Mula diperkenalkan di peringkat global pada Februari lalu, Volvo XC60 facelift kini tiba di Malaysia. Sama seperti sebelumnya, model berkenaan ditawarkan dalam dua varian, dan melibatkan kemaskini terhadap sistem nama yang digunakan. Dua varian berkenaan B5 AWD Core (sebelum ini B5 AWD Plus) dan T8 AWD Ultra (sebelum ini T8 AWD Ultimate) kini tampil dengan harga anggaran masing-masing dengan RM333,888 dan RM367,888 — tanda harga yang lebih mahal berbanding sebelumnya.
Model Volvo yang paling laris di Malaysia ini menerima perubahan dari segi rekaan melibatkan bahagian gril yang mirip digunakan oleh XC90 versi facelift terbaru, yang diperkenalkan April lalu. Gril dengan corak mesh itu berada di tengah lampu utama LED yang mengekalkan rekaaan DRL Thor’s Hammer seperti sebelumnya. Perubahan minor lainnya untuk luaran ialah lampu belakang gelap, dengan bahagian bampar dan rekaan umum lainnya masih kekal sama.
Di dalam, perubahan paling besar ialah penggunaan skrin sentuh 11.2-inci yang lebih besar yang terletak di papan pemukanya. Ciri ini juga menampilkan perisian baru untuk antaramuka pengguna, dengan Google binaan dalam yang membolehkan capaian ke atas pelbagai aplikasi dan servis dalam talian — ini dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon Cockpit Platform.
Bagi janaan kuasa, dua varian tersebut dikuasakan oleh enjin petrol 2.0 liter turbocas yang digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Varian B5 AWD Core merupakan varian mild-hybrid, dengan enjinnya sahaja mampu menghasilkan 249 PS dan 350 Nm tork.
Turut membantu sistem janaan ini ialah bateri 48-volt dan integrated starter generator (ISG), yang menjana sebanyak 14 PS dan 40 Nm dan ditempatkan di antara enjin dan kotak gear untuk menyumbang kepada output keseluruhan sistem 263 PS dan 390 Nm. Varian paling rendah ini memerlukan 6.9 saat untuk memecut dari 0-100 km/j dan mampu memberikan kadar penggunaan minyak 7.6 liter per 100 km.
T8 AWD Ultra plug-in hybrid juga merupakan varian dengan pacuan semua roda, dengan tetapan motor elektrik di belakang yang menghasilkan janaan 145 PS dan 309 Nm. Ini digabungkan dengan enjin yang menjana sebanyak 317 PS dan 400 Nm, yang memberikan janaan keseluruhan sistem sebanyak 462 PS dan 709 Nm. Varian yang lebih tinggi ini memecut dari 0-100 km/j dengan lebih pantas, dalam 4.8 saat dan menggunakan hanya sedikit minyak: 1.6 liter per 100 km.
Dalam mod elektrik sepenuhnya, T8 AWD Ultra boleh memberikan jarak sehingga 89 km WLTP. Ini lebih daripada sebelumnya, yang hanya memberikan 81 km — ini disumbangkan oleh bateri yang hadir dengan kapasiti nominal yang lebih tinggi dengan 19 kWj (sebelum ini 18.8 kWj). Kedua-dua varian ini juga hadir dengan tangki petrol berkapasiti 71 liter, dan mampu mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan kepada 180 km/j.
Kelengkapan standard yang ada termasuklah rim 19-inci lima-jejari dalam penyudah hitam berkilat dengan tayar bersaiz 235/55, kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sentuh untuk infotainmen dengan saiz 11.2-inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, pengecas telefon tanpa wayar, kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk sebelah pemandu, pintu barangan belakang tanpa kendalian tangan, kawalan pendingin dua-zon dengan sensor PM2.5 serta bumbung panoramik larasan kuasa.
Untuk suspensi udara, ia hanya ditawarkan untuk varian yang paling tinggi, begitu juga dengan ciri head-up display, sistem audio Bowers & Wilkins dengan 15-pembesar suara, fungsi memori untuk kerusi penumpang depan, lebih larasan sokongan lumbar (empat-arah berbanding dua-arah) serta lanjutan kusyen dengan larasan kuasa.
Semua varian XC60 terbaru ini menerima ciri keselamatan yang sama dan lengkap, yang antaranya terdiri daripada penghindar perlanggaran, amaran perlanggaran belakang, bantuan mengekalkan lorong, penghindar tersasar jalan, peninjau titik buta dengan bantuan stereng, amaran lintasan trafik dengan brek automatik, Pilot Assist dan sistem kamera 360-darjah.
Pilihan warna yang tersedia pula ialah Crystal White, Onyx Black, Denim Blue dan Forest Lake, dengan warna kabin standard Charocal yang digabungkan dengan balutan vynil Nordico dalam warna Cardamom atau Charcoal. Perincian kemasan Natural Driftwood juga disertakan untuk varian plug-in hybrid, sementara versi mild-hybrid menggunakan kemasan Metal Mesh.
Seperti sebelumnya, XC60 terbaru ini adalah model CKD dari kilang Volvo Car Manufacturing Malaysia di Shah Alam. Ia hadir dengan jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan, dengan versi plug-in hybrid turut menerima jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk baterinya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.