TOM’S Toyota GR Yaris – talaan bersama Takamoto Katsuta dan LUCK , inspirasi dari jentera Yaris WRC

TOM’S Toyota GR Yaris – talaan bersama Takamoto Katsuta dan LUCK , inspirasi dari jentera Yaris WRC

Tahun ini buat pertama kalinya penganjuran Tokyo Auto Salon (TAS) terpaksa dibatalkan, seperti diketahui, ia adalah kerana pandemik Covid-19, dengan kes positif harian sedang meningkat di Jepun. Walau bagaimanapun, acara tersebut masih boleh ‘dikunjungi’ secara maya hujung minggu lalu (tarikh sebenar ia sepatutnya berlangsung), dan banyak penala-penala yang sepatutnya menyertai TAS 2021 membuat siaran langsung memperkenalkan kereta talaan dan produk baharu mereka di Youtube.

Sekiranya ia berlangsung seperti biasa tahun ini, sudah tentu dewan-dewan di Makuhari Messe akan penuh dengan hot-hatch Toyota yang sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia sekarang ini iaitu GR Yaris. Dan ini adalah GR Yaris talaan penala ‘otai’ Toyota di Jepun iaitu TOM’S, dan mendapat kerjasama pemandu Kejohanan Rali Dunia (WRC) Jepun yang memandu untuk Toyota Gazoo Racing iaitu Takamoto Katsuta, dan juga satu lagi jenama penala iaitu LUCK.

Seperti yang anda boleh lihat, kit aero TOM’S GR Yaris yang direka bersama Katsuta ini menampilkan rupa yang jauh lebih agresif dari model asal, walaupun tanpa kit badan lebar seperti yang dihasilkan oleh Pandem untuk GR Yaris HKS dan juga Fat Five Racing. Bentuk bampar asal hot-hatch ini masih kelihatan, tetapi diberikan sirip-sirip udara tambahan pada perumah lampu kabus, sisi bampar dan juga spoiler bawah bampar yang begitu besar, diinpirasikan dari jentera lumba sebenar Yaris WRC.

Gril atas asal GR Yaris ini turut diubah dengan rekaan gril yang lebih sinonim dengan TOM’S, manakala unit intercooler untuk sistem turbo disebalik gril bawah nampaknya turut ditukar dengan unit yang jauh lebih besar. Udara dari spoiler bawah hadapan seakan dialirkan ke sisi badan untuk terus memberikan downforce menerusi ‘sayap’ di bawah skirt sisi.

TOM’S Toyota GR Yaris – talaan bersama Takamoto Katsuta dan LUCK , inspirasi dari jentera Yaris WRC

Bahagian belakang TOM’S GR Yaris ini menampilkan lebih banyak aspek rekaan yang diambil dari Yaris WRC. Anda boleh lihat dua liang udara yang ‘berdiri’ pada setiap sisi bampar tersebut seakan liang udara dari overfender Yaris WRC. Begitu juga pada bahagian bawah bampar di mana ia diberikan diffuser yang direka seakan jentera yang di pandu oleh Katsuta dalam WRC, siap dengan tip ekzos tunggal berbentuk leper di tengah bagi menggantikan dua tip ekzos bulat asal GR Yaris.

Untuk spoiler bumbung pula, ia seakan spoiler Yaris WRC dalam skala lebih kecil (tapi masih bersaiz lebih besar dari spoiler asal GR Yaris), dengan dua lapis sayap dan juga sirip-sirip tambahan pada setiap sisi.

GR Yaris sememangnya menampilkan banyak panel badan ringan yang sudah siap diberikan dari kilang seperti bonet hadapan dan penutup but belakang aluminium, dan juga bumbung dari material karbon CFRP. TOM’S GR Yaris ini pula menampilkan tambahan sepasang pintu karbon dari LUCK.

