Bulan terakhir bagi suku ketiga tahun 2025 menyaksikan makin banyak syarikat kenderaan memperkenalkan model baharu serta mengadakan pelbagai promosi jualan menarik termasuk menawarkan diskaun dan rebat tunai. Mungkin anda ada berhajat untuk memiliki kenderaan baharu, jadi inilah masa yang sesuai untuk membelinya. Bagi yang sudah menempah kenderaan baharu, ini ada siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah dan Kedah dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah, SU_P dibuka bidaannya mulai hari ini, 11 September. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 15 September. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 16 September 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.
Manakala siri nombor pendaftaran terkini Kedah, KGD, bakal dibuka bidaan mulai 12 September. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 16 September, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 17 September 2025.
Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.