PANDU UJI: Honda Civic RS e:HEV facelift 2025 – hibrid ada jiwa, power tapi masih jimat petrol!

PANDU UJI: Honda Civic RS e:HEV facelift 2025 – hibrid ada jiwa, <em>power</em> tapi masih jimat petrol!

Arah tuju dunia automotif sekarang sudah berubah – pengeluar-pengeluar automotif terutamanya dari Eropah sudah nampak dunia belum bersedia untuk berubah 100% kepada teknologi EV, dan enjin pembakaran dalaman masih mempunyai hayat yang panjang. Di China walaupun teknologi EV diterima dengan meluas, namun fasiliti dan juga jangka masa mengecas yang lama masih lagi menjadi tembok bagi peralihan sepenuhnya kepada mobiliti elektrik.

Jadi jawapan yang paling relevan buat masa sekarang adalah teknologi hibrid elektrik. Kita boleh tengok bukan hanya jenama-jenama premium dari Eropah, malah jenama-jenama dari China yang sebelum ini terkenal dengan EV kini mula beralih menghasilkan model-model hibrid, terutamanya dari jenis plug-in hybrid (PHEV) dengan bateri berkapasti agak tinggi, membolehkan sesebuah kenderaan itu bergerak dengan mod EV sekitar 200 km, serta mampu mencatatkan jarak perjalanan sekitar 1,200 km hingga 1,400 km dengan satu tangki petrol.

Pengeluar automotif dari Jepun, Honda nampaknya juga bersetuju peralihan penuh kepada EV memang lebih lambat dari yang dijangkakan. Jadi pada awal tahun ini Honda mengumumkan bahawa sebahagian besar dari dana yang dirancang untuk membangunkan EV sebelum ini akan dipotong dan di bawa untuk membangunkan sistem hibrid.

Namun untuk Honda, tumpuan mereka bukanlah teknologi PHEV, sebaliknya ia akan menambah baik teknologi hibrid sedia ada yang digelar sebagai e:HEV, dan teknologi ini ditawarkan dengan meluas bagi pasaran Malaysia. Sebelum ini penulis telah merasai pemanduan teknologi e:HEV ini dalam varian 1.5L pada Honda City RS e:HEV, dan menerusi Honda Civic RS e:HEV facelift 2025 yang baru dilancarkan pada Januari lalu, penulis akan mengupas berkenaan varian dengan enjin 2.0L pula.

PANDU UJI: Honda Civic RS e:HEV facelift 2025 – hibrid ada jiwa, <em>power</em> tapi masih jimat petrol!

Sebelum kita kupas berkenaan pemanduan dan juga prestasi unit rangkaian kuasa e:HEV tersebut, mari kita berkenalan dulu dengan Civic facelift 2025 ini, iaitu versi kemaskini dan disegarkan berbanding model asal yang dilancarkan sekitar tiga tahun lalu.

Bagi penulis, rupa asal Civic generasi FE ini sudah cukup hensem – ia matang dan tidak melebih-lebih seperti generasi FC terdahulu. Namun bagi versi facelift ini, rupa yang matang tersebut di tambah dengan ekspresi muka yang garang, memberikan rupa yang lebih kacak.

Antara perubahan yang dibuat tersebut termasuklah gril hadapan kini diberikan elemen sarang lebah bersama kerangka yang dibina berbeza dengan bahagian muncung lebih tajam dan bawahnya nampak lebih lebar. Elemen sarang lebah yang sama turut dibawa ke gril bampar di bawah yang direka dengan bentuk heksagon, berbanding gril dengan elemen bar melintang dan bentuk trapezium pada model sebelumnya.

Perubahan-perubahan tersebut menjadikan versi facelift ini nampak lebih lebih kemas, dalam masa yang sama kekal ringkas tetapi lebih garang. Untuk model hibrid, ia hanya datang dalam kemasan paling sporty iaitu RS di mana varian ini tampil dengan beberapa kemasan hitam iaitu pada cermin sisi, antena sirip yu dan juga spoiler but belakang.

Selain itu, versi facelift ini turut menerima rekaan rim 18-inci tujuh-jejari baharu dalam kemasan kelabu yang nampak lebih garang dari rim dua-tona sebelum ini. Di Malaysia, model dengan kemasan RS ini juga hadir dalam versi dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo di mana versi ini datang dengan rekaan rim 18-inci yang berbeza.

