkan kit aerodinamik ekstrem terdiri dari bampar yang lebih besar, kesemua fender lebih lebar yang turut bertindak seakan ‘sayap terbalik’, dan juga spoiler gergasi pada bahagian belakang. Walau bagaimanapun menerusi regulasi baharu berkenaan, fungsi aerodinamik pada jentera GR Yaris Rally1 ini perlu ditala 15% kurang berkesan berbanding jentera WRC terdahulu.

Pada setiap sisi badan GR Yaris Rally1 ini juga dilihat diberikan skup udara yang besar, dihasilkan untuk sistem penyejukan bagi unit hibrid elektrik yang berada di kabin belakang. Turut kelihatan, sepasang kipas diletakkan di sebalik bampar belakang, juga untuk sistem penyejukan sistem hibrid tersebut.

TGR WRT masih menggunakan livery perlumbaan yang sama pada GR Yaris Rally1 ini. Ia tampil dengan warna putih-merah-hitam ikonik Toyota Gazoo Racing, dan menampilkan grafik seakan ‘dicop’ dengan logo GR jika dilihat dari bahagian sisi jentera tersebut.

Toyota GR Yaris Rally1 WRC didedahkan – 1.6L Turbo Hybrid berkuasa 500 hp, guna kerangka <em>space frame</em>

Untuk enjin pembakaran dalaman, GR Yaris Rally1 ini masih dijana enjin 1.6 liter turbo dari jentera Yaris WRC sebelum ini. Unit pengecas turbo masih perlu dilengkapkan dengan restrictor berdiameter 36 mm, bagi membolehkan kuasa yang dihasilkan adalah sekitar 380 hp.

Namun enjin ini tidak disuap dengan petrol biasa, sebaliknya menggunakan bahan bakar perlumbaan dari P1 Racing. Ia adalah bahan api lebih mesra alam berasaskan hidrokarbaon yang dihasilkan bebas dari sebarang unsur fosil, dan diadun dengan bahan sintetik serta komponen bahan api bio.

Manakala untuk transmisi, kotak gear sequential enam-kelajuan tidak lagi boleh digunakan, dan ia perlu digantikan dengan kotak gear sequential lima-kelajuan yang dihomologasi oleh FIA sama seperti jentera rali kelas R5 atau Rally2. Ini juga bermaksud tiada lagi pedal penukar gear pada stereng, dan pemandu GR Yaris Rally1 ini perlu menukar gear menggunakan tuil gear sequential konvensional.

Bagi unit plug-in Hybrid, kesemua pasukan menerima sistem yang dibangunkan oleh Compact Dynamics dan dihomologasi oleh FIA. Unit tersebut menampilkan bateri lithium ion 3.9 kWj, motor elektrik (Motor Generator Unit atau MGU) berkuasa 100 kW (134 hp) dan tork 180 Nm, serta unit inverter dan unit pengurusan kuasa – kesemuanya diletakkan dalam perumah yang diperbuat dari gentian karbon.

Motor elektrik berkenaan dihubungkan terus kepada gandar belakang; jadi pada masa-masa tertentu, GR Yaris ini dapat memecut dengan kuasa penuh sekitar 500 hp. Kuasa ‘boost’ dari sistem hibrid elektrik berkenaan dikawal oleh kotak komputer yang telah diselarikan dengan talaan kotak komputer unit pengurasan enjin pembakaran dalaman.

Jadi, tiada sebarang butang ‘power boost’ diperlukan untuk mengaktifkan kuasa tambahan tersebut, dan ia akan dilepaskan setiap kali pemandu memijak pedal pendikit, dalam keadaan bateri hibrid mempunyai kuasa yang cukup selepas mendapat cas elektrik yang dihasilkan oleh sistem regenerative braking. Secara mudahnya, lebih banyak pemandu menekan brek, semakin banyak kuasa elektrik dapat disimpan, dan semakin banyak kuasa boost dari sistem hibrid dapat digunakan untuk memecut.

FIA juga telah memberikan tiga mapping berbeza untuk mod hibrid ini (juga telah dihomologasi untuk semua pasukan) yang boleh dipilih oleh pemandu berdasarkan kesesuaian mereka untuk Special Stage (SS) yang berbeza. Namun mapping tersebut perlu dipilih sebelum memulakan SS, dan tidak boleh ditukar sehingga habis SS berkenaan.

Selain dari sistem regenerative braking, bateri sistem hibrid tersebut juga dapat dicas semula secara plug-in menerusi pengecas yang diletakkan di setiap service park. Jadi pada garis permulaan, kesemua jentera Rally1 ini boleh memecut dengan kuasa penuh 500 hp.

FIA juga telah menetapkan bahawa untuk road stage (pergerakan kereta dari service park ke SS atau dari satu SS ke SS yang lain) di atas jalan raya awam, kesemua jentera Rally1 ini hanya dibenarkan bergerak menggunakan mod EV iaitu hanya menggunakan 100% kuasa elektrik, dan enjin pembakaran konvensional perlu dimatikan.

Setiap jentera Rally1 ini juga perlu diberikan lampu petunjuk hijau/merah pada bahagian atas cermin hadapan dan juga pada tingkap sisi belakang. Lampu tersebut adalah untuk panduan penonton yang ingin membantu menolak kereta-kereta rali yang terbabas. Penonton hanya dibenarkan menyentuh badan kereta tersebut sekiranya ia berwarna hijau. Lampu amaran berwarna merah keluar akan keluar sekiranya sistem hibrid voltan tinggi pada kereta berkenaan mempunyai risiko untuk mencederakan penonton yang menyentuh kereta itu.

Walaupun GR Yaris Rally1 ini menggunakan kerangka space frame, ia ditimbang sekitar 70 kg lebih berat (berat minima yang dibenarkan FIA untuk Rally1 adalah 1,260 kg) berbanding jentera Yaris WRC musim lalu disebabkan oleh sistem hibrid yang dibekalkan ini.

Toyota GR Yaris Rally1 WRC didedahkan – 1.6L Turbo Hybrid berkuasa 500 hp, guna kerangka <em>space frame</em>

GR Yaris Rally1 juga menampilkan sistem suspensi yang lebih ringkas dengan strok pergerakan penyerap hentak yang lebih pendek berbanding Yaris WRC, kesemuanya atas formulasi yang telah dibuat oleh FIA untuk homologasi jentera rali generasi baharu ini bagi memastikan kos pembinaannya tidak terlalu tinggi. Juga, FIA tidak membenarkan penggunaan unit differential tengah untuk sistem pacuan semua roda jentera Rally1 ini.

Tahun ini, naib juara WRC tahun lalu iaitu Elfyn Evans tampil sebagai pemandu utama pasukan Toyota, dan pertarungan untuk mempertahankan gelaran juara kategori pengeluar akan dibantu oleh pemandu muda dari Finland, Kalle Rovanperra. Juara WRC tahun lalu, Sebastien Ogier (yang akan ‘separa bersara’ tahun ini) akan memandu kereta ketiga TGR WRT, berkongsi dengan Esapekka Lappi di mana kedua-dua mereka akan memandu pada pusingan-pusingan berasingan.

Manakala pemandu Jepun, Takamoto Katsuta akan memandu satu lagi jentera GR Yaris Rally1 di bawah pasukan satelit Toyota. Pusingan pertama WRC 2022 akan bermula minggu ini, iaitu Rally Monte Carlo yang akan dilangsungkan bermula 21 sehingga 23 Januari nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required