Hyundai memperkenalkan model konsep terbaru mereka yang dinamakan Concept Three di Munich Motor Show, menandakan langkah pertama jenama Ioniq ke dalam segmen kereta elektrik kompak. Model ini dijangka menjadi asas kepada Ioniq 3, sebuah hatchback lima pintu yang bakal bersaing dengan model seperti Volkswagen ID.3 dan BYD Dolphin.
Dari segi reka bentuk, Concept Three menampilkan gaya yang berani dan unik. Garis bumbung yang menurun ke belakang serta rekaan badan yang condong ke arah kabin belakang memberi bayangan sporty dan moden. Warna kelabu matte “Tungsten Grey” dengan kemasan anodised menambah karakter pada penampilan luarannya, yang diserlahkan lagi dengan lampu siang LED nipis dan lampu belakang penuh lebar yang menggunakan tema piksel – satu elemen rekaan ikonik Hyundai.
Kereta konsep ini turut menggunakan kamera bagi menggantikan cermin sisi biasa, disertakan dengan rekaan diffuser belakang yang memaparkan tulisan unik, “May the downforce be with you”, satu rujukan kepada francais Star Wars. Reka bentuknya yang kelihatan seperti mainan Hot Wheels bersaiz besar memberi identiti tersendiri kepada model ini.
Bahagian dalamannya pula hadir dengan tema kelabu dan kuning, tempat duduk berbentuk seperti telur dan stereng empat segi dengan satu jejari di bawah. Panel instrumen digital memaparkan rekaan piksel dan boleh diubah suai mengikut gaya hidup pengguna melalui widget khas. Watak maskot maya bernama Mr. Pix turut kelihatan pada skrin dan beberapa elemen tersembunyi di dalam dan luar kereta.
Dari segi saiz, Concept Three berukuran 4,287 mm panjang, 1,940 mm lebar dan 1,428 mm tinggi, dengan jarak roda 2,722 mm – lebih panjang sedikit berbanding Kia EV3, yang menggunakan platform E-GMP sama. Meskipun maklumat teknikal rasmi belum didedah, model produksi Ioniq 3 dijangka menggunakan konfigurasi motor hadapan tunggal 204 PS serta dua pilihan bateri – 58.3 kWh dengan jarak pemanduan 436 km, atau 81.4 kWh yang mampu mencapai sehingga 605 km mengikut piawaian WLTP.
Walaubagaimanapun, tidak seperti Ioniq 5 dan 6 yang menggunakan sistem pengecasan pantas 800 volt, Ioniq 3 dijangka hanya menyokong sistem 400 volt, sama seperti EV3 dan EV4. Ini bermakna masa pengecasan dari 10% ke 80% dijangka sekitar 29 hingga 31 minit, bergantung kepada saiz bateri.
Hyundai menyasarkan untuk melancarkan 21 model EV menjelang tahun 2030, dengan setiap model dalam barisan mereka akan mempunyai versi elektrifikasi menjelang 2027. Namun, buat masa ini, tiada perancangan untuk membawa Ioniq 3 atau mana-mana EV baru Hyundai ke pasaran Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.