Sudah wujud sejak tahun 2017, Honda Winner (juga dikenali sebagai RS150R dan seterusnya RS-X) pasaran Vietnam kini diperkenalkan dalam versi terbaru yang dipanggil sebagai Winner R. Ia dijual dalam pilihan tiga versi iaitu Standard, Special Edition dan Sport, dengan harga antara 4.6 juta dong (RM7,300) ke 50.56 juta dong RM8,030).
Peningkatan utama bagi model tahun 2025 ini adalah di bahagian penampilan, dengan bukan sahaja grafik, tetapi juga panel badan yang diubah. Paling jelas adalah di bahagian hadapan, yang menerapkan rekaan lebih sporty.
Lampu hadapan jenis LED pada model ini dinaik taraf dengan teknologi “Crystal Light” yang dapat memberikan pencahayaan lebih baik, sementara dari bahagian tepi anda juga dapat melihat bahagian enjin kini lebih tertutup dengan tambahan panel.
Bahagian mekanikal tidak diubah, dengan ia masih lagi menggunakan enjin satu silinder 149.2 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair, mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.5 Nm tork pada 7,000 rpm, bersama balancer, coil serta laluan minyak yang ditambah baik sejak dari tahun lepas.
Transmisi enam kelajuannya juga telah dinaik taraf pada tahun lalu, dengan klac jenis anti-slip, memberikan penukaran gear lebih lancar serta tarikan tuil yang lebih lembut. Tangki bahan api berkapasiti 4.5 liter.
Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk soket pengecas USB, fork teleskopik di hadapan, monoshock di belakang, rim 17 inci, brek cakera hadapan dan belakang, dengan ABS single-channel bagi dua varian tertinggi, sistem kunci pintar serta panel meter digital.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.