Model MPV terbaru dari Geely, iaitu Galaxy V900, sudah terdedah melalui dokumen rasmi yang difailkan kepada Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT). Ia merupakan versi kenderaan elektrik extended range (EREV) kepada model elektrik sepenuhnya LEVC L380, yang pertama kali ditunjukkan pada Disember 2023.
Dari segi dimensi, Galaxy V900 mencatat ukuran 5,360 mm panjang, 1,998 mm lebar dan 1,940 mm tinggi, menjadikannya sedikit lebih panjang berbanding L380 yang berukuran 5,316 mm panjang. Ia menggunakan rim aloi dengan pilihan saiz antara 18 hingga 20 inci.
Reka bentuk luar Galaxy V900 banyak mengambil inspirasi daripada LEVC L380, namun ia hadir dengan rekaan muka hadapan yang sedikit berbeza, namun lampu nyalaan siang (DRL) masih diletakkan di atas lampu utama, seperti pada model asal. Berbeza dengan L380, model V900 dilihat hadir dengan unit lidar di bahagian bumbung, manakala pemijak tepi berkuasa turut ditawarkan sebagai pilihan tambahan.
Bahagian dalam MPV ini dilengkapi dengan susunan tempat duduk tiga baris secara standard dalam konfigurasi 2-2-2. Namun, pembeli boleh memilih konfigurasi empat baris tempat duduk 2-2-2-2 untuk menempatkan sehingga lapan penumpang. Berat kenderaan pula bergantung kepada konfigurasi tempat duduk – antara 2,910 kg hingga 3,030 kg – manakala versi elektrik sepenuhnya, L380, mempunyai berat sekitar 2,805 kg.
Menurut laporan Car News China, ruang kargo untuk versi enam tempat duduk memiliki keluasan 919 mm, manakala versi lapan tempat duduk dengan empat baris mempunyai ruang kargo seluas 347 mm. Walaubagaimanapun, barisan keempat itu boleh dilipat rata ke dalam lantai but untuk menambah ruang.
Galaxy V900 ditawarkan dengan dua pilihan bateri jenis ternary NMC. Versi pertama menggunakan bateri 43.3 kWh buatan CALB yang mampu bergerak sejauh 172 km secara elektrik, manakala versi kedua dilengkapi bateri 50 kWh dari CATL, dengan jarak maksimum sehingga 202 km.
Unit penggerak V900 terdiri daripada enjin petrol turbo 1.5 liter BHE15-CFZ yang menghasilkan kuasa 120 kW (bersamaan 163 PS). Enjin ini berfungsi sebagai penjana kuasa untuk mengecas bateri dan bukan untuk memacu roda secara terus. Penggunaan bahan api yang dianggarkan ketika bateri habis adalah sekitar 7.2 liter bagi setiap 100 km.
Menurut laporan, Galaxy V900 dijangka dilancarkan di pasaran China dalam tahun ini. Sementara itu, versi elektrik penuh (LEVC L380) pula dirancang untuk memasuki pasaran United Kingdom pada tahun 2026. Ini bermakna, Geely berkemungkinan akan menawarkan kedua-dua versi – elektrik sepenuhnya dan elektrik dengan range extender – di pasaran UK pada masa akan datang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.