Tiada perubahan besar dilihat pada bahagian kabin di mana kesemua rekaan dilihat masih kekal sama. Varian RS ini datang dengan kemasan upholsteri kulit bersama serlahan-serlahan jahitan benang merah pada tempat duduk, gaiter tombol gear, panel pintu, roda stereng serta jalur merah pada papan pemuka.

Kelengkapan-kelengkapan lain yang diberikan termasuk skrin sistem infotaimen 9-inci Display Audio dengan Google bina dalam (standard untuk semua varian), sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, lapan pembesar suara, paparan instrumen digital dengan skrin TFT 10.2-inci, sistem pendingin hawa automatik dua zon dengan liang penghembus kabin belakang, port pengecas USB Type-C dan pelbagai lagi.

Antara yang baharu pada versi facelift ini adalah penambahan satu lagi mod pemanduan iaitu Individual yang disertakan dengan tiga mod sedia ada iaitu Econ, Normal dan Sport.

PANDU UJI: Honda Civic RS e:HEV facelift 2025 – hibrid ada jiwa, <em>power</em> tapi masih jimat petrol!

Papan pemuka Civic ini antara yang penulis suka dalam pasaran buat masa sekarang. Rekaannya ringkas, tetapi ia masih elegen, dan paling penting butang-butang kawalan sistem penghawa dingin dan juga audio masih lagi diberikan secara fizikal, bukan disimpan semuanya dalam skrin. Rekaan papan pemuka dan juga cermin hadapan Civic ini turut memberikan sudut pandangan hadapan yang sangat baik, memudahkan anda mengagak bahagian muncung kereta ini.

Tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa hybrid e:HEV pada Civic ini. Jadi ia menerima enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson yang menjana 143 ps dan juga tork 181 Nm, digandingkan bersama dua motor elektrik yang menghasilkan 184 ps dan tork maksima 315 Nm.

Enjin petrol pada Civic ini pada kebanyakkan masa hanya akan berfungsi untuk mengecas bateri hibrid, manakala setiap kali mula bergerak roda hadapan akan dipacu oleh motor elektrik membolehkan tork 315 Nm berkenaan diberikan dari 0 rpm. Namun pada situasi tertentu seperti pada kelajuan tinggi, enjin akan dihubungkan kepada motor elektrik untuk bersama-sama memacu roda menerusi klac lock-up yang dibekalkan.

Jadi macam mana rasa pemanduannya? Tak janggal ke memandu sebuah kereta dengan enjinnya tidak terus memacu tayar dan ia kadang-kadang hidup, kadang-kadang mati? Untuk ini, Civic hibrid ini diberikan bunyi enjin palsu yang keluar dari pembesar suara. Jika anda pandu dengan mod Sport, bunyi berkenaan akan menjadi lebih garang.

PANDU UJI: Honda Civic RS e:HEV facelift 2025 – hibrid ada jiwa, <em>power</em> tapi masih jimat petrol!

Bukan hanya bunyi enjin, malah ia juga akan memberikan bunyi tukaran gear palsu yang akan memberikan rasa lebih seronok berbanding memandu sebuah kereta dengan enjin petrol digandingkan bersama kotak gear CVT.

Pertukaran dari menggunakan kuasa motor elektrik sepenuhnya atau dibantu enjin pembakaran dalaman adalah sangat lancar sehinggakan anda tidak perasan langsung pertukaran berkenaan. Satu cara untuk anda tahu kuasa apa yang digunakan adalah menerusi paparan aliran kuasa yang boleh anda pilih pada paparan instrumen digital.

Kuasa yang dibekalkan juga cukup untuk memberikan pemanduan yang sangat sporty di mana setiap kali mula bergerak atau memecut, ia akan dimulakan dengan motor elektrik yang dibekalkan dengan tork 315 Nm dari 0 rpm, yang sememangnya jauh lebih responsif dari enjin 1.5 liter VTEC Turbo. Dan sekiranya sebelum ini anda pernah rasa memandu unit rangkaian kuasa e:HEV dalam varian 1.5 liter seperti pada City atau HR-V, anda patut cuba pula versi 2.0 liter ini yang jauh lebih lancar, jauh lebih berkuasa serta berada dalam liga yang lain!

