Kurang seminggu selepas menunjukkan iklan teaser bagi model elektrik Seal 6, BYD mengesahkan bahawa sedan EV itu akan dilancarkan di Malaysia pada 26 September nanti. Ini merupakan pengenalan global yang pertama bagi kereta berkenaan, yang turut dikenali sebagai Qin L EV di China.
Sedikit lebih kecil (dan mungkin juga lebih murah) berbanding model Seal sedia ada, Seal 6 EV ini dibangun menggunakan e-Platform 3.0 Evo yang sama seperti Sealion 7 dan digerakkan melalui motor tunggal di belakang.
Di China, sedan berkenaan ditawarkan dalam tiga varian. Yang paling asas menjana sebanyak 150 PS (110 kW) dan 220 Nm dan memberikan jarak CLTC sejauh 470 Nm — ia menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade dengan kapasiti 46.08 kWj. Untuk kitaran WLTP, jarak yang bersamaan adalah sekitar 380 km.
Dua lagi varian hadir dengan output motor yang lebih tinggi: 218 PS (160 kW) dan 330 Nm, dan satu lagi dengan kapasiti bateri lebih besar 56.64 kWj, yang memberikan jarak CLTC 545 km (sekitar 430 km WLTP). Bateri yang lebih kecil mempunyai kemampuan pengecasan DC sehingga 84 kW, sementara bateri yang lebih besar sehingga 103 kW. Kedua-duanya boleh dicas 30%-80% dalam masa 24 minit. Pengecasan AC bagaimanapun dihadkan hanya kepada 7 kW, dan kedua-dua varian ada fungsi vehicle-to-load (V2L) hingga 6 kW.
Sedan ini mempunyai panjang 4,720 mm, 1,880 mm lebar dan 1,495 mm tinggi. Ini menjadikan Seal 6 ini 80 mm lebih pendek berbanding Seal biasa, tetapi 5 mm lebih lebar dan 35 mm lebih tinggi. Jarak rodanya pula ialah 2,820 mm, 100 mm lebih pendek berbanding Seal.
Seal 6 EV juga berpenampilan kurang sporty berbanding Seal biasa dari sudut rekaan. Lampu utamanya lebih tirus, dengan jalur perak menghubungkan di kiri dan kanan — ciri rekaan yang sama dapat dilihat pada model seperti Atto 2 dan Atto 3 (di China, Yuan up dan Yuan Plus).
Bahagian bawah bampar menampilkan bentuk X yang juga hadir di bahagian belakang. Dari sisi kelihatan enam bahagian tingkap/kaca yang ada, dengan bingkainya hadir dalam kemasan hitam. Lampu belakang pula berkelebaran penuh, dengan grafik “infinity” yang sama seperti Atto 2, serta lencana BYD dengan lampu.
Di dalam, Seal 6 menerima rekaan yang ringkas dan bersih. Papan pemuka pada umumnya rata dengan kemasan warna hitam keseluruhannya. Pemilih gear ala Seal juga tidak kelihatan, dan digantikan dengan tuil di belakang stereng seperti Atto 2.
Ini menjadikan bahagian konsol tengahnya lebih kosong dan luas untuk menempatkan ruang storan, termasuk dua ruang untuk telefon (dengan satu pengecas tanpa wayar Qi 50-watt), dua ruang cawan dan peti sejuk sebagai pilihan di bawah perehat lengan. Lagi ciri dari Atto 2 ialah roda stereng yang digunakan.
Seperti model-model terkini BYD, sedan ini antara lain dilengkapi dengan skrin yang sangat besar, termasuk paparan instrumen digital 8.8-inci dan skrin sentuh boleh pusing 12.8-inci atau 15.6-inci. Sistem bunyi hadir dengan enam atau lapan-pembesar suara, kerusi depan larasan elektrik dengan pemanas, liang udara dan memori untuk sebelah pemandu, bumbung kaca panoramik dengan pelindung matahari larasan kuasa serta penyerap hentak adaptif DiSus-C (kini sudah juga ditawarkan untuk Seal).
BYD Seal terbaru di Malaysia kini dijual di Malaysia dengan harga bermula RM171,800. Jadi, adakah Seal 6 ini akan datang dengan harga yang lebih rendah? Di bawah RM150,000 mungkin?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.