Jentera WRC Toyota GR Yaris Rally1 2022 tak pakai casis produksi sebenar, guna kerangka space frame

Jentera WRC Toyota GR Yaris Rally1 2022 tak pakai casis produksi sebenar, guna kerangka <em>space frame</em>

Umum mengetahui, Toyota menghasilkan hot-hatch GR Yaris sebagai model homologasi istimewa kepada jentera Kejohanan Rali Dunia (WRC) sebenar selepas khidmat jentera Yaris WRC ditamatkan tahun ini. GR Yaris yang dihasilkan dari kilang memang sebagai sebuah jentera rali jalan raya dijangka bakal menjadikan ia sebagai sebuah jentera WRC yang sangat kompetitif kerana mempunyai asas yang cukup kuat dari segi struktur dan aerodinamik.

Namun tahukah anda, jentera WRC GR Yaris Toyota untuk musim hadapan sebenarnya hanya menggunakan ‘kulit’ model produksi jalan raya, tetapi casis asas kereta lumba tersebut tiada kaitan langsung dengan versi yang dijual di bilik pameran?

Ini kerana FIA telah mengumumkan perubahan peraturan pada penghujung 2019, di mana undang-undang WRCar yang diguna pakai untuk kategori tertinggi WRC sejak 1997 ditukar kepada regulasi Rally1 bermula musim 2022. Undang-undang Rally1 ini menampilkan perubahan yang agak signifikant kerana bukan sahaja ia perlu menggunakan teknologi hibrid elektrik, malah pengeluar diberikan kebebasan sama ada mahu menggunakan casis produksi ataupun menggunakan casis jenis space frame yang dibangunkan khas seperti jentera era Group B dahulu.

Bagi pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), mereka telah menghentikan pembangunan jentera rali GR Yaris WRC yang sepatutunya muncul pada tahun 2021 kerana ia hanya boleh digunakan hanya satu musim, dan kemudian menghasilkan jentera Rally1 baharu yang dibangunkan semula sepenuhnya dari mula.

Jentera WRC Toyota GR Yaris Rally1 2022 tak pakai casis produksi sebenar, guna kerangka <em>space frame</em>

Model produksi jalan raya GR Yaris

Menurut Pengarah Teknikal TGR WRT, pasukannya memilih untuk menggunakan kerangka space frame bagi membangunkan jentera WRC yang bakal memulakan aksinya pada Rally Monte Carlo Januari ini.

Fowler menjelaskan bahawa mana-mana pembangunan kereta rali pastinya akan dimulakan pada bahagian paling besar dan paling asas iaitu casis.

“Setelah sekian lama kereta-kereta rali diasaskan dari kerangka yang kita gelar sebagai berasaskan casis produksi. Jadi titik permulaan dalam menghasilkan kereta tersebut sebenarnya bermula dari casis model jalan raya secara dasarnya, dan casis tersebut kami reka semula dalam pelbagai elemen bagi memberikan kelengkapan seperti sistem suspensi dan sistem pacuan empat roda kereta rali, dan sudah pastinya elemen keselamatan yang sangat penting. Tetapi kesemua elemen tersebut bersepadu pada casis yang sudah pun dibuat untuk kegunaan kereta jalan raya biasa.

“Melihat pula untuk 2022 casis yang digunakan sebenarnya dihasilkan khas sepenuhnya hanya untuk kereta rali, jadi dimensi-dimensi asas masih berkaitan dengan kereta asli yang akan dihasilkan untuk bentuk akhirnya, iaitu Yaris untuk kami dan model lain untuk pengeluar lain.

“Namun kami tak mulakan proses penghasilan menggunakan casis asal tapi kami bermula dengan struktur tiub kami sendiri yang direka khas untuk digunakan untuk rali dan oleh itu semua sistem suspensi, sistem pacuan empat roda, unit hibrid dan sebagainya diintegrasikan dalam cara yang kami mahu secara spesifik dalam rali,” jelas Tom Fowler.

Jentera WRC Toyota GR Yaris Rally1 2022 tak pakai casis produksi sebenar, guna kerangka <em>space frame</em>

Menerusi perincian undang-undang yang telah diumumkan oleh FIA, untuk jentera Rally1 ini pengeluar masih disyaratkan untuk menggunakan enjin 1.6 liter turbo bersama unit restrictor 36 mm dari jentera WRCar sebelum ini (menghasilkan sekitar sekitar 380 hp, nisbah berat kepada kuasa 3.1 hp/kg).

Apa yang berbeza, enjin berkenaan perlu digandingkan dengan motor elektrik serta bateri dan sistem pemulihan tenaga kinetik ketika membrek, yang bukan sahaja akan membekalkan kuasa tambahan ketika sedang berlumba dalam Special Stage (SS), malah membolehkan jentera-jentera berkenaan bergerak dalam jalan raya awam/kawasan bandar dari service park ke SS, atau dari SS ke SS dengan menggunakan kuasa elektrik 100% yang lebih senyap serta mesra alam.

Motor elektrik yang dibekalkan pada semua jentera Rally1 tersebut berupaya menghasilkan 100 kW (134 hp), membolehkan ia memecut dengan bekalan kuasa sekitar 500 hp secara keseluruhan pada masa-masa tertentu. Manakala bateri 3.9 kWj yang dibekalkan boleh di caj semula secara plug-in menerusi stesen pengecaj yang disediakan di service park setiap pusingan WRC nanti.

Buat masa sekarang, jentera GR Yaris Rally1 ini masih sedang diuji secara ekstensif dan dibalut dengan pelekat penyamaran dengan tema warna merah-putih Gazoo Racing. Namun ia jelas diberikan kit aero yang jauh lebih agresif berbanding model standard jalan raya dengan fender hadapan dan belakang yang lebih lebar, serta sayap belakang yang jauh lebih besar.

Juga dapat dilihat, ia diberikan skup udara pada kedua-dua sisi belakang badan yang cukup besar. Ini berkemungkinan bagi menyalurkan udara bagi menyejukkan sistem hibrid dan juga motor elektrik yang berada pada gandar belakang GR Yaris Rally1 tersebut.

Ketika diperkenalkan pada 2020, model produksi jalan raya Toyota GR Yaris dikatakan telah menerima sentuhan dari prinsipal pasukan TGR WRT sebelum ini iaitu juara dunia WRC empat kali, Tommi Makinnen. Ia dijana oleh enjin 1.6 liter tiga silinder turbo yang mampu menghasilkan 272 PS dan tork maksima 370 Nm, serta digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bersama sistem pacuan semua roda GR-Four.

Walaupun tidak sempat tampil sebagai jentera WRC dengan casis produksi asal, GR Yaris dalam versi produksi berkenaan telah pun menjuarai Kejohanan Rali Seluruh Jepun 2021 dalam kategori tertinggi JN1 menerusi pasangan Norihiko Katsuta dan Yusuke Kimura, serta telah dijelmakan sebagai jentera rali GR Yaris AP4 oleh Toyota Gazoo Racing Australia yang layak untuk digunakan dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik.

GALERI: Toyota GR Yaris pasaran Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required