Selain dari dua model AMG sebenar iaitu Mercedes-AMG CLE53 dan Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ Final Edition yang dilancarkan hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut melancarkan satu lagi model iaitu Mercedes-Benz C200 AMG Line. Model dengan penggayaan lebih sporty ini menggantikan model C200 Avantgarde sebelum ini, masih lagi dipasang secara tempatan (CKD) dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM292,888.
Mercedes-Benz C200 AMG Line pasaran Malaysia ini menerima bampar hadapan dengan apron AMG yang menampilkan liang kemasukan udara lebih besar, apron belakang dengan bahagian bawah seperti diffuser serta menempatkan dua tip ekzos, rim aloi 19-inci (1-inci lebih besar dari varian C350e) serta sistem brek yang dipertingkat menerusi pemandanan cakera dan angkup lebih besar dengan cetakan skrip ‘Mercedes-Benz’ pada angkup berkenaan.
Pada bahagian dalaman pula ia diberikan roda stereng rata di bawah yang dibalut dengan kulit Nappa, pedal aloi sports AMG dan juga karpet AMG. Ia turut menerima beberapa kelengkapan lebih tinggi seperti varian C350e yang lebih mahal, antaranya Parking Package dengan kamera 360 darjah yang memberikan pandangan mata burung dari empat kamera yang terletak di hadapan, kedua-dua sisi dan belakang. Model ini juga diberikan USB Package Plus yang menampilkan enam port USB Type-C dan juga dua soket 12-volt.
Tiada perubahan pada unit rangkaian kuasa di mana C200 ini masih digerakkan oleh enjin 1.5 liter empat silinder turbo berkuasa 205 PS/300 Nm, dengan sistem hibrid ringkas 48-volt yang membekalkan unit starter generator yang memberikan tujahan sementara 23 PS/200 Nm. Enjin ini juga masih digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic.
Perincian lain yang turut diberikan termasuk suspensi Agility, Dynamic Select, lampu hadapan LED High Performance dengan bantuan lampu tinggi adaptif, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori, pengecas telefon pintar tanpa wayar, upholsteri kulit sintetik Artico, sistem penghawa dingin Thermatic, lampu suasana kabin, but belakang dengan fungsi bukaan tanpa sentuh, skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz 11.9-inci dan juga paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.