Untuk pengetahuan anda, LUCK juga sudah banyak menghasilkan pelbagai peralatan rali untuk GR Yaris ini hasil kerjasama dengan Katsuta, antaranya seperti pod lampu LED karbon, panel pintu dalaman karbon, perehat kaki pada lantai untuk pemandu dan juruarah juga dari karbon, set rollcage lengkap, dan pelbagai lagi.

Satu lagi peralatan LUCK yang dipadankan pada TOM’S GR Yaris ini adalah set suspensi boleh laras LUCK El Sport V1 DFK yang bukan sahaja memberikan pengendalian lebih baik, malah dapat merapatkan lagi badan hot-hatch ini ke permukaan jalan.

TOM’S Toyota GR Yaris – talaan bersama Takamoto Katsuta dan LUCK , inspirasi dari jentera Yaris WRC

Kit aero yang lebih agresif TOM’S GR Yaris ini dipadankan dengan set rim Rays Engineering G025 berdiameter 18inch, dibaluti tayar Dunlop SP Sport Max. Walaupun set asal brek untuk GR Yaris ini sudah cukup baik menampilkan cakera jenis terapung dan dilarik dengan angkup monoblok empat omboh di hadapan, model talaan TOM’S ini diberikan sistem lebih padu dengan set dari Endless yang dihasilkan untuk perlumbaan rali.

Tiada perubahan besar diberikan pada bahagian kabin, di mana tempat duduk semi-bucket GR asal digantikan dengan unit bucket penuh perlumbaan Recaro RMS2 600A.

Walau bagaimanapun, tiada perincian berkenaan sistem mekanikal lain didedahkan untuk TOM’S GR Yaris ini. Dalam keadaan standard, Toyota GR Yaris dijana oleh enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, menghasilkan 272 PS/370 Nm dan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

Ia digandingkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, dan dengan Performance Pack ia hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang.

Ini membolehkan ‘pocket rocket’ ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j. Ia turut dibekalkan dengan set klac pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork depan dan belakang bermula 60:40 untuk mod Normal, 30:70 untuk mod Sport dan 50:50 untuk mod Track.

Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa jarang dengar nama Takamoto Katsuta ini berbanding nama tiga pemandu utama Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT) iaitu Sebastien Ogier, Elfyn Evans dan Kalle Rovanpera bukan? Sebenarnya misi Presiden Toyota, Akio Toyoda bukan hanya untuk membawa semula nama syarikatnya itu dalam persaingan WRC. Beliau turut berhasrat untuk membawa semula pusingan WRC Rally Japan (sepatutnya berlangsung tahun lalu, tetapi turut dibatalkan kerana pandemik Covid-19), dan melahirkan seorang pelumba WRC dari Jepun sendiri.

Jadi, Takamoto Katsuta yang juga anak kepada juara lapan kali Kejohanan Rali Jepun, Norihiko Katsuta, terpilih untuk menggalas impian Akio Toyoda berkenaan selepas prestasi yang ditunjukkan olehnya. Pada tahun 2015 hingga 2016, pembangunan Katsuta yang ketika itu berumur 22 tahun diletakkan di bawah pengawasan terus Tommi Makinen oleh Toyoda untuk berlumba di Eropah.

Pada tahun 2017, Katsuta mula menyertai musim penuh WRC dalam kategori WRC2 dengan jentera R5 juga bersama Tommi Makinen Racing, dalam masa yang sama juara dunia empat kali berkenaan bertugas sebagai prinsipal pasukan TGR WRT. Peluang pertama Katsuta untuk berlumba dengan jentera Yaris WRC adalah pada tahun 2019 di rali Jerman dan Sepanyol, namun Yaris WRC tersebut masih didaftarkan di bawah pasukan satelit Toyota, Tommi Makinen Racing.

Tahun lalu Katsuta diberi peluang untuk berlumba dalam lebih banyak pusingan WRC, dan berjaya mengutip 13 mata untuk berada di tempat ke-13 secara keseluruhan. Malah Katsuta turut berjaya membuat kejutan dengan menjuarai Wolf Power Stage di pusingan terakhir WRC musim 2020, ACI Rally Monza bulan lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required