TOM’S Toyota GR Yaris Type TK – kit inspirasi WRC diperkenal di Jepun, mula dijual hujung bulan ini

TOM’S Toyota GR Yaris Type TK – kit inspirasi WRC diperkenal di Jepun, mula dijual hujung bulan ini

Selepas didedahkan secara maya dalam bentuk prototaip awal tahun ini, kit badan keluaran TOM’S yang dihasilkan bersama pemandu Kejohanan Rali Dunia (WRC) Jepun, Takamoto Katsuta untuk Toyota GR Yaris – digelar TOM’S GR Yaris Type TK – kini secara rasmi diperkenalkan dalam pasaran negara matahari terbit tersebut, dan bakal dijual bermula lewat bulan ini.

Seperti yang anda boleh lihat, kit aero TOM’S GR Yaris yang direka bersama Katsuta ini menampilkan rupa yang jauh lebih agresif dari model asal dan ia diinspirasikan dari jentera rali sebenar Toyota Yaris WRC yang dipandu Katsuta dalam perlumbaan rali peringkat tertinggi dunia berkenaan.

Kit ini dimulakan dengan bampar hadapan baharu sepenuhnya dengan apron serta spoiler bawah yang lebih besar dan agresif, serta menampilkan sirip-sirip udara tambahan seakan Yaris WRC. Gril atas asal GR Yaris ini turut diubah dengan rekaan gril yang lebih sinonim dengan TOM’S.

Tiada skirt sisi yang dibuat untuk kit ini, tetapi ia hadir dengan ‘sayap’ untuk kedua-dua bawah bendul sisi digelar sebagai side diffuser, yang kelihatan seperti memberikan lebih downforce menerusi udara yang mengalir dari spoiler bampar hadapan.

TOM’S Toyota GR Yaris Type TK – kit inspirasi WRC diperkenal di Jepun, mula dijual hujung bulan ini

Bampar belakang masih menggunakan bampar asal GR Yaris dari kilang. Namun kit TOM’S Type TK ini merubah rupa asal bampar berkenaan agar kelihatan seperti Yaris WRC Katsuta – menampilkan dua liang udara yang ‘berdiri’ pada setiap sisi, bersama diffuser lebih agresif yang menempatkan tip ekzos tunggal berbentuk leper “TOM’S Barrel” di tengah bagi menggantikan dua tip ekzos bulat asal GR Yaris.

Kit ini dilengkapkan dengan spoiler bumbung di belakang yang direka lebih besar dari spoiler GR Yaris asal, menampilkan dua lapis sayap dan juga sirip-sirip tambahan pada setiap sisi, seakan replika spoiler Yaris WRC dalam skala lebih kecil.

Namun TOM’S tidak mengumumkan sebarang peralatan prestasi untuk GR Yaris ini. Tetapi pada unit prototaip yang didedahkan pada Januari lalu, ia turut dipadankan dengan pelbagai peralatan prestasi dari LUCK yang turut dibangunkan bersama Katsuta. Antaranya adalah set suspensi boleh laras LUCK El Sport V1 DFK yang bukan sahaja memberikan pengendalian lebih baik, malah dapat merapatkan lagi badan hot-hatch ini ke permukaan jalan.

Dalam keadaan standard, Toyota GR Yaris dijana oleh enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, menghasilkan 272 PS/370 Nm dan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Ia digandingkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, dan dengan Performance Pack ia hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang.

Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa jarang dengar nama Takamoto Katsuta ini berbanding nama tiga pemandu utama Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT) iaitu Sebastien Ogier, Elfyn Evans dan Kalle Rovanpera bukan? Sebenarnya misi Presiden Toyota, Akio Toyoda bukan hanya untuk membawa semula nama syarikatnya itu dalam persaingan WRC. Beliau turut berhasrat untuk membawa semula pusingan WRC Rally Japan (sepatutnya berlangsung tahun lalu, tetapi turut dibatalkan kerana pandemik Covid-19), dan melahirkan seorang pelumba WRC dari Jepun sendiri.

Jadi, Takamoto Katsuta yang juga anak kepada juara lapan kali Kejohanan Rali Jepun, Norihiko Katsuta, terpilih untuk menggalas impian Akio Toyoda berkenaan selepas prestasi yang ditunjukkan olehnya. Pada tahun 2015 hingga 2016, pembangunan Katsuta yang ketika itu berumur 22 tahun diletakkan di bawah pengawasan terus Tommi Makinen oleh Toyoda untuk berlumba di Eropah.

Pada tahun 2017, Katsuta mula menyertai musim penuh WRC dalam kategori WRC2 dengan jentera R5 juga bersama Tommi Makinen Racing, dalam masa yang sama juara dunia empat kali berkenaan bertugas sebagai prinsipal pasukan TGR WRT. Peluang pertama Katsuta untuk berlumba dengan jentera Yaris WRC adalah pada tahun 2019 di rali Jerman dan Sepanyol, namun Yaris WRC tersebut masih didaftarkan di bawah pasukan kedua Toyota, Tommi Makinen Racing.

Tahun lalu Katsuta diberi peluang untuk berlumba dalam lebih banyak pusingan WRC, dan berjaya mengutip 13 mata untuk berada di tempat ke-13 secara keseluruhan. Malah Katsuta turut berjaya membuat kejutan dengan menjuarai Wolf Power Stage di pusingan terakhir WRC musim 2020, ACI Rally Monza. Dia juga berjaya mendapat menghabiskan Rally Portugal minggu lalu di tangga ke-4, menjadikannya pelumba WRC Jepun paling berjaya setakat ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required