Sebastien Ogier dan Toyota juara WRC 2021!

Sebastien Ogier dan Toyota juara WRC 2021!

Kejuaraan Rali Dunia (WRC) untuk musim 2021 secara rasmi melabuhkan tirainya semalam selepas berakhir pusingan terakhir di ACI Rally Monza, Itali. Pertarungan sengit bukan sahaja sehingga akhir musim, malah hingga ke babak-babak terakhir semalam menyaksikan pemandu Perancis, Sebastien Ogier merangkul gelaran juara dunia kejohanan tersebut buat kali ke-lapan!

Tambah manis, pasukan yang diwakili Ogier, Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT) turut dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori pengeluar bagi WRC 2021. Malah pertarungan merebut takhta juara pemandu pada pusingan terakhir di Itali hujung minggu lalu juga menyaksikan pertarungan hebat antara Ogier dan rakan sepasukannya, Elfyn Evans.

Sebelum ACI Rally Monza ini bermula Ogier telah pun mendahului carta pungutan mata dengan kelebihan 17 mata berbanding Evans. Kedua-dua pemandu berkenaan bersaing sengit sepanjang tiga hari rali tersebut berlangsung di mana pendahulu perlumbaan telah bertukar sebanyak enam kali.

Sebastien Ogier dan Toyota juara WRC 2021!

Pelbagai drama terjadi pada hari terakhir rali yang berlangsung di sekitar litar ikonik Monza dan di kaki bukit pergunungan Alps Itali ini. Sebastien Ogier hampir-hampir terkeluar dari perlumbaan berkenaan tanpa sebarang pungutan mata apabila tayar hadapan sebelah kanannya terlanggar tembok batu laluan chicane – mujur geseran kuat yang menyebabkan percikan api yang cukup besar tersebut hanya menyebabkan calar pada bahagian rim dan dinding tayarnya terkopek sedikit.

Bagi Elfyn Evans pula, sedikit kesilapan yang dibuat ketika mengambil selekoh membuatkan enjin Toyota Yaris WRC yang dipandu termati dan menyebabkan dia kehilangan berberapa saat berharga. Perlumbaan ini berakhir dengan Ogier mendahului 7.3 saat berbanding Evans.

“Sangat sukar untuk menggambarkan emosi seperti ini. Entah bagaimana anda rasa kosong kerana ia merupakan musim yang memenatkan seperti selalu, di mana anda perlu letakkan banyak usaha untuk memenangi kejuaraan. Tetapi kami lakukan untuk saat seperti ini. Beribu terima kasih diucapkan kepada ahli pasukan: Tanpa mereka kami tiada apa-apa dan hari ini kami semua adalah juara dunia, jadi mari raikannya,” kata Ogier.

Sebastien Ogier dan Toyota juara WRC 2021!

Ini musim penuh terakhir bagi Ogier dalam WRC. Bagi musim 2022, beliau mengesahkan akan ‘separa bersara’ dan hanya berlumba di pusingan-pusingan tertentu dengan pasukan Toyota, sementara juru arahnya, Julien Inggrasia mengambil keputusan untuk bersara sepenuhnya.

“Sepanjang musim, sentiasa ada sekurang-kurangnya salah satu dari kru kami berada di atas podium – termasuk Takamoto (Katsuta). Terima kasih kepada mereka, saya dapat menonton kesemua acara dengan teruja menjangkakan seseorang dari pasukan kami akan menang. Kemudian dalam pusingan terakhir ini, Seb dan Julien, yang mensasarkan gelaran kelapan mereka, serta Elfyn dan Scott, yang masih berpeluang untuk memenangi gelaran pertama, mempersembahkan pertarungan sengit sehingga ke saat akhir. Sebagai peminat setia rali, saya berasa sangat teruja melihat mereka,” kata presiden Toyota yang juga pengasas TGR WRT, Akio Toyoda.

“Yaris WRC kami berlumba dalam situasi yang begitu mengujakan pada peringkat tertinggi pertandingan…Ia seakan mimpi bagi kami di Toyota. Saya mahu berterima kasih untuk kedua-dua kru dari hati kerana membolehkan kami mengalami perasaan sedemikian,” tambah Toyoda lagi.

Sebastien Ogier dan Toyota juara WRC 2021!

Kemenangan 1-2 Toyota minggu ini juga membolehkan pasukan Jepun tersebut terus berada di kedudukan paling atas bagi kejohanan ketegori pengeluar sehingga ke akhir musim, sekaligus merampas kejuaraan berkenaan dari Hyundai yang menyandang gelaran itu dua tahun berturut-turut sejak 2019. Toyota bergelar juara dunia kategori pengeluar tahun ini dengan kelebihan 59 mata berbanding Hyundai.

Pemandu Hyundai yang mempamerkan aksi terbaik pada Rali Monza ini adalah Dani Sordo yang menduduki tangga ketiga, ketinggalan 14 saat di belakang Elfyn Evans. Pemandu utama Hyundai, Thierry Neuville yang sekali lagi tidak bernasib baik kerana terlanggar pembahagi jalan pada SS ke-9 hanya berpuas hati di tangga ke-empat.

Namun bintang muda Hyundai yang sedang meningkat naik, Oliver Solberg adalah antara yang diberi tumpuan dalam ACI Rally Monza kali ini. Anak kepada bekas juara WRC 2003, Petter Solberg berkenaan diletakkan dalam pasukan setelit Hyundai 2C Competition oleh prinsipal pasukan Hyundai, Andrea Adamo dan berjaya mencatatkan keputusan terbaiknya dalam WRC dengan menamatkan rali tersebut di kedudukan kelima.

Musim hadapan kesemua pasukan bakal menampilkan jentera baharu masing-masing kerana undang-undang WRCar yang telah digunakan sejak 1997 akan digantikan dengan kategori baharu yang digelar Rally1. Ini merupakan era baharu buat kejohanan ini kerana FIA bukan sahaja memberikan kebebasan untuk setiap pengeluar menggunakan kerangka badan jenis space frame seperti era Group B dahulu, malah kesemua jentera perlu dipadankan dengan sistem hibrid elektrik dengan motor berkuasa 134 hp diletakkan pada gandar belakang.

Menerusi undang-undang baharu ini, setiap jentera tersebut bukan sahaja perlu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan enjin pembakaran dimatikan terus ketika bergerak di jalan raya awam (dari SS ke SS atau ke service park), malah dalam situasi-situasi tertentu ketika berlumba, ia mampu menghasilkan kuasa maksima sekitar 500 hp.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required