Jika anda perhatikan, ada pedal seakan pedal penukar gear di belakang roda stereng bukan? Ini bukan untuk menukar gear ya, tetapi ia adalah untuk meningkatkan atau mengurangkan regenerative braking – lebih tinggi regen tersebut (perlu menekan pedal ‘-‘ untuk lebih tinggi), lebih banyak kuasa yang dijana semula semasa nyah pecut (kereta bergerak tetapi pedal pendikit tidak dipijak), dan ia memberikan engine braking lebih besar seperti menurunkan gear rendah pada kereta dengan enjin petrol biasa.

Sistem e:HEV ini bukanlah sistem hibrid jenis PHEV seperti sistem-sistem yang digunakan oleh kebanyakkan pengeluar-pengeluar China buat masa sekarang. Jadi Civic ini hanya dibekalkan dengan pek bateri lithium-ion dengan kapasiti 1.1 kWj. Bateri berkenaan bersaiz tidak terlalu besar dan mampu dimuatkan hanya di bawah tempat duduk belakang.

Jadi ia tidak seperti sistem PHEV dari model-model jenama China yang menerima bateri bersaiz besar diletakkan pada lantai. Kelebihannya? Bateri berkenaan masih tidak terlalu berat dan tidak menjejaskan langsung pengendalian Civic ini. Ia masih lagi sebuah Civic yang mampu memberikan anda senyuman ketika melayan selekoh di jalan berliku, sentiasa memberikan pengedalian yang tajam dan ‘mengikut’ input stereng yang pemandu berikan serta lincah untuk mengubah arah.

Saiz bateri tersebut juga tidak menjejaskan langsung kapasiti but belakang dengan 497 liter, sama seperti model petrol biasa, serta turut masih dibekalkan dengan tayar ganti. Malah dengan tidak diletakkan dilantai, bateri tersebut juga tidak menjejaskan tempat duduk hadapan dan Civic hybrid ini kekal memberikan posisi pemandu seperti kereta sport dengan titik graviti yang rendah.

Walaupun dengan bateri hibrid bersaiz kecil, Civic RS e:HEV ini masih memberikan penggunaan bahan api yang sangat memuaskan. Penulis mencatatkan pengunaan petrol 6.159 L untuk setiap 100 km perjalanan. Ini bermakna dengan setangki penuh 47 liter petrol, Civic ini mampu bergerak sejauh 764 km. Perjalanan yang dibuat oleh penulis ketika membuat ujian ini membabitkan gandingan laluan dalam bandar yang sesak, masuk ke lebuhraya serta di laluan jalan lama.

Secara keseluruhan, Honda Civic RS e:HEV ini bukan hanya diberikan penampilan yang paling sporty, malah dibekalkan dengan kuasa paling besar (0-100 km/j dalam 7.8 saat berbanding 8.3 saat untuk versi 1.5L Turbo), serta dalam masa yang sama merupakan pilihan yang paling jimat bahan api.

Perbezaan berat antara kedua-dua versi hibrid dan petrol penuh juga tidaklah begitu ketara di mana RS e:HEV ini hanya 83 kg lebih berat, jadi ia tidak menggangu karekter pengendalian Civic yang sememangnya seronok untuk dipandu di jalan berliku. Di tambah dengan gimik bunyi, keseronakkan memandu sedan ini tidak berkurang walaupun menerima ‘campur tangan’ dari sedikit kuasa elektrik.

Dengan pakej yang diberikan, tidak hairanlah Honda Civic RS e:HEV merupakan varian paling mahal (tidak termasuk Civic Type R), dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM167,900, berbanding Civic RS 1.5 VTEC Turbo dijual pada harga RM149,900.

Dan untuk kesimpulan, jika mahukan kereta dengan sistem hibrid yang memberikan rasa seperti kereta elektrik sebenar, anda boleh cuba model-model PHEV dari China yang kini secara beransur-ansur mula diperkenalkan di Malaysia. Tapi kalau anda nak kereta hibrid dengan karekter lebih ‘ada jiwa’, seronok seperti kereta dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya, Honda Civic RS e:HEV ini adalah jawapannya!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required