Sistem subsidi bersasar untuk petrol RON95 tidak akan bergantung sepenuhnya kepada penggunaan terminal pembaca MyKad, seperti yang ditunjukkan dalam sebuah video tular baru-baru ini.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam laporan Bernama menyatakan bahawa kaedah lain seperti aplikasi pembayaran milik syarikat minyak juga akan digunakan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan subsidi tanpa kesulitan.
Beliau memberi contoh aplikasi Setel (Petronas) dan aplikasi Shell sebagai alternatif yang akan menyokong proses semakan kelayakan dan pembayaran untuk subsidi petrol RON95, yang dijangka ditawarkan pada harga sekitar RM1.99 seliter.
Dalam video yang tular minggu lalu, seorang petugas stesen minyak dilihat menggunakan terminal khas untuk menyemak kelayakan pelanggan. MyKad dimasukkan ke dalam mesin dan selepas beberapa saat (dijangka untuk menghubungi sistem PADU), paparan akan menunjukkan sama ada individu tersebut layak menerima subsidi.
Sekiranya layak, paparan akan berwarna biru, manakala paparan merah menunjukkan sama ada kuota telah habis atau individu tidak layak. Selepas pengesahan, pelanggan boleh memilih jumlah RON95 yang ingin dibeli sebelum membuat pembayaran.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan terdahulu pada Ogos 2025 telah pun memaklumkan bahawa selain MyKad, kaedah lain seperti e-dompet dan aplikasi syarikat minyak sedang dipertimbangkan.
Penggunaan aplikasi ini bukanlah sesuatu yang baru, malah ia lebih mudah kerana proses e-pengesahan identiti (e-KYC) — termasuk muat naik gambar MyKad dan swafoto — telah lama digunakan dalam aplikasi seperti Setel dan Shell. Ini membolehkan maklumat pengguna dihubungkan terus dengan nombor MyKad untuk semakan kelayakan subsidi melalui pangkalan data kerajaan.
Bagi pengguna yang ingin bersedia lebih awal dan mengelakkan penggunaan terminal fizikal, anda digalakkan untuk memuat turun aplikasi syarikat minyak yang berkaitan dan mendaftar akaun dengan segera.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.