Anak kepada juara WRC 2003, Petter Solberg iaitu Oliver Solberg sekali lagi menjadi tajuk sensasi dalam dunia sukan permotoran setelah mempamerkan pemanduan yang sangat agresif semasa mencatatkan masa di Hill Climb, Goodwood Festival of Speed (FOS) 2019 hujung minggu lalu.

Oliver yang baharu sahaja berumur 17-tahun memandu kereta yang pernah digunakan oleh dia dan ayahnya dalam perlumbaan RallyCross sebelum ini, iaitu Citroen DS RX Supercar yang menghasilkan sekitar 600 hp. Dengan gaya yang begitu liar tetapi nampak cukup terkawal, Oliver berjaya mencatatkan masa 49.39 saat di Hill Climb berkenaan.

Dengan catatan masa tersebut, Oliver menjadi pemandu ketiga terpantas di Hill Climb FOS tahun ini, di belakang ayahnya yang berada di tempat kedua dengan masa 47.83 saat, memandu Volkswagen Polo RX Supercar. Romain Dumas dinobatkan sebagai pemandu terpantas di Hill Climb FOS 2019 dengan kereta elektrik sepenuhnya, Volkswagen ID.R, mencatatkan masa 42.32 saat.

Awal tahun ini, Oliver Solberg diberikan tempat oleh Subaru Rally Team USA untuk bertanding di kejuaraan American Rally Association (ARA), dan diberi penghormatan untuk memandu jentera Subaru dengan livery perlumbaan klasik Subaru – warna badan Sonic Blue dan logo Subaru berwarna kuning – sama seperti Subaru Impreza WRCar 2003 yang dipandu ayahnya ketika bergelar juara dunia 16 tahun dahulu.

Kemudian, dia melakukan satu lagi kejutan pada bulan Mei lalu – ketika penampilan sulungnya dalam Kejohanan Rali Eropah (ERC) di Rali Liepàja 2019, Oliver Solberg disahkan sebagai juara dan menewaskan juara ERC 2018, “Russian Rocket” Aleksey Lukyanuk.