Jenama EV Ora di bawah Great Wall Motor (GWM) kembali mencuri tumpuan selepas agak lama menyepi tanpa model baru sejak pelancaran Ora 07 (juga dikenali sebagai Lightning Cat) pada tahun 2022. Dalam pasaran kenderaan elektrik China yang biasanya menyaksikan kemas kini atau model facelift setiap tahun, tempoh dua tahun tanpa model baru dianggap luar biasa. Kini, GWM memperkenalkan satu lagi model baru yang dikenali sebagai Ora Cat, yang juga akan dipasarkan di beberapa negara lain dengan nama Ora 5 atau Ora i5.
Menurut maklumat yang diperoleh daripada dokumen rasmi yang difailkan kepada Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT), Ora Cat tampil dengan rekaan yang hampir menyerupai model popular Ora Good Cat — yang juga dikenali sebagai Ora Funky Cat atau Ora 03 di pasaran tertentu. Namun begitu, Ora Cat ini bukan sekadar versi facelift atau olahan semula kerana ia sebenarnya dibangunkan sebagai sebuah kenderaan crossover atau SUV, berbeza dengan Good Cat yang merupakan hatchback penuh.
Dari segi reka bentuk, Ora Cat mengekalkan gaya comel yang menyerupai model Porsche 911 dengan lampu hadapan bulat ikonik. Bampar hadapan dengan dua liang udara menegak di bahagian sisi turut dikekalkan, termasuk jalur lampu LED mendatar pada panel kaca belakang. Namun begitu, terdapat sedikit perbezaan pada rekaan potongan tapak nombor plat belakang serta bahagian bawah bampar yang menyerupai diffuser. Perbezaannya agak halus dan mungkin sukar untuk dikenal pasti tanpa meletakkan kedua-dua model bersebelahan.
Salah satu cara untuk membezakan Ora Cat dengan Good Cat adalah dengan melihat sama ada terdapat rel bumbung – satu elemen yang biasanya dikaitkan dengan kenderaan SUV. Ciri lain yang menarik termasuk pemegang pintu jenis biasa (bukan jenis pop-up), penutup pengecasan pada fender kanan hadapan, rim dua tona bersaiz 18 inci serta pilihan untuk dilengkapi sensor LiDAR.
Berdasarkan dokumen MIIT, dimensi Ora Cat adalah 4,471 mm panjang, 1,883 mm lebar dan 1,641 mm tinggi. Ini menjadikan model baru ini 236 mm lebih panjang, 58 mm lebih lebar dan 45 mm lebih tinggi berbanding Good Cat. Malah, jarak roda juga lebih panjang iaitu 2,720 mm – tambahan sebanyak 70 mm. Dengan peningkatan saiz ini, jelas bahawa Ora Cat bukan sekadar Good Cat yang diubah suai menjadi SUV – ia benar-benar dibina sebagai model baru yang lebih besar.
Sudut kelegaan menjunam dan menaik (approach dan departure angle) dicatatkan pada 17 dan 25 darjah, manakala berat kosong kenderaan dianggarkan antara 1,630 hingga 1,655 kg bergantung kepada varian. Di sebalik rekaan luarnya yang berlekuk dan bergaya, Ora Cat dikuasakan oleh satu motor elektrik berkuasa 201 hp (150 kW) yang dibangunkan oleh anak syarikat GWM, Hycet. Motor ini menerima tenaga daripada pek bateri LFP yang dibekalkan oleh SVOLT.
Dengan pendedahan ini, Ora Cat dilihat sudah bersedia untuk memasuki pasaran, dan pelancarannya di China dijangka akan berlaku dalam masa terdekat.
Sementara itu, model Ora Good Cat juga telah menerima kemas kini rupa di pasaran China tahun ini. Walaupun versi facelift ini mungkin belum akan ditawarkan di luar China dalam masa terdekat, versi GT yang tampil dengan gaya lebih sporty dilihat sebagai alternatif lebih realistik buat pasaran global.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.